
Sinki tersumbat memang jadi masalah kalau nak masak. Apalagi kalau sinki bocor. Silap-silap terus mood nak masak untuk keluarga hilang.
Selain tersumbat, sinki juga menjadi tempat pembiakan bakteria. Malah, jika tidak dicuci akan menyebabkan ia nampak kotor dan berkerak hitam.
Bukan itu sahaja, lama kelamaan ia akan kelihatan pudar dan kusam. Untuk kilatkan sinki ni, tak susah mana. Ada 2 cara yang boleh dicuba. Jom tengok cara-cara yang anda kena buat.
Jom cuba petua ni. Paling senang nak buat.
BAHAN-BAHAN:
Lemon
Garam
Caranya mudah sahaja. Ikuti langkah yang diberikan ini.
1. Potong lemon seperti biasa.
2. Kemudian sentalkan lemon pada kerak-kerak sinki yang jelas kehitaman. Sental dengan kuat.
3. Letakkan sedikit garam di kawasan berkerak.
4. Kemudian gosok lagi dengan menggunakan berus gigi yang sudah tidak digunakan lagi.
5. Sental dan gosoklah hingga semua kotoran tertanggal.
6. Akhir sekali, cuci dengan air panas dan hasilnya sinki bukan hanya bersih tapi lebih berkilat.
Selamat mencuba!
Ajar Anak Mengaji Bukan Sekadar Pandai Baca, Tapi Biarlah Hingga Mereka Cintakan Al Quran. Ni Caranya Perlu Buat!

Soal memastikan anak-anak boleh membaca Al-quran biasanya ibu ayah mengambil hal ini dengan serius. Andai tidak dihantar kepada guru agama untuk mengajar al quran, ibu bapa hari ini juga ramai berpengetahuan dan boleh mengajar anak dalam mengenal huruf alif ba ta dan seterusnya mengaji dengan lancar. Tahniah diucapkan!
Pun begitu, terbaca perkongsian daripada Puan Siti Aminah Sulaiman ini tentu sahaja boleh membuatkan kita berfikir sejenak dan sekali gus terbuka minda. Rupa-rupanya ada perkara-perkara tertentu yang biasa kita lakukan saat mengajar anak boleh menjadi ‘pembunuh’ jiwa anak kecil mencintai Al Quran.
Ketahui lanjut tentang itu, jom semak perkongsian bermanfaat ini.
5 DEADLY MISTAKES yang biasa kita buat ketika ajar anak Al Quran
Kenapa saya berani panggil DEADLY?
Deadly= membunuh!
Kerana dengan kesalahan ini kita sebenarnya membunuh jiwa anak kecil dari mencintai Al Quran. Pengalaman saya sebelum ni berjumpa beratus ibu-ibu yang ajar sendiri anak Al Quran dirumah, komplen mereka ialah makin mereka rajin nak ajar anak,
tapi anak jadi makin liat atau tak nak langsung baca Al Quran !
Entah mana salah dan silapnya. Rupanya bila dikaji semula, ada beberapa kesalahan yang biasa kita lakukan tanpa sedar.
1) Marah atau Rotan
Kadang-kadang niat kita baik, nak anak pandai baca Al Quran dari kecil. Kita tak nak ulang lagi kesilapan kita yang buta huruf masa kecil dulu. Jadi kita halalkan rotan bila ajar anak mengaji Al Quran.
Silap sikit tertukar huruf, habis dihambur anak tu ‘lembap’ sebab tertukar huruf antara ج (jim) dan خ (kho). Kesian anak tu, agak-agaknya dah besar nanti dia suka ke baca AL Quran?
Kalau mungkin dulu kita pernah rasa sakitnya dirotan atau disebat masa mengaji, tolong jangan ulang lagi rasa sakit tu pada anak kita. Izinkan mereka jatuh cinta dengan Al Quran
Zaman kecil kita sudah berlalu, yang lepas tu biarlah sudah. Marah atau rotan anak ketika mengaji al Quran hanya akan mampu lahirkan anak boleh baca Al Quran dalam masa singkat kerana TAKUT tapi tidak akan berjaya lahirkan anak yang cinta Al Quran.
