Dapat Keputusan Cemerlang STPM 2021, Rupanya 2 Pelajar Perempuan Ni Ada Amalannya!

Share

Tentu kita biasa mendengar pepatah Melayu ada menyebut, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Begitulah juga halnya dengan usaha calon-calon STPM 2021 bagi mendapat keputusan peperiksaan cemerlang.

Pastinya perjalanan mereka untuk memperolehi keputusan yang membanggakan dapat menjadi inspirasi buat yang lainnya. Khususnya buat anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan STPM pada tahun ini pula.

Antara kisah yang mencuri tumpuan sepertimana  memetik berita yang dipaparkan di Bernama berkenaan kejayaan Nur Yasmin Hani Kasman yang telah dinobatkan sebagai antara tiga pelajar terbaik peringkat kebangsaan bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Amal surah al-Waqiah dan Yasin

Difahamkan amalan membaca surah al-Waqiah dan Yasin hampir setiap hari antara rahsia kejayaan Nur Yasmin Hani Kasman.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja itu berkata beliau tidak menyangka meraih keputusan cemerlang STPM dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 membabitkan mata pelajaran Geografi, Sejarah, Pengajian Am, Bahasa Melayu dan Kesusateraan Melayu Komunikatif.

Katanya walaupun sebelum ini hanya meraih 4A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun tidak pernah menjadi halangan kepadanya untuk berusaha lebih gigih sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam STPM.

“Saya percaya antara penyumbang kepada kejayaan saya hari ini adalah amalan bacaan surah al-Waqiah dan Yasin yang diamalkan hampir setiap hari.

“Saya mula mengamalkannya selepas melihat satu hantaran di media sosial, Instagram yang memaklumkan mengenai kebaikan mengamalkan surah berkenaan dan sejak daripada itu saya tidak putus membacanya,” katanya ketika ditemui pemberita di SMK Tengku Panglima Raja di sini hari ini.

 

Ulangkaji Jam 9-2 Pagi

Berkongsi kejayaan itu, Nur Yasmin yang bercita-cita menjadi guru Bahasa Melayu berkata antara kebaikan surah al-Waqiah adalah dimurahkan rezeki, manakala surah Yasin pula segala hajat yang dipohon akan dimakbulkan Allah SWT.

“Amalan surah ini menjadi ikhtiar dan ‘makanan’ rohani saya sebagai persediaan menduduki STPM. Bagaimanapun, usaha lain seperti solat sunat hajat dan sebagainya turut dilakukan.

“Kebiasaannya saya akan mengulang kaji pelajaran bermula 9 malam hingga selewat-lewatnya 2 pagi,” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada ibu bapanya, guru serta rakan sekolah yang banyak membantu dan memberi sokongan.

Anak Buruh Berjaya Untuk Balas Jasa Ayah

Meninjau di akhbar tempatan yang lain pula, turut dikongsikan kisah kejayaan seorang anak buruh kasar mendapat 4.00 dalam keputusan STPM yang diumumkan baru-baru ini.

Difahamkan setiap hari, bapanya  mengambil masa lebih setengah jam meredah panas dan hujan untuk menghantarnya ke sekolah dengan motosikal.

“Ia mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” kata Halimatus Sa’diyah Abdul Faal, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini.

Menurut Halimatus Sa’diyah, pengorbanan bapanya, Abdul Faal Ibrahim, 53, yang juga buruh membuatkannya tersentuh.

Anak Sulung Daripada 10 Beradik

Kerana itu, Halimatus Sa’diyah berusaha untuk membalas jasa bapanya yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk melihatnya berjaya.

Katanya, dengan izin Allah SWT selain bantuan guru dan rakan-rakan, dia terus menumpukan perhatian pada pelajaran dan hasilnya, hari ini, dia mendapat keputusan cemerlang 4.00 dalam STPM yang diduduki.

“Saya adalah anak sulung daripada 10 beradik dan saya sedar, ibu bapa meletakkan harapan tinggi kepada saya sebagai contoh serta tauladan buat adik-adik.

“Saya amat terharu dengan pengorbanan bapa yang sanggup menunggang motosikal lebih 40 kilometer sehala untuk menghantar serta menjemput saya pulang dari sekolah setiap hari.

“Sekiranya ada kelas tambahan, bapa akan menghantar saya semula ke sekolah pada waktu petang sebelum menjemput saya pulang apabila kelas tamat,” katanya yang berasal dari Kampung Titian Berayun, Kijal di sini.

Menurutnya, sekiranya ada kelas tambahan pada petang atau malam, bapanya terpaksa berulang-alik empat atau enam kali dari rumah ke sekolah.

Katanya, dia amat bersyukur dengan keputusan yang diperoleh dan bercita-cita ingin menjadi guru.

Halimatus Sa’diyah juga sudah membuat permohonan untuk menyambung pengajian di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Jaga Solat, Hormat Ibu bapa & Guru

Katanya, tiada rahsia khusus dalam pembelajaran namun dia sentiasa mengambil perhatian ketika guru sedang mengajar selain merujuk kepada guru jika tidak faham.

“Jaga solat, hormat kedua ibu bapa, hormati guru-guru yang banyak mencurahkan ilmu selain rapat dengan kawan-kawan antara formula untuk mencapai kejayaan.

“Saya anggap pencapaian ini adalah permulaan kerana perjalanan masih panjang dalam memburu impian untuk bergelar guru,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Faal Ibrahim berkata, dia bersyukur apabila mengetahui anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM.

“Saya dan isteri Soleha Asharri, berusia 49 tahun, sentiasa berdoa supaya anak sulung kami berjaya pada masa depan.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya menghantar dan mengambil anak dari sekolah sama ada ketika panas atau hujan.

“Walaupun jarak untuk menghantar anak ke sekolah jauh namun ia bukan halangan buat saya kerana pendidikan untuk anak amat penting bagi masa depan mereka,” katanya.

Sumber : Bernama & myMetro

ARTIKEL MENARIK : Adunan Tak Naik? Wanita Ni Kongsikan Sebabnya Pada Yis!