Risaukan apabila anak demam lebih tiga hari. Apabila bagi ubat demam, masih tidak kebah demamnya. Jangan ambil mudah mengenai ini, hanya dengan memberi ubat demam sahaja. Sebagai ibu bapa, kita mahukan yang terbaik untuk setiap anak–anak terutamanya kesihatan mereka. Jalan terbaik adalah segera membawa anaka berjumpa doktor.
Ikuti nasihat Dr Ezairy M.Sallih, Doktor Otorinolaringologi (ENT) moga menjadi panduan bersama supaya ibu bapa memantau kesihatan anak-anak.
KENAPA PESAKIT PERLU BERJUMPA DOKTOR?
“Doktor, anak saya sudah tiga hari demam, sakit tekak dan hari ini tak boleh makan, bahaya tak doktor?”
“Ibu saya dah dua bulan ada ketulan kat leher dia, tekan tak sakit, kena buang tak, doktor?”
Soalan-soalan seperti ini bukanlah jarang untuk saya temui. Setiap hari saya terima puluhan mesej di sini dan di emel berkenaan soalan-soalan seumpama ini. Saya akan jawab secara ‘general’ segala masalah yang dialami.
Perlu diingatkan, semua diagnosis secara tepat perlu kepada beberapa langkah yang mesti dilakukan. Kemudian, diagnosis tepat kepada pesakit dapat dikenalpasti.
Doktor perlu menjalankan langkah seperti berikut
1. History taking
Sejarah lampau pesakit perlu diketahui. Apa pesakit ada? Kencing manis, darah tinggi, serangan strok beberapa tahun lepas dan lain-lain. Ini semua penting supaya dokor dapat melakukan rawatan yang tepat dan wajar kepada pesakit.
Gejala dan simptom terkini pesakit juga perlu diketahui secara terperinci. Ini perlu supaya kami mampu mendapatkan diagnosis tepat kepada pesakit.
2. General examination
Doktor perlu melakukan pemeriksaan menyeluruh kepada pesakit. Ini termasuk keadaan keseluruhan pesakit seperti bagaimana pesakit mampu berjalan, menggunakan kerusi roda, cara pesakit bernafas, dan banyak lagi. Tanpa melihat sendiri keadaan pesakit, doktor tidak mampu melakukan kesemua ini.
3. Local examination
Apabila pesakit mengadu mengenai masalah telinga, tekak atau hidung contohnya. Doktor akan memeriksa lebih terperinci bahagian ini. ‘Local examination’ perlu dilakukan selepas doktor melakukan ‘general examination’ kepada pesakit. Pemeriksaan pada tekak contohnya, doktor perlu melihat warna tekak, apa-apa pembengkakan pada kawasan tekak, sekitar gigi, bagaimana pula struktur sekitar tonsil dan banyak lagi.
Doktor juga perlu melakukan ‘palpation’ untuk mengenalpasti lebih terperinci ciri-ciri sesuatu penyakit. Pembengkakan pada leher contohnya boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, kebarangkalian kanser, ketumbuhan benign dan berbagai-bagai lagi. Kesemua ini memerlukan pemeriksaan secara dekat oleh doktor.
4. Keputusan ujian darah dan lain-lain
Selepas memeriksa keadaan fizikal pesakit, seterusnya doktor akan mendapat idea tentang penyakit yang dialami oleh pesakit. Dari sini, kami akan melakukan beberapa ujian yang perlu. Ini seperti ujian darah, x-ray, skan dan lain-lain jika perlu. Namun, ada sesetengah kes hanya memerlukan diagnosis secara klinikal terhadap pesakit.
Oleh itu, jika anda ada sebarang masalah, jangan ragu-ragu mendapatkan pemeriksaan doktor. Tidak semua persoalan saya mampu jawab secara terperinci. Menjadi kesalahan bagi mana-mana petugas kesihatan melakukan konsultasi dan memberi diagnosis di media sosial tanpa melakukan pemeriksaan.
Moga tulisan saya ini bermanfaat. Sebarkan info ini semoga lebih ramai mereka yang kita sayang dapat berjumpa doktor selepas ini. Jom!
Dr Ezairy M.Sallih
Doktor telinga, hidung & tekak
Minta maaf jika soalan anda tidak berjawab di ruangan mesej. Anda boleh terus tulis pada ruangan setiap artikel. Saya akan jawab mana yang boleh.
*Gambar menunjukkan beberapa jenis pembengkakan pada leher. Ia memerlukan pemeriksaan oleh doktor di klinik atau hospital.
Sumber:Dr Ezairy M.Sallih