Muhasabah semula diri kita, ambil rotan tu sebat balik diri kita, sakit dan bisa tak rasa dia?
2) REWARD
Kaedah ini memang sangat cepat. Saya pun pernah tertipu bila guna kaedah reward untuk umpan anak baca dan hafaz Al Quran. Tapi at the end rupanya anak hanya mengaji bila dapat reward.
Perlahan-lahan saya berhenti guna kaedah reward ni dan saya sendiri mula lazimi dan rutinkan Al Quran setiap hari. Saya perasan anak saya mula rajin baca Al Quran tanpa perlu disuruh lagi. Pernah anak kedua saya datang ketika saya sedang membaca AL Quran dan bertanya:
“Mak suka baca al Quran eh?”
Saya mengangguk dan sambung semula baca. Tak lama lepas tu anak 4 tahun saya bawa juga Al Quran dia dan baca sebelah saya. Indah sekali momen tu, tak mampu dibeli dengan segunung duit pun.
Kita perlu mula dulu menjadi CONTOH kepada anak, mereka sangat mudah mengikut.
3) COMPARE / PERBANDINGAN ANTARA ANAK
Ini juga kesalahan yang kerap ibu ayah lakukan. Saya juga hampir jatuh dalam kesilapan ini tapi suami saya berjaya selamatkan saya. Bila kita ada anak lebih dari seorang,
kita akan melihat pelbagai pattern cara belajar anak. Ada anak yang cepat baca, ada yang lambat.
Di sini kita akan mudah bandingkan kelebihan mereka. Anak pertama saya sangat cepat belajar baca Al Quran, umur 3 tahun dah boleh baca sendiri al Quran.
Bila mengandung anak kedua, saya sangat confident anak kedua ni boleh baca lebih laju dari abangnya. Rupa yang berlaku adalah sebaliknya.
Allah Al Mussawwir menciptakan mahluknya dalam pelbagai rupa dan kelebihan.
Anak kedua ni lambat tangkap skil membaca tapi mempunyai daya hafazan yang luar biasa. Suami minta saya FOKUS kepada KELEBIHAN anak-anak dan lebihkan BERSYUKUR. Jangan bandingkan anak-anak, setiap anak ada fasa belajar mereka sendiri yang penting mereka ENJOY momen belajar Al Quran mudah mereka membesar menjadi Pencinta Al Quran
4) PAKSA
Jangan dipaksa anak menghafaz Al Quran kalau mereka tidak berminat. Kenal pasti kenapa anak jadi tidak berminat?
Ada sebab mereka tak nak mengaji atau hafaz Al Quran. Suburkan cinta dan minat secara semula jadi. Tapi bagaimana?
Di sinilah kita perlu banyakkan bercerita kisah-kisah dalam Al Quran kisah ajaib seperti kisah pemuda al Kahfi, kisah-kisah nabi, kisah pemuda yang tidur 100 tahun dan banyak lagi kisah lain pasti akan buatkan anak teruja untuk mendalami sendiri al Quran
SubhanaAllah. Inilah kehebatan dan mukjizat AL Quran.
Saya sudah pernah cuba kaedah ini kepada sekumpulan anak kecil. Saya tidak paksa mereka hafaz surah Al Kahfi, saya mulakan dengan bercerita dulu kisah pemuda yang tidur dalam gua selama 309 tahun.
Kemudian anak-anak ini yang MINTA SENDIRI untuk hafaz ayat dalam surah al Kahfi
Ingat, jangan PAKSA anak hafaz, tapi tanamkan benih cinta dulu. Proses menghafaz akan jadi lebih mudah.
5) LUPA DOA PADA ALLAH
Sering kita tertipu bila anak pandai baca Al Quran, kita rasakan semuanya atas hasil usaha kita sendiri, dalam hati selalu bisik ” pandai aku ajar anak aku..” buang perkataan ‘AKU’ tukar pada ‘DIA’
DIA= ALLAH
Kita tidak akan mampu ajar anak al Quran tanpa pertolongan Allah. Allah yang beri kita sihat supaya dapat ajar anak. Kalau sakit mampu ke kita ajar?
Allah izinkan kita ada masa untuk ajar anak. Kalau kita sibuk ada masa ke nak ajar?
