Apabila anak-anak tak sihat, mak dan ayah orang yang paling tak senang duduk. Rengekan si kecil menahan kesakitan membuatkan hati terasa sedih.
Di tambah pula waktu menerima rawatan, pelbagai cara dilakukan supaya si anak tidak meragam.
Demikian dengan anak penyampai radio Hotfm, Haziq Husni apabila kedua-dua anaknya dimasukkan ke wad akibat radang paru-paru.
Menurut Haziq, anak-anaknya Muhammad Heidy Nufael, 21 bulan dan Chayra Aulia, empat bulan disahkan terkena penyakit berkenaan selepas doktor melakukan ujian X-ray.
Sebelum ini dia sering membawa anak-anaknya ke klinik tetapi doktor hanya menyatakan ia batuk biasa.
“Lebih tiga bulan kedua-dua anak saya mengalami batuk berterusan sehingga memaksa saya membawa mereka ke hospital.
“Heidy sebelum ini hanya mengalami batuk biasa malah dia sangat aktif, tetapi ia menjadi teruk apabila dia mula mengeluarkan batuk berkahak sehingga muntah.
“Manakala Chayra pula batuk setiap hari dan tidak sangka ia adalah punca radang paru-paru,” katanya.
Katanya, kedua-dua paru-paru Heidy mengalami masalah dan Chayra hanya sebelah saja.
Tambah Haziq lagi, kemungkinan anak-anaknya akan ditahan selama seminggu di hospital untuk memudahkan doktor melakukan pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
“Sebagai seorang bapa pastinya saya bimbang melihat keadaan mereka apatah lagi Chayra sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang lama akibat penyakit Pertussis (batuk kokol).
“Sekarang penyakit lain pula yang dia hidapi. Saya mohon doa semua semoga anak-anak saya segera sembuh kalau boleh saya tidak mahu mereka lama-lama di hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Haziq turut memuat naik satu video yang menunjukkan dia sedang memujuk anaknya mendapatkan rawatan neb.
Menariknya, Haziq menggunakan pendekatan menyanyi bagi membolehkan anaknya senyap dan tidak meronta-ronta ketika rawatan tersebut.
“Ni cara daddy bagi Heidy senyap time neb. Kesian memang kesian. Tapi nak sihat kan? Kena juga neb. Dengar bunyi neb tu je dia dah start tak tentu arah. Meronta gila-gila. Macam kena rasuk. Dah bedung pun hancur bedung tu.
“Tak senang ya guys. Kena depakan tangan dia ketepi. Kunci pakai tangan kita. Tapi kunci lembut-lembut je. Kemudian, kaki dia kunci dengan kaki kita. Kepala dia pun tak boleh duduk diam juga.
“Jadi, tangan kiri kita kena letak bawah dagu kasi dia tak boleh gerak. Last, nak bagi suasana ceria daddy nyanyi lagu Apa Khabar,” Tulis Haziq di kapsyennya.
Ramai pengikut Haziq di laman instagramnya berkongsi pengalaman dan petua untuk menangani anak ketika menerima rawaran neb.
Sumber: IG haziq_hotfm & Harian Metro