Menyediakan tempe goreng yang rangup sebenarnya perkara pertama yang kita perlu tahu adalah teknik bagaimana untuk mendapatkan hirisan tempe yang nipis. Jika hirisan tempe sempurna dan sekata pasti lebih mudah untuk kita menggoreng sehingga rangup.
Jadi bagaimana caraya untuk mendapatkan hirisan yang betul-betul nipis?
Selain menggunakan penyagat, alatan yang terbukti berfungsi adalah dengan menggunakan cutter. Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh wanita ini. Jom semak info bermanfaat ini.
“Alhamdulillah akhirnya berjaya buat kerepek tempe yang nipis rangup krup krap…susah nak berenti makan alahaiii. Ni dapat tips dari peniaga kerepek tempe. Kalau tak ada alat pemotong tempe, guna cutter je.”-
Eka ZahraHasilnya hirisan tempe akan lebih nipis dari guna pisau.
Langkah-langkah memasaknya
1. Celup hirisan tempe dalam campuran air, bawang putih yang ditumbuk halus, garam dan serbuk ketumbar.
2. Goreng dalam minyak panas, api sederhana hingga buih-buih minyak hilang. Angkat dan toskan.
Selain itu, posting terdahulu Eka turut berkongsi resipi Tempe Bali. Menurut Eka, menu ini menjadi antara lauk kegemaran yang wajib ada setiap minggu dalam keluarganya. Jadi apa kata kita cuba menu untuk mengetahui keenakan rasanya. Jom semak.
“Tempe Bali salah satu lauk kegemaran yang wajib ada setiap minggu sebab kita anak Jowo hehee”
Bahan-bahan:
200 grm tempe dipotong-potong kecil
100 grm udang buang kepala dan kulit kecuali bahagian ekor.
1 sudu kecil air asam jawa
1 sudu makan kicap manis
1 batang serai diketuk
1 inci lengkuas diketuk
2 helai daun salam
2 helai daun limau purut
100 ml air
Garam dan gula atau penyedap rasa jika suka
Bahan-bahan tumbuk
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10 biji cili merah
5 biji cili padi merah atau ikut kepedasan masing-masing
5 biji buah keras
1 inci halia
1 inci cekor (optional)
sedikit belacan bakar
Cara Membuat :
1. Rendam tempe yang sudah dipotong-potong dalam air garam selama 15 minit kemudian toskan dan goreng hingga garing. Ketepikan.
2. Tumis bahan tumbuk hingga masak kemudian masukkan udang dan gaul rata hingga berubah warna.
3. Masukkan air asam jawa dan bahan-bahan lain kecuali kicap manis dan tempe.
4. Masukkan air dan biarkan sambal masak hingga sedikit pekat. Tambahkan kicap manis, gaul rata dan biar sekejap. Tutup api.
5. Setelah sambal sejuk, gaulkan tempe supaya tempe kekal rangup.
sumber : Eka Zahra via MAHN