Amanah diperoleh, bukan diberi. Tetapi apabila dilamun cinta, kita menjadi “buta” apabila pasangan membuat sebarang kesalahan, hati wanita akan dilembutkan dengan kata-kata dan akhirnya dimaafkan. Begitulah dengan kes wanita ini yang memberi pinjam wang sebanyak RM5000 kepada tunangnya.
Wanita yang digelar Chaa telah berkongsi “screen shot” perbualan bersama bekas tunang di TikTok yang kini mendapat sebanyak 377,000 tontonan.
Chaa mendakwa bahawa lelaki tersebut sering meminjam wang daripadanya sejak mereka masin bercinta sebelum nombor telefonnya disekat atau “block” dan tidak lagi dapat dihubungi.
Melalui satu temu bual bersama mStar, Chaa, 23, berkata dia amat menyesal kerana rela membiarkan bekas tunangnya itu berhutang wang daripadanya kira-kira berjumlah RM5,000.
“Mula-mula saya memang percayakan dia sebab dia cakap nak ganti balik duit yang dipinjam. Dia pun ada guna duit saya dulu dalam RM2,500 tapi diganti balik. Lepas tu dia asyik minta lagi. Setiap kali pinjam tak pernah bawah RM50, mesti RM100 ke atas saja. Kalau saya tak nak bagi dia akan telefon saya berulang-ulang kali. Kalau saya nekad tak layan, dia akan mesej dekat WhatsApp sampailah saya rimas. Akhirnya saya bagi juga sebab nak suruh dia diam,” ujar Chaa.
Menurut Chaa, semakin lama mereka menjalinkan hubungan, lelaki itu semakin ‘giat’ meminjam wang walaupun hutang terdahulu masih belum dibayar.
Chaa mendakwa, pelbagai alasan diberikan lelaki itu ketika mahu meminjam wang dan sering menabur janji-janji manis untuk membayar hutang itu semula.
“Sepanjang saya dengan dia, memang dia asyik berhutang saja. Kononnya nak beli barangan motosikal dan banyak lagi alasan lain. Bukan sikit-sikit dia minta. Padahal gaji saya lagi rendah berbanding dia setiap bulan.
Sebelum kami putuskan untuk bertunang dulu, dia dah bayar segala hutang. Jadi saya ingatkan dia okay, itu yang saya teruskan juga pertunangan kami. Tak sangka lepas bertunang lagi teruk. Masa bertunang barang hantaran pun guna duit saya. Buat makan-makan pun famili saya tanggung. Anggaran kos majlis bertunang dalam RM2,000. Dia cuma beli cincin saja” katanya.Tidak lagi mampu dipergunakan, Chaa memutuskan ikatan pertunangannya pada 3 Jun lalu, lebih sebulan selepas majlis pertunangan diadakan iaitu pada 7 Mei 2022.
Sehingga kini, Chaa mendakwa hutangnya hanya dilangsaikan sebanyak RM300 sahaja daripada jumlah keseluruhan dianggarkan RM5,000.
Tambahan pula, apabila diminta supaya segera menyelesaikan segala hutang, lelaki itu didakwa mengugut Chaa untuk menyekat nombor telefonnya.
“Kami memang dah tak ada hubungan apa-apa sampai hujung bulan Jun. Bila saya asyik tekan minta dia bayar, dia suruh cakap elok-elok. Katanya kalau dia tak nak bayar, dia dah lama block saya. Tapi akhirnya memang dia block. Saya menyesal kenal dia walaupun sebulan saja kami bertunang. Sekarang saya dah tak boleh nak cari dia untuk minta duit sebab dah tak boleh berhubung,” ujar Chaa lagi.
Mengikuti perkongsian Chaa di TikTok, dia menjelaskan bahawa video dikongsi itu bagi memberi kesedaran kepada kaum wanita agar lebih berhati-hati memilih lelaki sebagai pasangan hidup.
“Untuk semua kaum hawa, kalau baru kenal lelaki dan dia dah mula nak pinjam duit, jangan tunggu lama lama. Tolonglah tinggalkan dia. Lelaki yang baik dan bertanggungjawab tak akan melakukan perkara macam tu. Jangan kasihankan dia. Nasib baiklah saya sedar awal sebelum berkahwin dengan dia,” ujar Chaa.
Terima Kasih
Sumber: @sya.azreen_ di TikTok