Tarikh 19 Februari yang lalu menyaksikan pelakon, pelawak dan ahli perniagaan, Syanie Hisham, 47, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Zahril Hafiz Mohammed Nor.
Majlis berlangsung dalam suasana ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut Syanie, majlis itu hanya disaksikan bapa, adik perempuannya dan abang kepada pengantin lelaki.
Tiada wang hantaran diserahkan, sebaliknya hanya mas kahwin dalam bentuk gelang emas. Syanie pula hanya menyarungkan cincin ke jari manis suaminya sebagai tanda termeterai ikatan.
“Zahril mula mendekati saya sejak tiga tahun lalu. Ketika itu, saya fikir, belum masanya mencari pengganti.
“Pengajaran lalu mematangkan saya. Namun, sejak setahun lalu, dia bersungguh-sungguh mahu ‘memancing’ saya.
“Sikap budimannya juga antara sebab yang buat saya tersentuh. Dia menjadi lelaki pertama yang berani cakap nak kahwin dengan saya dekat ibu,” katanya.
Kata Syanie yang sebelum ini sudah lima tahun hidup solo, suaminya juga bergelar duda tiada anak.
“Mungkin masing masing tahu kehidupan lampau bagaimana dilalui kami. Jadi mungkin itu yang buat kami jadi klik,” katanya
Lebih manis lagi, anak kepada penerbit filem, Ruhani Ab Rahman itu juga mengambil keputusan untuk berhijab pada hari yang sama pernikahannya. Hasrat tersebut katanya sudah disuarakan kepada suaminya sejak tahun lalu.
“Saya memang ada berkongsi dengan suami (ketika itu masih berstatus tunang) mengenai keputusan nak bertudung. Dia ada bertanya bila nak ke arah itu. Saya bagaimanapun menjawab belum pasti lagi bila.
“Cuma saya ada beri bayangan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan. Dia pun paling suka dengan apa yang saya bakal lakukan.
“Tanpa bercakap panjang, dia hanya tunduk bersetuju. Alhamdulillah, saya kotakan perkara itu saat kami diijabkabulkan,” katanya yang bertunang Ogos tahun lalu.
Tambah peserta program Masterchef Selebriti musim kedua itu, dia harus menjaga batas dan maruah suaminya.
“Apa jua keputusan saya lakukan, dia tetap menyokong,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syanie berkata, imejnya itu tidak menjadi masalah untuk filem Hantu Kuat Ketawa yang bakal dilakonkannya.
“Secara kebetulan dan bagai dipermudahkan, filem kedua arahan Mawi yang menggandingkan saya dengan Saiful Apek itu memang watak bertudung.
“Jadi, saya ‘on’ saja. Insya-Allah penggambaran filem itu akan bermula 27 Februari ini. Saya sendiri teruja kerana filem komedi seram itu akan mengimbas kembali kenangan berlakon dengan Saiful Apek suatu ketika dahulu.
“Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, saya sebenarnya terlalu rindu untuk kembali beraksi dengan Saiful Apek. Terima kasih Mawi kerana kembali menyatukan kami,” katanya.