Dapat Anak Pun Satu Ujian. Tak Dapat Anak Pun Satu Ujian- Dr Zubaidi

Share

Di dalam sesebuah perkahwinan, pasti setiap suami isteri mendambakan kehadiran si kecil dalam syurga kecil mereka. Selain sebagai penyambung zuriat, kehadiran si kecil juga menyemarakkan lagi kasih sayang dan keharmonian di dalam sesebuah perkahwinan.

Namun, bukan semua pasangan bertuah untuk memiliki zuriat mereka sendiri. Ada yang ditakdirkan mendapat anak usai berkahwin. Tak kurang yang terpaksa menanti dan terus menanti sambil berdoa semoga dikurniakan seorang cahaya mata.

Walaupun berat untuk menerima ketentuan ini, setiap yang berlaku sudah ditetapkan Allah SWT. Sebagai manusia kita perlulah berusaha dan sentiasa bersangka baik denganNya.

Satu perkongsian di muat naik oleh drzubaidi  berkenaan isu ini di laman instagramnya.

Anak itu rezeki. Dalam rezeki yang Allah berikan ini, kita juga diberikan ujian sebagai pemegang amanah. Jadi mereka yang dapat rezeki anak juga perlu bersedia dengan ujianNya.

Untuk kita yang belum ada anak mungkin itu yang terbaik untuk kita pada masa ini. Mungkin kita belum mampu diuji dengan cabaran ada anak ini.

Setiap orang lain ujiannya. Masing-masing diuji berdasarkan tahap iman dan amalnya. Allah tahu sejauh mana hati kita dapat menahan sabar dan tabahnya kita menghadap sesuatu ujian.

Ramai yang tidak menyedari membesarkan anak lebih banyak ujiannya.
Teruskan positif, hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (QS. Al Baqarah : 216

Tenangkan hati. Fikir secara positif. Ingat nilai akhirat lebih dari nilai dunia.
Akhir sekali, ada anak dan tiada anak adalah ketentuan Allah. Mengapa kita mahu mempertikaikan ketentuan jika kita beriman pada Qada dan Qadar.

Sumber: IG drzubaidi