Pasangan ini membuktikan cinta tidak hanya berlandaskan paras rupa dan fizikal tetapi keikhlasan hati.
Justeru ungkapan cinta tak mengenal rupa sangat sesuai untuk menggambarkan pasangan yang cukup istimewa ini. Kalau hati sudah berkenan, kekurangan yang ada diaanggap satu keistimewaan.
Demikian juga dengan pasangan Mohd Azran Zainal Abidin, 27 dan Siti Sarah Osman, 27, apabila memilih untuk bersatu sebagai suami isteri yang sah.
Fizikal Siti Sarah yang merupakan orang kurang upaya kategori kerdil bukan menjadi halangan untuk pasangan ini yang menyulam cinta sejak 2010.
Pasangan istimewa itu disatukan di rumah Siti Sarah di Jalan Melati, Kampung Sura, di sini, jam 10 malam pada Jumaat lalu.
Mohd Azran berkata, dia tidak melihat kecacatan isteri sebagai halangan untuk mereka melangsungkan perkahwinan.
“Saya tidak melihat paras rupa, warna kulit dan kesempurnaan fizikal kerana kelemahan itu menjadi indah dan sempurna apabila adanya rasa cinta.
“Sepenuh hati saya mencintainya dan menerima dia seadanya kerana dia cukup istimewa serta sempurna untuk saya,” katanya yang berasal dari Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Putih, Kelantan.
Menceritakan kembali detik pengenalan mereka, Mohd Azran berkata, mereka mula berkawan selepas berjumpa ketika sama-sama menyertai Kem Motivasi Tingkatan Enam di Besut pada 2010 sebelum menjadi rapat.
“Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut sementara isteri pula pelajar Sekolah Menengah Agama Maarif namun kami sekadar berkawan pada awal perkenalan sebelum timbul perasan sayang selepas merasai banyak keserasian.
“Saya tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap kami dan saya bersyukur apabila isteri menerima lamaran saya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu pemasaran farmasi.
Bagi Siti Sarah pula, kesungguhan dan keikhlasan suami sepanjang perhubungan mereka membuatkan dia menerima lamaran suaminya.
“Biar pun serba kekurangan namun suami tidak melihat kelemahan itu dan bersedia untuk berkahwin dengan saya.
“Saya tidak pernah menagih simpati dengan kekurangan yang ada sebaliknya menjadikan ia sebagai motivasi dan dorongan untuk berjaya.
“Malah, saya sendiri tidak pernah menyangka akan berkahwin secepat ini, ternyata Allah sentiasa adil dalam mencorakkan kehidupan setiap hambanya,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Kolej Universiti Insaniah Kedah.
Siti Sarah menzahirkan rasa syukur bertemu jodoh dengan seorang suami yang bertanggungjawab dan baik hati.
Sumber: Berita Harian & Teganukita.net