Semua berlaku dengan IZIN ALLAH dan untuk dapat anak yang CINTA al Quran,
perlu minta pada ‘DIA’. Sangat perlu minta pada DIA kerana dia yang pegang hati setiap hambanNya
Allah yang berhak pilih siapa yang DIA nak beri NUR al Quran , tugas kita sebagai ibu bapa ialah terus menerus berdoa saya sentiasa mengingatkan diri saya untuk merebut waktu mustajab seperti petang Jumaat, waktu Hujan, sebelum berbuka puasa.
Saya pasti akan submit doa supaya Allah jadikan anak-anak saya orang yang cinta Al Quran, hati dipenuhi Nur dan lidah basah sentiasa membaca KalamNya..
Ibu-ayah sudah berdoa?
Jangan malu untuk minta pada yang Menjaga Hati iaitu Allah. Andai ada kita ada buat silap pada anak ketika mengajar AL Quran, minta maaf pada Allah dan pada anak kita.
sumber : Siti Aminah Sulaiman
Tidur Kurang 5 Jam Pun Boleh Jadi Sebab Perut Buncit. Dr Ni Kongsi Punca & Cara Kempiskan Perut!

Tidak dapat dinafikan perut buncit menjadi masalah yang dialami kebanyakan antara kita, tidak kira lelaki mahupun wanita. Pun begitu, apakah sebenarnya menjadi penyebab perut kita mudah menjadi buncit?
Dikatakan perut buncit ini boleh terjadi disebabkan beberapa faktor, dan salah satunya sebab tidak bersenam. Kalau ditanya bila kali terakhir anda bersenam? Mungkin seminggu yang lalu, sebulan yang lepas atau langsung tidak pernah bersenam?
Jawapannya ada pada anda sendiri.
Pun begitu, itu salah satu faktor penyebab perut akan menjadi buncit, namun menurut perkongsian Dr Rizal Abu Bakar, ada lagi sebab lain yang menyebabkan semakin ‘menjadi-jadi’ bagai di pam keadaan perut seseorang itu.
Antaranya adalah kerana stres, tak cukup tidur, pengambilan gula, dan sebagainya.
Selain itu, turut dikongsikan di sini 7 cara yang boleh dipraktikkan untuk bantu hilangkan buncit tersebut. Nak tahu detail, ini perkongsiannya.
7 CARA KEMPISKAN PERUT
Uish bukan senang nak kempiskan perut. Nak naik kejap jer. Bila nak turun bukan main susah. Susah bukan kerana kompleks sangat. Tapi sebab cara tak kena.
Apakata cuba 7 cara di bawah. Untung-untung mengempis jadinya.
1. Makan makanan tinggi protein. Protein akan lepaskan hormon PYY. Hormon ini akan hantar isyarat ke otak.

Katanya “bro/sis engkau dah kenyang. Udah udahlah tu” Kita pun sebut “ oh ye ke, ok ok saya berhenti sekarang.”
2. Kena bijak urus stres. Stres ni akan keluarkan hormon kortisol. Hormon ini hobi dia ialah kumpulkan lemak. Mau tak membesar perut jadinya.
Happy sungguh kortisol buat kerja kerja yang kita tak suka. Macam orang letak simen pada batu bata masa buat rumah. Ditempek tempek.
Dia juga dengan bangganya bantu naikkan selera makan. Tahap melahap dan membantai makanan memuncak. Semua nampak sedap.
3. Katakan tidak pada gula putih. Cik putih ni sangat bahaya. Dia punya moto ialah “hidup aku untuk gemukkan orang.”
Mahu selamat? Berpisahlah dengan cik putih ni. Bila kita ambil, cik putih akan ketawa besar. Ketawa macam orang jahat dalam filem.
Seronok dia kumpulkan lemak juga.
4. Senaman – angkat berat, aerobik dapat cepatkan misi kempiskan perut.
5. Tidur – kajian selama 16 tahun dapati wanita yang tidur kurang dari 5 jam akan alami peningkatan lemak bahagian perut berbanding dengan wanita tidur 7 jam.
