Deep Nasihat Datuk Dr. Zulkifli Al Bakri Buat PM Ke 10. Tarik Perhatian Warganet!

Share

Sedang semua antara kita teruja menititipkan ucapan tahniah di atas pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).

Turut mencuri perhatian warganet berkenaan nukilan daripada Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Setiap baris ayat yang ditulis di entri facebooknya, dapat dirasakan keikhlasannya.

Semoga pesanan dan nasihatnya menjadi panduan bersama.

DATO’ SERI Anwar Ibrahim, INI NASIHAT SAYA

Saya mula menulis tentang Fiqh Politik sempena Pilihanraya Umum ke-15 sejak 17 November 2022 sehinggalah ke hari ini (https://zulkiflialbakri.com/category/fiqh-politik/). Saya putuskan hari ini sebagai hari terakhir saya menulis bagi siri khas ini.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kemelut pasca PRU-15 telah selesai. Apa jua yang terjadi adalah kehendak Allah SWT. Saya doakan semoga dipermudahkan segala urusan dan pertadbiran negara dengan jayanya.

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta Majlis Raja-Raja atas hikmah dan kebijaksanaan memutuskan isu yang agak rumit ini.

Kepada yang belum berjaya, ia bukanlah penamat segala-galanya. Insya Allah ada takdir yang lebih baik untuk mereka yang terus bersabar, ikhlas, dan istiqamah. Malaysia tak akan berjaya tanpa pembangkang yang melakukan semak dan imbang dengan teliti.

Kepada rakyat Malaysia – semua bangsa dan agama – inilah yang telah kita lalui pada PRU-15 yang lalu. Tarik nafas dan terima apa jua keputusan dengan lapang dada. Menang tidak megah, kalah tidak rebah. Hentikan budaya memaki hamun antara satu sama lain. Usah jadikan masa ini untuk “membalas dendam”.

Penyokong pihak Kerajaan sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan. Maka, tinggalkanlah sifat Pembangkang. Buat penyokong pihak Pembangkang, jadikan PRU-15 ini sebagai pemangkin untuk berusaha dengan lebih gigih. Anda juga menyumbang untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang. Bangkanglah dengan bijaksana, penuh insaf dan amanah demi negara.

Sebagaimana Perdana Menteri sebelumnya – bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin – saya juga telah menyampaikan nasihat yang sesuai kepada mereka dari semasa ke semasa untuk pedoman. Moga-moga Allah SWT menjadi saksi akan tertunainya tanggungjawab saya di hadapan para pemimpin. Tidaklah saya menasihati melainkan atas dasar rasa kasih kepada negara, agama dan bangsa.

Kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, saya ucapkan tahniah dan semoga mampu menggalas tugas dan amanah yang berat ini. Bertakwalah kamu kepada Allah. Pada pundakmu terhimpun segala beban amanah untuk membawa halatuju Malaysia di masa hadapan. Malaysia adalah negara umat Islam yang dihormati dunia. Maka, hargai pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia. Andalah penerus dan penentunya. Peliharalah Islam di tanah air ini dengan sepenuh jiwa raga.

Berhati-hati dengan penasihat yang jahat (bitanah al-su’) sebagaimana pesan Rasulullah SAW kepada para pemimpin. Mereka mampu menaikkan anda, mereka juga mampu menjatuhkan anda. Ingatlah juga sabda Rasulullah SAW:

إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan. Jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)

Jadilah seumpama Saidina Umar ibn al-Khattab yang pernah berkata:

أَيُّهَا النَّاس مَنْ رَأَى مِنْكُمْ فِيَّ اعْوِجَاجًا فليقومه.

“Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah ia.”

Selebihnya, mungkin Dato’ Seri masih ingat nasihat-nasihat saya semasa pertemuan kita di Istanbul, Turki satu masa dahulu. Saya menghadiri persidangan al-Aqsa, Dato’ Seri pula menjalani rawatan di sana. Pada masa itu, Dato’ Seri minta saya berikan nasihat dan saya sampaikan apa yang termampu dan ikhlas daripada lubuk hati saya.

Semoga Malaysia menuju ke arah negara harmoni, aman damai, maju serta diberkati Allah SWT. Negara yang baik, Tuhan yang Maha Pengampun (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur). Saya pasti itu harapan kita semua.

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Sumber : Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.