Penyanyi nombor satu negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza meraikan sambutan ulang tahun
perkahwinannya dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang ke-16 secara sederhana.
Siti, 43, memuat naik video beberapa jenis masakan air tangannya untuk dihidangkan
kepada suami seperti ikan asam goreng, ketam goreng, asam pedas dan sambal udang petai.
“Sempena anniversary, masak di rumah jaa,” tulis Siti dalam video perkongsian menu masakan air tangannya menerusi perkongsian di Instagram Story.
Benarlah orang kata masakan air tangan isteri sering menjadi pengikat kasih sayang dan kebahagiaan rumah tangga.
Walaupun menu yang dimasak Siti nampak ringkas namun menyelerakan tersebut cukup menggambarkan kasih sayang yang diikat sepanjang 16 tahun melayari bahtera rumah tangga.
Dalam masa yang sama, Siti turut memuat naik video koleksi gambar bersama Khalid ketika awal perkahwinan mereka sehingga dikurniakan dua cahaya mata.
“Alhamdulillah,” tulisnya ringkas pada kapsyen hantaran tersebut di Instagaramnya.
Dalam perkongsian lain, Siti berkongsi acara sambutan ulang tahun perkahwinannya bersama ahli keluarga dan sahabat rapat serta tetamu kehormat YB Tan Sri Noh Omar bersama isterinya.
Alhamdullillah, semalam majlis sederhana sempena Ulangtahun perkahwinan saya & suami . Terima kasih buat tetamu kehormat YB Tan Sri Noh Omar bersama isteri Pn Sri @syazara_aisha yang sudi hadir walaupun padat dengan jadual seharian .
Buat anak menantu, keluarga besar kami dan juga sahabat handai ,terima kasih tak terhingga kerana meluangkan masa bersama sama .
Turut kelihatan kesemua anak-anak dan menantu Siti dan Khalid hadir meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan ibu bapa mereka.
Aksi si comel Afwa yang teruja melihat kek ulang tahun perkahwinan ibu dan ayahnya mencuit hati sesiapa yang melihat.
Untuk lebih banyak info terkini jom klik di sini
“Ayah, Sakit. Abang Nak Tidur Kat Riba Ayah”. Sebak Baca Luahan Bapa Ini
Setiap ibu bapa tentu sayang kepada anak. Namun jika seorang ayah bersikap garang tegas tentu ada sebabnya. Hakikatnya semua itu adalah untuk membentuk jati diri dalam diri anak supaya apabila dewasa nanti mampu berdikari untuk menghadapi masa hadapan yang penuh cabaran.
Sebak baca kisah ayah yang bergelar guru ini di laman facebooknya,Mohd Fadli Salleh III yang dirinya perlu bertindak tegas dan garang disebabkan untuk mempersiapkan anak sulungnya untuk berdikari.
Walaupun perkongsian ini telah dipaparkan pada pertengahan tahun ini, namun pengisian yang disampaikan begitu tersirat buat mereka yang bergelar bapa.
Sesungguhnya, bukan mudah untuk mendidik anak dalam dunia yang penuh cabaran ini. Ikuti perkongsian cikgu ini.
“Ayah. Sakit. Abang nak tidur kat riba ayah,” kata Arshad Arumi malam tadi. Aku lipat sweater dia dan suruh dia baring. Aku dah tak ingat bila kali terakhir dia minta nak baring atas peha aku. Agaknya masa umur dia 3-4 tahun kot.
Arshad kalau sakit demam, dia takkan mengadu kat aku. Dia hanya mengadu dekat ibu dia sahaja. Dia tahu, bila dia mengadu dia kena marah. Dengan ibu dengan atuk dia baru dia dapat bermanja-manja dan mengada-ngada.
Dia anak sulung. Sedikit manja. Kadang luka sedikit tangisan macam putus kaki depan ibu dia. Bila datang aku memang kena jerkah. “Alah. Luka sikit macam putus jari! Dah, senyap!”
Begitulah biasanya. Terus diam raungan menggila. Tinggal esakan dan air mata sahaja.
Sebab itu Arshad kalau nak apa-apa dia tak pernah minta dengan aku. Dia dilatih berdikari. Pihak sekolah buat lawatan pun dia pecah tabung dia nak join sama lawatan tu.
Duduk di celah kerusi mengira duit yang orang bagi kat dia. Hari tu duit dia tak cukup rm4, dia pergi jumpa atuk dia dan cakap,
“Atuk. Abang nak duit RM4 boleh tak? Duit abang nak pergi lawatan tak cukup RM4 sahaja lagi.”
Atuk dia cerita kat isteri aku. Isteri aku cerita kat aku. Rasa nak menitik air mata anak sulung punya cara dah macam anak yatim.