Cuba semak, berapa jam tidur malam tadi. Cukup? Cuba usap perut dan sebut “alahai besar juga engkau ye”
6. Ambil lemak ikan – jadikan omega 3 sebagai rakan karib anda. Ambil 2000mg sehari. Cari yang anti reflux. No mercury.
7. Ambil makanan tinggi serat – serat dari sayur dan buahan akan bentuk gel di saluran pencernaan. Makan lambat nak lepasi saluran ini.
Jadi kita rasa kenyang. Kurang rasa nak berjajan. Perut terisi fokus meninggi.
Ada banyak lagi tips. 7 ni pun dah cukup kalau buat dengan konsisten. Soal pada diri, sayang sangat ke dengan “baby bump” tu? Kalau tak, bila mahu bertindak?
Sumber : [su_button url=”https://www.facebook.com/ococdrrizal/posts/2356940967778905″ style=”bubbles” background=”#bba7fc” size=”2″]Dr Rizal Abu Bakar [/su_button]
ARTIKEL MENARIK : “Jual Murah Niatkan Atas Nama Arwah Anak Yang Kemalangan Di Kawasan Ini…” -Lelaki Ni Jual Roti Canai 50 Sen!
LAGI ARTIKEL MENARIK :Sekeluarga Terkejut Jumpa Ikan Bakar Murah, RM2 Seekor Masa Bercuti Ke Utara!
Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
Anak Merajuk Tak Bertegur Sapa, Jangan Ambil Ringan Tapi Kena Bertindak!

Setiap anak ada sahaja ‘perangainya’ yang kadang-kadang memang boleh buat kita sebagai ibu ayah marah terhadap mereka.
Pun begitu, marah kita pada asalnya untuk tujuan menegur dan mendidik. Namun penerimaan anak-anak ada sahaja dibantahnya hingga menyebabkan timbul rasa merajuk dan memberontak dalam diri mereka hingga tidak mahu bercakap, membisu seribu bahasa!
Andai situasi ini terjadi, bagaimana cara perlu kita bertindak?
Nak tahu lanjut, jadikan perkongsian ini sebagai panduannya. Semoga bermanfaat dan jika nak macam-macam info, sila Join channel Telegram keluargagader club
Ini adalah punca asal mengapa wujudnya situasi ANAK TIDAK BERTEGUR SAPA dengan ibu atau ayah selama berminggu-minggu atau setahun lamanya.
Ia bermula dengan perangai MERAJUK KECIL tetapi akhirnya anak-anak sanggup jadi DERHAKA dengan cara tidak mahu bertegur sapa dengan ibu bapa mereka.
Sudah selalu sangat saya dengar cerita tentang anak-anak remaja yang tidak bertegur sapa dengan ibu bapa walaupun tinggal sebumbung.
Malah beberapa minggu lalu, salah seorang anakanda saya sendiri bercerita tentang seorang kawannya yang sudah 2 minggu tidak bercakap langsung dengan ibunya sendiri di rumah.
Daripada sudut pandang agama, memang sudah jelaslah bahawa ini adalah satu dosa yang sangat besar. Saya tidak perlu huraikan lebih lanjut.
Namun apa yang ingin saya TIMBULKAN PERHATIAN di sini ialah bagaimana ini boleh BERMULA.
Ramai ibu bapa tidak perasan, kesanggupan tidak bertegur sapa dengan ibu bapa ini bermula dengan perangai marah atau merajuk dengan ibu bapa lalu melarikan diri dan MENGURUNG DIRI di dalam bilik.
Sebagai contoh, katakan anak buat satu kesalahan dan kemudian kena marah dengan ibu bapa.
Anak ini terus merajuk dan melarikan ke dalam bilik, tidak mahu keluar. (Atau melarikan diri dengan cara keluar dari rumah).
Bukan itu sahaja, kadang-kadang dia melarikan diri masuk ke dalam bilik sambil menghempaskan pintu bilik dengan sangat kuat.
Apa tindakan ibu bapa apabila ini berlaku? Tidak ada.
Ibu bapa biarkan sahaja dia merajuk dan berkurung diri dalam bilik. Alasannya, kalau dia dah penat atau lapar nanti, keluarlah dia.
Berapa lama sangat dia nak merajuk dan berkurung begitu kan?
