“Dia Pukul Berkali-Kali Belakang Kepala” Kamal Adli Diserang, Uqasha Minta Orang Ramai Doakan Buat Suami

Share

Pelakon Uqasha Senrose memaklumkan suaminya, pelakon Kamal Adli cedera parah selepas diserang oleh individu tidak dikenali, di Singapura.

Menurut Uqasha semasa dihubungi, kejadian itu berlaku ketika mereka sedang berada di satu acara di negara itu, malam tadi.

“Kami ada acara ekspo di Singapura. Hari ini adalah hari terakhir dan kami dah nak selesai. Lebih kurang jam 10 malam, ada seorang makcik nak bergambar di kerusi roda.

“Saya dan suami bergambar dengan makcik itu. Tiba-tiba, ada seorang lelaki datang dan bertanya, Kamal mana.

“Kami fikir, dia peminat. Kamal tegur dia, tiba-tiba dia keluarkan cota dari poket. Dia pukul berkali-kali belakang kepala.

“Darah berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam,” ujarnya.

Berkongsi tentang keadaan terkini Kamal, Uqasha memaklumkan bahawa Kamal perlu menjalani pembedahan kerana luka yang besar dan panjang.

“Saya sedih kerana Kamal perlu jalani pembedahan, sebab belakang kepala luka panjang. Mungkin dia kena ditidurkan.

“Saya tak boleh nak masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma boleh buat laporan polis di Singapura,” katanya.

Pelakon yang berusia 31 tahun itu meluahkan kerisauannya apabila dia dan adik beradiknya turut menerima ugutan daripada individu itu.

“Bila dia dah ditangkap oleh orang awam, dia berikan beberapa alasan antaranya, kononnya dia dihantar oleh satu pihak, kemudian, katanya dia ada isu peribadi dengan Kamal dan bila ditanya lagi, dia beritahu bahawa dia cemburu apabila Kamal berkahwin dengan saya.

“Yang menjadi kerisauan kami, dia sempat memberikan ugutan kepada kami. Katanya, dia ingat wajah kami termasuk adik beradik saya dan akan menanggung akibatnya.

“Kalau dia ada cota dan senjata tajam, tak mustahil dia ada senjata api juga. Depan polis pun dia berani berikan ugutan,” jelasnya.

Terdahulu, Uqasha memuat naik video pendek di Instagram, memaparkan dirinya sedang menangis di hospital dengan keterangan, memohon doa daripada orang ramai buat suaminya.