Berita

Demi Nafas Setiap Detik, Lelaki Ini Bawa 10kg Alat Bantuan Oksigen Ke Mana-Mana

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mungkin itu pepatah yang tepat bagi menggambarkan seorang pemuda tidak pernah menduga bahawa penyakit tekanan darah tinggi pada paru-parunya, atau pulmonary hypertension, telah menjadi begitu parah sehingga dia kini harus bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan oksigen setiap hari.

Memetik petikan daripada Sinar Harian, Nabil Fikri Abu Bakar, 27 berkata, tiada pilihan lain baginya selain menggalas alat oksigen seberat 10 kilogram (kg) ke mana-mana, suatu beban berat yang perlu dibawa walaupun menyedihkan.

“Saya membelanjakan hampir RM9,500 setahun. Setiap tong gas oksigen itu perlu diperbaharui setiap bulan dan menelan kos sebanyak RM630.

“Saya ada tiga tong gas untuk simpanan, ada yang beli dan dapat bantuan. Saya juga akui memang terbeban dan rimas kerana terpaksa bergantung.

“Saya inginkan kehidupan lebih baik.”

Pemuda dari Klang itu berkata, dia perlu memakai alat bantuan pernafasan selama 23 hingga 24 jam sehari tanpa henti.

“Kadang-kadang, saya kena bertahan melatih diri hidup tanpa alat bantuan ini.”

“Ini perkara yang sukar sebab saya nak hidup normal, termasuklah bekerja untuk sara keluarga dan berkahwin, sama seperti orang lain.”

TUNGGU GILIRAN UNTUK PENDERMA PARU-PARU

Lebih menyedihkan, Nabil Fikri terpaksa berhenti kerja atas nasihat pakar kesihatan disebabkan keadaannya yang semakin parah.

Tambah Nabil Fikri, dia sedang menunggu giliran untuk mendapatkan paru-paru dari penderma melalui Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, keadaan kesihatan dia berada di tahap yang kritikal sekali gus membuatkan pembedahan paru-paru akan berlaku bila-bila sahaja.

Nabil Fikri bersama doktor penyelia dan ahli keluarganya.

“Doktor susun nama ikut kumpulan tahap kesihatan, sama ada kritikal atau tidak.

“Nama saya diletakkan dalam kumpulan kritikal kerana sudah di tahap yang tidak boleh bernafas tanpa bantuan oksigen.

“Tetapi pembedahan ini ada risiko seperti pendarahan paru-paru, jangkitan kuman dan paling teruk boleh meninggal dunia,” jelasnya.

Justeru dia berharap pembedahan itu dapat dilaksanakan segera dengan baik dan lancar.

Sumber: Sinar Harian