Luluh hati dan musnah segala impian tatkala satu-satunya anak lelaki tunggal kini telah pergi buat selama-lamanya. Lebih memilukan, pemergian tersebut dalam keadaan tragis.
Namun sebagai hambanya, ibu ini redha dan cuba menerima kenyataan biarpun cukup pahit untuk ditelan.
Tragedi hitam berlaku pada Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, sehingga mengakibatkan pelajar tahun 6 maut selepas terpijak bahagian lantai bas sekolah yang berlubang ketika mengikuti rombongan.
Dalam kejadian 12.50 tengah hari, arwah Adam maut di tempat kejadian akibat parah di seluruh badan. Difahamkan mangsa bersama rombongan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurut ibu mangsa, Nik Hasmani, pemergian anak lelaki tunggal yang juga merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu, cukup memberi kesan mendalam kepada keluarga.
Tambahan pula, arwah sangat manja sehinggakan jika baring atau tidur Adam pasti meletakkan kepala ke riba ibunya.
Sebelum kejadian, Nik Hasmani berkata anak bongsunya itu tidak menunjukkan sebarang petanda aneh, namun pada hari kejadian sebelum berangkat ke sekolah dia ada bertanyakan adakah dia patut mengikuti rombongan tersebut.
Malah beberapa hari sebelum itu, dia sempat memesan kepada anaknya agar cuba mendapat keputusan yang baik dalam percubaan UPSR, tetapi arwah tidak membalas dan hanya mendiamkan diri.
“Cuma pagi tadi, ketika bersiap nak ke sekolah, dia sempat bertanya sama ada dia perlu sertai bengkel (bengkel bahasa Inggeris) atau sebaliknya dan tak sangka itu petanda akan kehilangan anak selamanya.
“Saya hilang satu-satunya anak lelaki, malah anak bongsu yang menjadi kesayangan keluarga hilang dalam sekelip mata,” katanya yang mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dihubungi penganjur yang memaklumkan bas yang dinaiki anaknya bersama 30 lagi murid terbabit dalam kemalangan.
Katanya, dia dan keluarga diminta segera ke hospital namun tidak dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia sehingga tiba di bilik mayat Hospital Tengku Anis, di sini. Namun, sebaik tiba di hospital dia bertanyakan guru dan penganjur apa yang terjadi, namun mereka hanya mengangguk dengan wajah sedih.
Sementara itu, salah seorang rakan arwah menceritakan kembali detik cemas itu. Menurut Imam Mushaddad, sebelum kejadian dia melihat rakannya ke depan dan berbual dengan pemandu bas.
Katanya, secara tiba-tiba dia melihat Wan Mohammed Adam’terjerlus’ ke bawah sebelum dia sempat memegang bahu rakannya itu.
“Saya sempat pegang bahu Adam. Ketika itu bas masih lagi bergerak dan lama kelamaan pegangan saya terlepas sebelum dia (Adam) semakin ‘turun’ ke bawah dan terjatuh ke bawah (bas). Ketika itu Adam hanya senyap tidak menjerit minta tolong.
“Apabila seorang murid perempuan ‘nempik’ (menjerit), baru pemandu bas hentikan kenderaan. Sebaik bas berhenti, saya tidak berani melihat keadaan Adam dari dekat.” Ujarnya sambil memberitahu dia dan rakan-rakan tidak nampak keadaan lantai bas yang retak itu.
Sumber: Harian Metro & Sinar Harian