“Diri Kita Layak ‘Dihadiahkan’ Atau ‘Dimanjakan’. Tetapi, Jangan Sampai Abaikan Suami & Anak- Nana Mahazan

Share

Setelah mengucapkan selamat tinggal sebagai penyampai radio sepenuh masa tidak lama dahulu, Nana Mahazan kini kembali on air di radio online EFM (efm.live) sejak Januari 2018.

Selebihnya Nana banyak terlibat dalam mengacara majlis-majlis tertutup. Jika tiada jemputan untuk ke konti, stesen TV ataupun majlis lain, masa Nana banyak dihabiskan di rumah bersama anak-anak.

Namun Nana yang sememangnya aktif di laman sosial Instagramnya sentiasa menjadi perhatian para peminatnya. Malah, dia kini banyak muncul di kaca tv sebagai pengacara dalam beberapa program.

Personaliti dan penampilannya yang sentiasa up to date menjadi idola peminat wanita muda berkarier dan tak kurang ibu muda sepertinya.

“Memang ada harinya bila malas tu, di rumah saya hanya berpakaian biasa. Tapi, bukanlah tak ‘semenggah’. Masih kemas. Saya percaya, setiap orang punya keinginan sendiri.

“Saya pula, mahu sentiasa menjaga penampilan dan kelihatan kemas walaupun berada di rumah. Ia merupakan satu kepuasan untuk diri sendiri.

“Dengan cara itu, kita akan rasa gembira dengan diri kita sendiri. Ini penting kerana ia juga membantu mewujudkan keyakinan pada diri. Jagalah penampilan diri walaupun mungkin kita hanya suri rumah.

“Diri kita layak untuk ‘dihadiahkan’ atau ‘dimanjakan’ sebegitu. Tetapi, jangan hanya pentingkan penampilan kita semata-mata dan mengabaikan suami dan anak-anak,” tegas Nana.

Bentuk tubuhnya juga tidak membayangkan dia sudah memiliki dua orang cahaya mata. Tiada rahsia bagi selebriti ramah ini.

“Cuma sejak berkahwin dengan Brian, dia lebih teliti soal pemilihan makanan. Hal ini memandangkan Brian amat menjaga pemakanannya. Bimbang berat badan mudah naik.

“Sebelum berkahwin saya makan apa yang saya suka. Berbeza lepas berkahwin, perlu teliti tentang pemakanan. Alhamdulillah, satu perubahan yang amat baik.

“Maksudnya, dulu makan apa sahaja tidak kira tinggi kalori ataupun tidak. Meski berat badan tak naik tetapi sebenarnya kurus tidak bermakna tiada kolesterol.

“Jangan hairan kalau ada orang yang kurus tapi kandungan kolesterol tinggi dalam badan. Sekarang, bila jaga pemakanan dengan lebih baik, saya rasa lebih sihat.

“Terasa perubahan itu pada diri sendiri. Mulanya, ikut sahaja bila Brian kata pilih makanan yang sihat. Kalau beli susu, pilih yang rendah lemak, lebih banyak gunakan minyak zaitun, banyakkan sayuran dan buah-buahan.

“Beli makanan juga sudah dibiasakan membaca label atau kemasan makanan. Lama-kelamaan, sudah jadi tabiat. Menariknya, bila diamalkan memang saya dapat rasakan sendiri perubahan yang lebih baik,” ujar Nana yang baru tamat host Mentor7 selain turut menjadi hos untuk Pesona Pengantin di Astro serta game show Jangan Buat Hal di Astro Warna.

Semakin Sayang

Serasi bersama, riak wajah keduanya menyerlahkan kebahagiaan yang dilalui Nana dan Brian. Bukanlah niat untuk bermegah-megah dengan kebahagiaan rumah tangga tetapi Nana berlaku jujur mengakui dirinya bertuah dipertemukan dengan suami tercinta.

Istimewanya Brian pada dirinya, sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun, dari segi peribadinya Nana bahagia kerana Brian tidak lokek menunjukkan kasih sayang terhadap dirinya.

“Dari dulu sehingga kini saya tak pernah terasa kurang kasih sayang daripada Brian. Sekarang, terasa sangat kasih sayangnya melimpah buat saya.

“Pada Brian, dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana saya sanggup melahirkan dan menjaga anak-anak, Althea,9 tahun dan Aaqib 5 tahun.

“Dia benar-benar menghargai pengorbanan saya yang sanggup berhenti kerja dan menjaga anak-anak. Kata-katanya itu membuatkan saya rasa terharu dan amat bersyukur adanya Brian di sisi saya.

“Apa sahaja yang ingin saya lakukan, Brian sentiasa menyokong saya. Tugas-tugas di rumah juga dia sanggup berkongsi dan lakukan bersama-sama.  Dalam rumah tangga yang penting saling memahami dan percaya antara satu sama lain.

“Barulah tak timbul syak wasangka antara suami isteri. Sebagai isteri kena tahu kehendak dan isi hati suami baru tak timbul alasan cari yang lain. Kalau suami tetap juga ada yang lain, tanyakan apa kurangnya kita sebagai isteri dan cuba perbaiki untuk jadi yang lebih baik,” cerita Nana yang memohon semoga tiada sebarang musibah dalam rumah tangganya itu.

Sumber: Majalah Keluarga 2015 & Media Hiburan Online

Gambar: IG nanamahazan