Berusaha mencari jodoh terbaik buat anaknya, pelakon, Zarina Zainuddin mendedahkan anak lelakinya, Muhammad Raizal Azrai atau Azal kini sedang mengenali hati budi seorang wanita.
Berkongsi kisah itu kata Zarina, seorang wanita warga Indonesia yang dikenali dengan nama Rahmah berjaya menambat hati anak lelakinya, Azal sejak bertemu awal tahun lalu di Singapura.
Namun katanya lagi, perkenalan itu mula rapat sejak sebulan yang lalu.
“Mereka sudah jumpa banyak kali. Sekarang masih lagi dalam proses berkenalan. Hubungan mereka masih baru lagi. Rahmah bekerja di Singapura dan disebabkan itu mereka sering berjumpa di sana.
Akui Zarina lagi, dia tidak mahu terlalu berharap namun sentiasa mendoakan agar hubungan itu berakhir ke jinjang pelamin.
“Soal jodoh itu urusan Allah. Saya tak meletakkan harapan yang tinggi. Kalau ada jodoh saya terima dengan baik. Azal juga ada perasaan.
“Sebagai ibu saya mahu seorang yang boleh menjaganya nanti. Apabila tengok Rahmah saya pun suka sebab dia pendiam, rajin dan cekap bekerja serta pandai bawa diri,” kongsinya.
Paling terharu kata Zarina, Rahmah juga menerima baik keadaan Azal yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme.
“Dia tahu kondisi Azal dan boleh menerima baik. Azal pun boleh berdikari dengan baik jika berniaga di sana. Azal ada kerja dan wang simpanan sendiri jadi memang tiada masalah untuk dia berkahwin,” kongsinya lagi.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club