Berdepan dengan anak-anak yang hampir menginjak remaja turut menjadi satu permasalahan buat ibu ayah. Mula menunjukkan rasa ingin berdikari malah selalu mencuba untuk membuat keputusan sendiri dalam segala hal.
Merajuk, memberontak dengan adik beradik lain serta bercakap kasar antara perubahan peribadi yang ditunjukkan oleh anak-anak meningkat remaja. Sukarnya berdepan dengan keadaan ini, bila mana ibu ayah mula merasakan mereka sudah semakin bijak dan matang.
Hakikatnya kanak-kanak berusia 9 tahun ke atas juga perlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibu ayah.
Dengarkan pesanan daripada Ibu Rose – Mesejnya Kasih mengenai perilaku anak yang sering bercakap kasar, suka memberontak dan kuat merajuk. Walau apa pun yang ibu lakukan, kasih sayang sepenuhnya jangan dilupakan. Penting ni!
ANAK 9 TAHUN SUKA MERAJUK DAN BERBAHASA KASAR. APA NAK BUAT?
Pada usia 9 tahun, ibubapa perlu tegas semasa menegur dan membetulkan dan mendisplinkan anak-anak. Dalam masa yang sama mesti juga penuh berhemah dan kasih-sayang. Anak puan sudah hampir memasuki alam remaja.
Dia sudah menunjukkan sikap tidak menghormati puan. Dan ternyata EQnya masih belum matang kerana dia kurang memahami dan merasai perasaan orang lain terutama orang yang kasih kepadanya. Ini sebenarnya normal bagi anak-anak yang membesar kurang diberi input dan penerangan bila untuk sesuatu yang berlaku di dalam hidupnya dan orang lain.
Selain itu, anak-anak yang begini juga lebih cenderung menyimpan dendam kerana dia kurang faham dan membuat andaian dia tidak dikasihi.
Sebenarnya puan, ramai orang yang sudah dewasa pun tidak matang di dalam EQ mereka. Salah satu sebabnya ialah semasa mereka kecil tekanan emosi yang menyebabkan pemberontakan mereka itu tidak dikendalikan dengan bijak oleh orang yang lebih dewasa. Lantaran itu, ia memjejas perkembangan EQ si anak dan membawa kesan kepada dirinya sehinggalah dia dewasa dan tua.
(Di sini, Ibu selitkan juga nasihat kepada anda yang telah dewasa dan membaca posting ini untuk faham bahawa, apa sahaja yg dirasai kesilapan ibu bapa mu, maafkanlah sepenuh hati. Supaya, kesilapan mereka tidak menjadi racun dalam hidup mu.
Sayang dah dewasa, dah boleh berfikir dengan baik. Maka, kendalikan hidup dengan baik. Tidak perlu rantaikan hidup mu pada kesilapan orang kepada mu. Bebaskan diri dari sakit semalam!
Bagi sayang yg bertanya soalan ini, untuk menghentikan kelakuan anak itu menjadi tabiat dan kemudiannya menjadi karekter, maka usaha kita sekarang adalah untuk membentuk dan membina EQnya agar betambah matang.
Tindakan yang boleh diambil bagi anak seusia ini ialah:
Rapatkan diri dengannya. Dia masih mahu dibelai dan dilayan mesra. Beri input yang baik dan berkesan supaya dia memahami kesan perbuatan buruknya itu. Anak pada usia ini sudah ada ciri-ciri remaja tapi masih ada ciri-ciri anak kecil. Oleh itu puan perlu bijak mengimbangkan cara puan mendekati anak puan ini.
Puan perlu bertanya tanpa interrogatif. Tapi bertanyalah dengan penuh minat ingin tahu. Contoh bertanya dengan interrogatif, “Kenapa kamu suka sangat berkawan dengan budak tu?” Contoh bertanya dengan penuh minat hendak tahu, “ Along ada kawan baru ya? Dia duduk di mana ya? Along suka berkawan dengan dia? Cuba cerita sikit pada mama, apa sebab Along suka? Bertanya dengan penuh minat dan bukan kerana hendak mengorek rahsia. Niat mesti betul!
Untuk menguatkan EQ, SQ perlu dikuatkan. Diantara perkara yang menguatkan SQ ialah bersembahyang dan memahami tuntuan agam. Oleh itu ajak dia untuk suka melakukannya. Banyakkan bercerita mengenai contoh-contoh mereka yang berakhlak mulia. Dengan ilmu agama, anak akan memahami perlunya dia berakhlak mulia terhadap ibu bapa.
Bagi yang Muslim, selain itu bacalah surah Toha ayat 1-5 dan hembuskan ke ubunnya. Dan doalah agar Allah melembutkan akhlaknya.
Kredit: Ibu Rose – Mesejnya Kasih