Ada kalanya kita terdengar anak-anak kita berkata pada jiran atau rakan sekelas mereka, “Buatlah macam tu, nanti di akhirat Allah bakar dia dengan api neraka” ataupun “Eeee, kenapa cakap macam tu? Berdosa, nanti Allah marah..”. Agak meragukan jika dialog-dialog seperti ini datang dengan sendirinya daripada kanak-kanak. Tentu ada orang dewasa yang telah menggunakan dialog tersebut kepada mereka yang kemudiannya diingati oleh anak-anak ini. Di dalam satu sisi, kejadian seperti ini mungkin satu petanda yang baik, kerana ini bermakna anak-anak telah mempunyai kesedaran tentang kewujudan Allah di sekeliling mereka.
Namun, yang agak dikhuatiri tentang dialog-dialog sebegini adalah mesej yang dibawakan tentang sifat-sifat Allah. Kadangkala, oleh kerana perbuatan kita menakut-nakutkan anak-anak dengan Allah, kita telah mencipta satu imej negatif tentang Tuhan dalam kotak pemikiran mereka. Ayat-ayat seperti “Nanti Allah marah,” “nanti masuk neraka,” ataupun “Allah benci orang yang sebegini dan sebegini” seolah-olah mem’promosi’kan kebengisan Allah pada kanak-kanak. Walhal, Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: “Sesungguhnya rahmatKu itu mendahului kemurkaanKu” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Persoalannya di sini, mengapakah kita jarang mempromosikan Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang serta yang Maha Pemberi Rezeki kepada kanak-kanak? Allah hanya diletakkan sebagai penghukum apabila kita telah kehabisan daya untuk mengawal anak-anak kita. Setiap hari, bibir kita berulangkali menyebut kalimah Bismillahirrahmanirrahim (dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang) namun kita terus memperkenalkan kebengisan dan kemurkaan Allah kepada anak-anak. Agaknya, jika inilah cara kita memperkenalkan Allah kepada kanak-kanak, adakah mungkin mereka akan merasa gembira dan selamat apabila sedar yang Allah sentiasa bersama mereka? Mungkinkah suatu hari nanti mereka akan membesar dan menjadi orang-orang yang mencintai Allah lebih dari segala-galanya?
Tips membina tanggapan yang benar tentang Allah
1.Gunakan sumber yang sahih
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan anak-anak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik?”
2.Ingatkan ganjaran Allah
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Afiq solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah suka tengok Afiq buat baik dengan mama dan sediakan Afiq pahala banyak-banyak di akhirat nanti!”
3.Imbangi kisah teladan
Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.
4.Kaitkan kejayaan mereka dengan rahmat Allah
Contohnya apabila anak kita mencapai satu kejayaan, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dah usaha sungguh-sungguh. Mesti Allah nampak Aiman usaha dan Allah berikan keputusan yang baik untuk Aiman.
5.Beritahu kanak-kanak yang Allah sentiasa sayangkan mereka
Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.