Memang betul, dia akan keluar dan mungkin berhenti merajuk bila lapar atau perlukan sesuatu daripada ibu bapa.
Masalahnya, apabila tidak ada tindakan daripada ibu bapa, anak-anak RASA perangai itu adalah TIDAK SALAH. Jadi ia akan diamalkan.
Tapi, satu MASALAH yang ibu bapa tidak nampak ialah mereka telah mewujudkan satu KEBENARAN atau ‘OPTION’ untuk anak-anak
Tunjuk rasa marah dengan melarikan diri daripada ibu bapa.
Tunjuk rasa marah dengan menjauhkan diri, menjarakkan diri dan tidak bercakap dengan ibu bapa.
Lebih memburukkan keadaan, apabila anak mengurung diri tidak mahu bercakap dengan ibu bapa, si ibu bapa pun mahu ikut sama merajuk juga!
Ibu bapa pun merajuk dengan berfikir, “tak nak bercakap sudah, nak tengok berapa lama boleh bertahan tak bercakap dengan mama/papa…”
Boleh pulak Ibu bapa ikut sama merajuk tak nak bercakap dengan anak-anak macam ni.
Aduhai……
Apabila perkara ini berterusan, sampai satu masa apabila anak semakin dewasa, setiap kali mereka marah dan merajuk begini, mereka semakin kurang perlukan ibu bapa.
Mereka mengurung diri dalam bilik dan apabila lapar, mereka cari atau masak makanan sendiri di dapur. Sudah kenyang, mereka masuk dalam bilik semula.
Mereka seolah-olah sedang berlatih membina ketahanan untuk tidak perlu bertegur sapa dengan ibu bapa.
Apa tindakan ibu bapa? Tidak ada!
Malah ibu bapa pun masih layan merajuk sama dan tidak mahu bertegur sapa dengan anak-anak.
Hasilnya, akan selalu berlaku situasi tidak bertegur sapa ini.
Apabila anak-anak sudah meningkat dewasa dan pandai cari duit sendiri, semakin hilang keperluan untuk mereka bertegur sapa dengan ibu bapa mereka.
Allahu. Minta dijauhkan.
Saya percaya, perangai merajuk dan mengurung diri ini mesti dihalang atau dihentikan sejak anak-anak kecil lagi.
Anak-anak perlu tahu bahawa jika mereka marah atau merajuk dengan ibu bapa, tidak ada ‘OPTION’ atau pilihan untuk tunjuk perasaan dengan melarikan diri atau mengurung diri.
Tidak ada ‘option’ untuk mereka tunjuk perasaan dengan perangai biadab atau kurang ajar dengan kita.
Jika mereka buat juga, pasti akan ada akibat atau hukuman yang lain pula.
Teringat saya cara Emak saya mendidik anak-anak.
Kalau Emak saya suruh anak-anak buat sesuatu dan anak-anak tunjuk perasaan dengan berjalan sambil menghentakkan kaki,
…atau buat kerja sambil mengeluarkan bunyi bising (masa basuh pinggan contohnya), itu memang CARI NAHAS namanya.
Emak saya dengar cerita ada budak merajuk dan lari dari rumah, komen emak saya, “Ha pergi la lari mana nak pergi…..
Tapi kalau balik semula, merasa la aku sebat dulu dengan batang kayu ni ha sebelum masuk rumah!”
(Fuh… berderau darah bila ingat balik kata-kata tu…)
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, fokusnya di sini, anak-anak tidak bertegur sapa atau protes dengan menjauhkan diri daripada ibu bapa adalah satu perkara yang sangat serius.
Kita mesti halang sejak mereka kecil. Jika mereka sudah biasa dengan cara begitu, mereka akan amalkan sehingga akhir hayat mereka.
Akibatnya satu hari nanti, jika ada sedikit sahaja selisih faham dengan ibu bapa, mereka dengan selesa akan memilih ‘option’ untuk menjauhkan diri dan tidak mahu pulang lagi ke rumah untuk bertemu dengan kita.
Sumber : Osman Affan
Sentiasa berdoa agar kasih sayang saya & Puan Isteri bersama anak-anak kekal hingga ke akhir hayat.