Datuk Seri Dr Wan Azizah Kongsi Berita Gembira “Caruman KWSP Buat Suri Rumah Dipenuhi & Bakal Dilaksanakan Minggu Depan.”

Share

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,mengenai insentif Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja  bakal menggembirakan hampir  359,065  wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih.

Insentif yang bakal dilaksanakan minggu depan adalah di bawah Program Sukarela Insentif  Suri (SURI). Menurut Datuk Seri Wan Azizah,  SURI yang dilaksanakan dalam tiga fasa menyasarkan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dengan sistem e-Kasih.

“Fasa pertama bermula 15 Ogos ini dengan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP.

“Bagi fasa kedua, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50 dengan RM10 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Fasa ini dijangka bermula tahun depan.

“Fasa ketiga insentif SURI adalah di mana dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri dengan pelancaran fasa ini dijangka pada awal 2020, namun beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sumbangan minimum RM5 oleh pencarum adalah wajib sebagai komitmen memupuk budaya menyimpan.

“Kerajaan sentiasa komited mengiktiraf dan menjaga kebajikan wanita terutama mereka yang amat memerlukan perhatian dan diharap inisiatif ini berupaya menambahbaik kedudukan kewangan wanita di negara ini,” katanya.

Dalam pada itun,  pihak KWSP dan PERKESO juga bakal menjalankan kajian menyeluruh bagi memastikan pelaksaan SURI  menerusi kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan bank tempatan.

“Buat masa ini, mereka yang mendaftar dengan e-Kasih secara automatik layak menerima insentif ini, namun mereka perlu membuka akaun KWSP terlebih dahulu dengan hanya mencarum minimum RM5.

“Kita faham mungkin terdapat kekangan untuk membuka akaun KWSP, sebab itu kita akan mengkaji cara terbaik untuk memudahkan mereka.

Sumber: IG drwanazizah