Dalam Negara

Dapat Rawatan IVF Percuma Daripada Tunku Azizah, Mak Ayah Arwah Al-Fateh Luah Rasa Syukur!

Share

Ibu bapa kepada bayi 8 bulan yang maut, Muhammad Al-Fateh Amri, selepas didakwa didera pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka terharu apabila ditawarkan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) percuma oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Selain pasangan tersebut, rawatan IVF percuma ini turut diberikan kepada 64 pasangan lain yang terpilih.

Ibu kepada allahyarham Muhammad Al-Fateh, Pn Sabrina Hakiem Zaini, 40, bersama suaminya, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, meluahkan rasa syukur atas peluang kedua untuk menimang cahaya mata.

Sabrina yang bekerja sebagai guru berkata, tawaran daripada Tunku Azizah membuka jalan untuk mereka menjalani rawatan IVF selepas tragedi menimpa anaknya, Muhammad Al-Fateh Amri, pada 6 September tahun lalu.

“Saya sangat bersyukur kerana selepas kejadian itu, Tuanku terus memberi kami peluang untuk menjalani rawatan IVF.

“Kami berharap rawatan kali ini berjaya dan sekali lagi diberi rezeki untuk menimang cahaya mata,” ujarnya.

Majlis penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF yang berlangsung semalam disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur.

Baginda, selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF menyerahkan sendiri surat tawaran tersebut kepada 65 pasangan yang terpilih untuk menjalani rawatan IVF secara percuma.

Dalam pada itu, suami Sabrina, En. Mohd Fikry Amri mengakui terkejut apabila menerima panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang pada Januari lalu, memaklumkan baginda berkenan menaja rawatan IVF mereka melalui TAFF.

“Saya benar-benar tidak menyangka kes pemergian anak kami, Al-Fatih, yang meninggal dunia di rumah pengasuh mendapat perhatian Tengku Ampuan sendiri.

“Kami sangat bersyukur kerana diberikan peluang ini dan menerima tajaan rawatan IVF daripada baginda.

“Selama 13 tahun kami menunggu untuk mendapat zuriat dan sempat menjaga Al-Fateh selama lapan bulan,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, dia dan isteri bercadang untuk menjalani rawatan IVF percuma itu di Melaka kerana memudahkan segala urusannya dan isteri.