Wajah adalah aset terpenting bagi seorang wanita. Nak kekal cantik tanpa kedutan, dan paling penting kelihatan awet muda sememangnya menjadi idaman setiap bagi mereka yang sudah mencecah usia setengah abad.
Siapa tahu, dalam kecantikan yang dimiliki oleh pelakon Laila Nasir atau nama sebenarnya Norlaila Yasmin Nasir, dia kini sebenarnya sudah memasuki usia 50-an.
Memetik laporan Sinarplus, tatkala ditanya rahsia kekal cantik dan jelita, ibu kepada dua orang anak lelaki tersebut mengakui tiada petua khusus yang menjadi amalannya.
Ungkap beliau, dirinya hanya menggunakan cara biasa yang dipraktikkan oleh orang lain iaitu minum air suam setiap pagi.
“Selain itu, saya juga mengamalkan minum sesudu madu yang dicampur dengan air masak setengah gelas.
“Dalam usia sekarang, saya memang tidak amalkan minum minuman berais dan bergas. Saya turut mengamalkan pengambilan jus pegaga yang dikisar sendiri,” ujar Laila lagi.
Kesibukan dengan shooting tidak pernah menjadi batasan kepada Laila untuk menjaga kesihatan diri.
Selain dari aspek pemakanan, beliau akan ‘mencuri’ masa melakukan señaman ringan ketika berada di rumah.
“Apabila usia sudah masuk 50-an, kenalah pandai jaga kesihatan. Bagi penjagaan kulit wajah pula, saya suka memakai masker daripada putih telur yang dicampur dengan madu.
“Selain itu malas sekalipun janganlah sesekali kita skip mencuci wajah dan pakai pelembap. Saya juga turut mengambil suplemen seperti vitamin C dan habbatussauda,” ungkap penerima Anugerah Kelantan Business Ikon Awards pada 17 Disember 2021.
Tambah Laila, kecantikan adalah anugerah oleh SANG PENCIPTA. Justeru, menjadi amanah kita untuk menjaganya dengan sebaik mungkin.
“Jangan menyalahgunakan kecantikan. Pada masa sama, hati kita pun kena cantik. Maksudnya jangan ada sifat dengki dan sebagainya.
“Saya percaya aura cantik seseorang itu datang dari hati yang cantik,” jelas Laila lagi.
Pada masa sama, beliau turut menitipkan nasihat kepada kaum wanita supaya tidak terlalu bangga dengan kecantikan paras rupa.
“Kecantikan rupa tidak akan kekal, ia akan pudar mengikut usia kita, cuma yang perlu kita jaga adalah kecantikan dari dalam,” ungkap beliau lagi.
Sumber : Sinarplus, Instagram lailanasirofficial