Dalam Risau Tentang Covid-19, Teruskan Disiplin Seisi Keluarga #StayAtHome!

Share

Assalamualaikum ,

Innalillahiwainnailaihirojiun dan salam takziah buat ahli keluarga. Lapan kematian sudah dilaporkan di Malaysia setakat artikel ini ditulis.

Sungguh berita ini cukup menyedihkan semua antara kita. Apatah lagi buat ahli keluarga yang mendapat perkhabaran perginya insan tersayang akibat  COVID-19.

Sementara itu, kita juga sedia maklum apabila berlaku kematian akibat COVID-19, cara pengurusan jenazah dilakukan dengan SOP yang cukup ketat oleh pihak hospital . Hinggakan ahli keluarga sendiri  tidak dibenarkan menghampiri  jenazah. Sebabnya satu, lain tidak bukan kerana virus tersebut ditakuti akan terus berjangkit pula pada yang lain.

Sedih & pilu

Bayangkanlah, sudahlah hilang orang tersayang, malah tidak boleh pula memberi penghormatan terakhir.

Tentu situasi ini cukup berat untuk ditanggung dan pasti ada rasa terkilan dirasakan di dalam hati. Sedangkan kelazimannya, setiap antara kita pasti mahu berbakti dan lunaskan tanggungjawab pada insan yang kita sayangi saat di akhir hayatnya.

Saya percaya, kita semua tidak mahu kejadian seperti ini dilalui oleh ahli keluarga kita dan hakikatnya masalah COVID-19 ini semakin serius.

Apatah lagi COVID-19 masih tiada penawar,tiada ubat dan tiada vaksin!

Semua antara kita perlu sedar hal ini dan oleh itu, suka saya ingatkan agar kita semua terus mengikut arahan kerajaan dan sokong saranan #StayAtHome dengan penuh berdisiplin.

Ambil peluang

Usahlah kita seperti cacing kepanasan bila diarahkan kekal berada di dalam rumah. Namun alangkah moleknya andai senario kini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk sentiasa berada dekat dengan keluarga tercinta.

Ya, macam-macam benda boleh kita buat dengan anak-anak  dan pasangan bila ‘berkurung’.

Contohnya mesti lah kita sebagai ibu terasa teruja hendak masak macam-macam menu untuk keluarga.

Walau pun stok  bahan-bahan masakan yang ada di dapur terhad, namun tetap kreatif mempelbagaikan resipi.

Senang cakap, apa suami dan anak rasa teringin hendak makan tak jadi masalah untuk kita sediakan. Kalau tidak tahu resipinya, Mr Google kan ada. Betul tak?

Malah di web keluarga.my juga banyak menu yang sedap-sedap kami kongsikan untuk dicuba.

1. Kek Marble Dimasak Guna Airfryer

2. Ayam Goreng Pedas Ala Korea 

3. Sosej Homemade

Itu baru 3 menu, malah banyak lagi kami sediakan untuk warganet mencuba. Bahkan bukan resipi sahaja malah banyak info bermanfaat untuk anda seisi keluarga dapat dimanfaatkan.

Berbalik pada aktiviti yang boleh dilakukan dengan melihat daripada sisi seorang ayah pula, andai sebelum ini kurang ada masa untuk bermain dengan anak-anak dek kerana sibuk berkerja siang hingga malam. Jadi masa inilah ambil kesempatan untuk  ada ruang masa bersama anak-anak.

Dekatkan diri padaNya

Selain memberi fokus pada aktiviti menarik yang boleh dilakukan untuk elak rasa kebosanan.  Jangan pula kita lupa satu hal yang juga penting untuk kita seisi keluarga lakukan bersama-sama iaitu solat berjemaah.  Subhanallah, ternyata 5 waktu tersebut akan menjadi cukup indah!

Untuk akhirnya, ingin saya war-warkan sekali lagi agar kita semua jaga keluarga kita untuk patuh dan berdisiplin laksanakan saranan #StayAtHome.

Sekian,

Marliana Shamsuddin, Editor Keluarga