“Dia Sangat Teruja Untuk Melihat Air Terjun Apabila Sampai Ke Resort.” Keinginan Jadi Petunjuk, Keluarga Sahkan Mayat Ditemui Tanpa Pakaian Adalah Nora Anne

Share

Percutian yang sepatutnya meninggalkan memori indah buat keluarga ini  akhirnya bertukar tragedi apabila Nora Anne yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui ditemui di kawasan hutan di Pantai, Seremban, semalam. Selama 10 hari pihak berkuasa melancarkan pencarian, akhirnya menerima khabar duka.

Nora Anne yang dilaporkan sebagai orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Pihak keluarga remaja berkenaan mengesahkan mayat tersebut adalah  Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu diperoleh selepas keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Nora Anne. Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Hospital Kuala Lumpur pada 10 pagi esok,” katanya pada sidang media di Unit Forensik HTJS, semalam.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi SAR tidak berhenti lagi untuk kita jalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Terdahulu, ahli keluarga remaja itu dilihat hadir di Unit Forensik HTJS untuk membuat proses pengecaman, pada 8.40 malam.

Mayat Nora Anne ditemui di Gunung Berembun berhampiran sebuah resort di Pantai, Seremban, 1.57 petang hari ini.

Mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi SAR berkenaan.

Mayat ditemui di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempat remaja itu menginap. Ketika ditemui, mayat tidak berpakaian berhampiran anak sungai.

Keinginan Nora Anne Quoirin untuk melawat sebuah air terjun memberi petunjuk kepada pasukan pencari untuk mencari gadis berkenaan di kawasan berkenaan, walaupun pencarian kawasan itu sudah dilaksanakan sebelum ini.

Seorang sukarelawan Shirley Yap dari Kelab Mendaki Seremban memberitahu portal Daily Mail Online bahawa dia terdengar tentang keinginan gadis itu untuk melawat air terjun lantas membuatkan pasukannya bertekad untuk melakukan pencariannya di kawasan berkenaan.

“Kami dengar bahawa dia (Nora) sangat teruja untuk melihat air terjun apabila dia sampai ke resort. Kami mencarinya di kawasan itu dan menuruti aliran sungai.” jelas Shirley kepada portal tersebut.

Kawasan mayat berkenaan ditemui termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Pencarian Nora Anne sebelum ini mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu juga mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar — antaranya pakar penjejak terdiri anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, penduduk orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah kawasan hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Sumber: Astro awani, Daily Mail Online, Harian Metro