Didik Anak Berjaya, Ibu Bapanya Juga Hebat. Ibu Ni Share Ilmu Yang Didengar Dari Seorang Ustazah!

Share

Melihat seorang anak yang berjaya bukan sahaja akademiknya malah akhlaknya begitu terpuji tentu sahaja ingin kita kenali siapa ibu dan ayahnya hingga mampu mendidik menjadi anak yang cemerlang.

 

Sebagai ibu bapa, kita juga mahu melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Melalui perkongsian ini diharapkan dapat memberi inspirasi.


Saya suka untuk berkongsi tip kejayaan seorang ibu mendidik anak-anaknya. Beliau merupakan seorang ustazah dan ibu kepada lima orang anak.

Subhanallah… takjub saya mendengar cara pendidikan beliau kepada semua anak-anaknya.

Pertama, urus masa dengan baik. Kata beliau, sepanjang cuti sekolah, beliau akan habiskan masa bersama anak-anak dengan mengaji al-Quran. Beliau tidak pernah makan angin atau berjalan-jalan.

Kedua, sarapan untuk anak-anak ke sekolah sangat penting. Beliau berikan sarapan anak-anak madu dan susu. Sarapan pagi tidak perlu berat, kerana ia akan menyebabkan anak-anak rasa mengantuk.

Ketiga, beliau memberi makanan tambahan (supplement) kepada anak-anak. Tujuannya, agar minda dan jasmani anak-anak cergas sepanjang hari.

Keempat, beliau menghantar anak-anak ke tuisyen. Ini kerana beliau tidak mampu untuk mengajar subjek teras.

Kelima, tip yang paling wow! Ibu dan anak-anak bersama-sama bangun tahajjud. Kata beliau, “Tahajjud memberi suatu kehebatan kepada pelakunya. Jika ibu dan anak inginkan kehebatan itu, bangunlah tahajjud.

Bangun tahajjud memang susah. Tetapi, janji Allah, setiap yang susah, pasti Allah balas dengan sesuatu yang mudah.”

Keenam, tip ini agak berat sedikit kata beliau. Jika boleh, di rumah, tutup televisyen. Jika boleh, tengok rancangan TV yang memberi manfaat sahaja.

Kata beliau, “Apa yang anak-anak lihat, akan memberi kesan kepada hati. Kajian mengatakan, apa yang anak lihat, mereka boleh ingat sehingga 20 tahun.”

Ketujuh, selepas solat Subuh, baca surah al-Fatihah, surah al-Insyirah dan ayat Kursi. Kemudian, tiup pada wajah anak-anak. Lakukan amalan ini setiap pagi.

Kelapan, hormati guru-guru kepada anak-anak. Kata Saidina Ali krw, “Aku adalah hamba kepada yang memberi aku ilmu.”

Satu tambahan daripada saya sendiri, doa dan redha ibu sangat penting kepada anak-anak. Doa dan redha ibu adalah payung yang menaungi perjalanan hidup mereka.

Akhirnya, kata beliau, apa sahaja keputusan anak-anak nanti, terimalah. Ia adalah kurniaan Allah. Tiada yang berlaku di dunia ini secara kebetulan. Semuanya atas ketentuan dan ketetapan dari Tuhan.

Sumber :Hasreen Halil