Dua suspek kes samun kedai dobi layan diri ditahan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda petang semalam. Suspek bersama isterinya yang berusia 30-an diserahkan sendiri ibu suspek kepada pihak polis dipercayai terlibat dalam kes terbabit.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Alathrash Wahid berkata, kedua-duanya adalah pasangan suami isteri beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Jelas Mior, ibu suspek yang merayu agar anaknya menyerah diri telah membawa suspek ke IPD Kuala Muda untuk tindakan susulan pihak polis dan berdasarkan siasatan awal dan suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan.
Sementara itu, Ibu suspek ada memuat naik catatan menerusi di akaun Facebook miliknya. Wanita berkenaan yang mengaku sebagai ibu kepada salah seorang suspek mendakwa, dia pergi ke balai polis untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Salah tetap salah walaupun anak. Mungkin kerana keadaan terpaksa menyebabkan dia bertindak begitu akibat pengaruh kawan-kawan.
“Ibu mana yang mahu anaknya menjadi seperti ini? Tetapi tiada daya upaya saya, segalanya telah terjadi dan cuma yang tinggal kini hanya memanjatkan doa kepada Ilahi agar diberikan ketenangan dan hidayah untuknya,” kata wanita berkenaan ketika membalas pertanyaan salah seorang individu sama ada suspek tersebut merupakan anaknya.
Wanita itu dalam komen sama turut memohon maaf kepada semua pihak terutamanya kepada mereka yang menjadi mangsa.
Sementara itu dalam status yang dimuat naik, wanita tersebut mengakui merasa tidak kuat untuk menerima dugaan.
“Di manakah salah dan silapku sebagai seorang ibu? Telah ku curahkan segalanya buat anak-anak tersayang namun apakan daya segala pengorbanan dan penat lelah seorang ibu tidak diambil peduli.
“Mengapakah jalan mudah yang diambil? Andai ada salah silapku dalam mendidik mereka sebelum ini, Kau berikanlah petunjuk buat mereka agar dibukakan pintu hati ke arah kebaikan. Sesungguhnya hanya pada-Mu aku meminta pertolongan dan berserah.
Sumber; Sinar Harian & Utusan Online