Tahniah diucapkan buat pengacara dan pelakon, Imran Aqil yang berkongsi berita gembira isterinya, Dahlia Rizal yang kini sedang hamil anak pertama mereka.
Imran atau nama lengkapnya Muhammad Imran Aqil Mohd Salehuddin berkata, Dahlia berada dalam keadaan yang baik meskipun dimasukkan ke hospital baru-baru ini selepas pengsan di sebuah restoran.
“Alhamdulillah, Dahlia bertambah sihat cuma baru-baru ini, dia dimasukkan ke hospital selama dua malam kerana kekurangan gula dalam badan dan tekanan darah rendah sehingga pengsan di sebuah restoran.
“Alhamdulillah, kandungan juga okay.
“Saya juga banyak nasihatkan dia untuk ambil ‘job’ yang tidak terlalu berat,” ujarnya berkongsi.
Syukur isteri tak ada alahan
Berkongsi kisah kehamilan isterinya itu, akui bekas peserta program Hero Remaja ini lagi, dia dan isteri teramat bersyukur dengan rezeki hebat itu.
Malah kata Imran Aqil lagi, dia lega kerana isterinya itu tidak mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan.
“Alhamdulillah, setakat ini Dahlia tiada sebarang alahan bahkan dia juga tidak ada alahan dengan saya.
“Itu pun saya takut juga sebab sesetengah orang ada alahan tak boleh bau suami tapi Alhamdulillah tak ada. Cuma makin ‘clingy’ itu adalah,” kongsinya lagi.
Akui Imran lagi, dia kini banyak mempelajari ilmu keibubapaan melalui ibunya namun berniat untuk mendaftar kelas antenatal sebagai persediaan menyambut bayi sulung mereka.
“Kalau persediaan bergelar bapa, saya ada juga nak daftar kelas tapi mak saya sendiri kata, ‘Biar dia yang ajar’,” ceritanya.
Terdahulu, ramai yang mendakwa Dahlia Rizal kini hamil anak pertama selepas bentuk badannya kelihatan berisi sewaktu menghadiri sebuah majlis bersama Imran.
Imran dan Dahlia telah selamat mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Villa Istana Ayer Keroh Melaka, pada September tahun lalu