Basikal dia kena curi, duit dia dah tak ada. Maka dia cakap,
“Nanti raya abang nak simpan duit raya buat beli basikal.”
Dia kalau rasa nak ke kedai beli apa-apa, dia akan pujuk adik dia ajak aku. Dia takkan bagitahu sendiri. Padahal nak beli Kinder Buenos je kot. Begitulah biasanya. Tapi aku pun tak adalah kejam sangat. Duit lawatan dia bayar tu, aku ganti balik dalam tabung dia.
Basikal dia hilang baru dua minggu, aku beli basikal lajak yang mahal terus untuk dia. Yang selalu dia tengok dalam youtube, yang selalu dia cerita dengan adik dia yang berumur 5 tahun itu. Gembira dia bukan kepalang bila sesekali aku bagi sesuatu.
WAHAI ANAKKU, ADA SEBAB AYAH GARANG DAN TEGAS!
Arshad anak sulung. Lelaki pula. Dari kecil aku tak ajar sangat memanja-manja. Aku selalu pesan,
“Abang. Bukan semua yang abang nak abang akan dapat. Bukan semua permintaan abang ayah akan tunaikan. Nak sesuatu, usaha sendiri. Kena jaga adik-adik.”
Dia jenis pegang kata-kata aku dan patuh. Dia hanya minta duit sekolah je dengan aku. Aku pesan kat dia seawal hari pertama persekolahan, di sekolah aku ini cikgu. Bukan ayahnya.
Maka suatu hari duit dia habis. Aku yang lupa beri. Dia datang ke kantin saat aku tengah minum dengan kawan-kawan dan cakap,
“Cikgu. Duit saya habis.” Pelik kawan-kawan aku anak sendiri panggil ayah dia cikgu. Budak darjah satu kot. Bukan budak besar.
Bilik guru dan tempat makan guru itu tempat larangan bagi dia. Dia tak pernah merasa makanan guru. Dia makan sama dengan murid lain makan, bahkan jika dia buat salah, dia kena hukum dengan aku sama macam aku hukum murid lain.
Tegas sangatkah aku?
Abang, mungkin ayah agak tegas. Mungkin sedikit garang. Namun itu sebagai persiapan.
Ayah takkan selalu ada untuk melindungi kamu. Kamu perlu dididik untuk menjaga diri sendiri dan adik-adik saat ayah tiada lagi di dunia ini.
Dunia ini kejam. Ayah tak nak kau tunduk dan mengalah. Kau kena bangkit dengan gaya anak jantan. Kau kena terus redah dengan semangat mempertahankan adik-adik dan maruah diri.
Hidup kita bukan untuk meraih simpati. Hidup kita bukan untuk dipijak dan dihina. Kau anak sulung. Maka kau punya tanggungjawab besar suatu hari nanti, bang.
Saat ayah dan ibu dikambus bumi, saat itu segalanya akan kau pikul dengan tabah dan berani. Setabah dan sekuat ayah melatih kamu hari ini.
Ya benar abang. Ayah mungkin agak garang. Namun ayah tidak pernah mendidik dengan sentuhan. Jauh sekali menggunakan kekerasan. Hanya ketegasan.
Walau selalu tegas dan keras, itu bukan petanda benci. Tidurmu ayah selimutkan. Makanmu kali ini ayah yang suapkan. Tangan kanannya kena cucuk, dia berusaha keras makan dengan sudu guna tangan kiri.
“Kul biyamini,” kata aku padanya.
Dia faham. Maka tangan kanan yang sakit itu cuba dia guna sehingga jatuh sudu dan berterabur nasi dan lauk.
Saat itu tiada lagi didikan tegas. Aku yang suap sendiri dan belai rambutnya. Dia tidak lagi takut mengadu sakit, dia tahu aku akan gosok dan urut kali ini.
Namun untuk menangis meraung depan aku dia masih tidak berani. Baguslah begitu. Masih kental dan tabah semangat dia.
Semoga kau membesar menjadi insan yang berguna dan berjasa anakanda. Doa ayah sentiasa bersama.
Sembuh pantas my soljer!
#MFS
– Ayah sayang kamu –
Punca Rezeki Sukar Diperolehi, Ustaz Iqbal Zain Jelaskan Sebabnya!
Rezeki datang dalam pelbagai cara. Mungkin wang ringgit, benda, masa yang mencukupi, bahagia suami isteri, anak-anak yang sihat dan banyak lagi.
Namun kita selalu tidak mensyukuri rezeki yang datang kepada kita. Kita masih merungut saban waktu, rasa susah dari segi wang ringgit dan sebagainya.
Malah merasakan rezeki tidak sampai dan sukar untuk diperolehi. Ustaz Iqbal Zain kongsikan punca rezeki sukar untuk diperolehi.
