“Diri Anda Yang Lama Akan Hilang, Yang Baharu Ada Di Sini.” Beri Bayangan Keadaan Kesihatan, Chef Adamdidam Meninggal Dunia. Al-Fatihah!

Share

Semalam kita dikejutkan dengan berita kematian pengasas Produk Kecantikan Dnars Skincare dalam satu kemalangan jalan raya. Pagi ini satu lagi berita kematian diterima.

CHEF selebriti, Chef Adam Mahamed Ismail atau lebih dikenali sebagai Adamdidam dijemput Ilahi pada usia 29 tahun. Berita tersebut dikongsikan oleh sepupu beliau, Natasha Amran menerusi laman Instagram pagi tadi. Allahyarham Adamdidam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

“Kami (pihak keluarga) memang mengetahui tentang keadaan kesihatan Adam yang menderita sudah lama.

“Sejak Februari lagi keadaan dia sudah tidak berapa okay,” katanya ketika dihubungi mStar pada pagi Ahad.

Tambahnya, Adam meninggal dunia di kediaman ibu bapanya di Kota Bharu, Kelantan dan solat jenazah akan diadakan di Masjid Telipot. Kemudian, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas solat Zohor.

Selain itu, Neelofa yang juga merupakan saudara kepada Allahyarham turut memuat naik berita dan sekeping gambar kenangan bersama arwah sewaktu kecil menerusi instastorynya.

Terdahulu, Adamdidam seolah-olah memberikan bayangan tentang keadaan kesihatan diri beliau menerusi posting kedua terakhirnya di Instagram.

“Sudah terlalu lama saya menghilang… apabila sesuatu berlaku, memang sukar untuk mengembalikan kehidupan anda kepada sediakala. Sekelip mata, hidup anda berubah 360! Dan perancangan anda? Lupakan sahaja. Ia hilang. Anda rasa tidak berdaya.

“Terlalu banyak berfikir dan semua perkara mengarut menerjah ke fikiran. Sekurang-kurangnya itu apa yang saya rasa. Tetapi percayalah, selepas semua masalah, ada kehidupan yang kuat, sihat dan bahagia yang menanti anda.

“Sebuah hidup yang lebih baik! Diri anda yang lama akan hilang, tetapi yang baharu ada di sini. Bukannya buruk, tetapi semangat yang lebih baik. Sesiapa yang berdepan ujian, ingatlah, Dia memberikan ujian paling getir kepada hamba-Nya yang paling disayangi,” tulis Adam pada 20 Februari lalu.

Adam sebelum ini pernah terlibat dalam program TV Rasa sebagai hos untuk Rasa Ketuhar Kuali dan jelajah Rasa Nusantara. Selain itu, Allahyarham juga merupakan salah seorang instafamous jemputan dalam Program TV Rasa Instafamous.

Semoga rohnya dicucuri nikmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Sumber: Mstar Online & IG natashaamran