PUNCA REZEKI SUKAR DIPEROLEHI
Sesungguhnya pada diri setiap manusia, telah ditetapkan bagi mereka rezekinya sejak roh ditiupkan pertama kali ke dalam kandungan ibu.
Sebagaimana telah disebutkan bahwa rezeki telah ditetapkan, hanya tinggal bagaimana cara kita meraih rezeki tersebut. Sama ada dengan jalan halal dan penuh keberkatan, ataupun dengan jalan haram yang mengundang kemurkaan Allah. Maka tidak salah jika ramai yang lebih suka mengatakan menjemput rezeki daripada mencari rezeki.
Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak dimiliki.
Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Rasulullah SAW. Tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskin maruah dan jati diri.
Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya.
Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad, “Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang dilakukannya.”
Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Rasululah SAW bersabda: “Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan)
kefakiran (kemelaratan) .”
Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah.
Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.
Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.
Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya.” (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Antara punca-punca rezeki sukar diperoleh :
1) Jauhnya hubungan dengan Allah S.W.T.
2) Dosa.
3) Punca rezeki yang tidak berkat.
4) Bakhil. (Tidak bersedekah dan mengeluarkan zakat.)
5) Tidak mensyukuri nikmat yang diberi.
6) Ujian.
Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, “Kenapa rezekiku sempit? Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan Allah tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?”
Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku kepada para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hambanya sendiri.
Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak ia berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala yang besar kepadanya diatas kesabarannya.
Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan terus berdoa jangan putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah S.W.T.
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak perkara yang boleh menghalang dan membuatkan begitu mahalnya rezeki kepada kita. Dalam usaha
mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah.
Oleh itu, kita perlu bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan
sepenuhnya kepada Allah. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah.
Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah S.W.T.
Kredit: Facebook Uztaz Iqbal Zain
Ini Penting! Peraturan Pengambilan Ubat Yang Mesti Ahli Keluarga Tahu Supaya Elak Kesan Sampingan. Baca Pengjelasan Doktor ini
Jangan pandang ringan pengambilan ubat yang diberi oleh pegawai perubatan. Setiap arahan yang diberi adalah bersebab termasuk sebelum dan selepas makan. Ia penting untuk mengelak sebarang masalah komplikasi yang memberi kesan kepada tubuh badan. Ikuti perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad melalui facebooknya mengenai hal ini. Moga bermanfaat bersama.
PERATURAN PENGAMBILAN UBAT.
Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan farmasi haruslah diambil dengan cara yang betul. Hal ini mungkin mudah jika ubat yang diberikan hanya satu atau dua jenis. Tetapi ia mungkin mengelirukan jika ubat yang diberikan melebihi tiga jenis.
Jadi perlu betul-betul faham cara pengambilan ubat selebum meninggalkan klinik atau farmasi. Dengar arahan yang diberikan dan fahamkan arahan yang ditulis pada sampul plastik ubat.
Ini memastikan ubat-ubat itu memberikan kesan yang terbaik dan mengelakkan dari menerima kesan sampingan akibat berlebihan dos.
Selalunya ubat dimabil mengikut arahan di bawah:
- DENGAN PERUT KOSONG(SEBELUM MAKAN)
Bermakna makan dengan perut kosong bagi mengelakkan interaksi antara ubat dengan asid perut atau makanan yang dimakan. Ini juga mempercepatkan peyerapan bahan aktif ubat-ubatan tersebut.
- DENGAN PERUT PENUH (SELEPAS MAKAN)
Sesetengah ubat apabila dimakan dengan perut kosong akan menyebabkan rasa pedih perut (gastritis). Oleh itu ia seharusnya dimakan selepas makan makanan bagi mengelakkan masalah ini. Antara ubat yang diambil selepas makan adalah ubat tahan sakit NSAIDs seperti Mefenic Acid.
- BOLEH DIAMBIL SEBELUM ATAU SELEPAS MAKAN.
Ubat yang diberikan tidak diganggu dengan kehadiran makanan atau dengan ketiadaan makanan dalam perut.
- DIAMBIL SEMASA MAKAN
Ubat yang diserap dengan lebih baik bersama makanan yang dimakan seperti vitamin E.
- AMBIL WAKTU PAGI SAJA
Sesetengah ubat boleh mengganggu rutin seharian seperti ubat Frusemide yang menyebabkan pundi kencing penuh cepat. Jika diambil di waktu malam, sudah tentu akan bangun beberapa kali untuk buang air kecil.
- AMBIL WAKTU MALAM SAJA
Sesetengah ubat elok diambil sebelum tidur kerana ia memberikan kesan yang terbaik seperti multivitamin.
- AMBIL BILA PERLU
Ada ubat dicadangkan diambil bila ada keperluan seperti ubat tahan sakit, untuk mengurangkan kesan sampingan pada tubuh.
Semoga bermanfaat.