Dah Cuba Banyak Petua, Batuk Masih Tak Hilang! Ini 9 Sumber Alam Yang Boleh Amalkan Untuk Legakan Batuk

Share

Sejak sebulan ini cuaca panas terik sangat sehinggakan setiap saat kita perlukan air sejuk untuk menghilangkan dahaga.

Bila dah selalu minum air ais, ditambah pula dengan persekitaran yang tak menentu (cuaca luar panas, pejabat sejuk dengan pendingin hawa) menjadikan suhu badan kita juga tak menentu menyebabkan sakit tekak dan batuk berlaku.

Jika mengalami masalah batuk berpanjangan, apa kata cuba 9 sumber alam yang bagus untuk hilangkan batuk seperti perkongsian Dr Suri Roowi di laman Facebooknya.

SUMBER ALAMI untuk BANTU atau ATASI MASALAH BATUK

Memandangkan sekarang ini agak panas, ramai antara kita mungkin mengalami masalah batuk. Disertakan disini sumber alami untuk bantu atasi masalah batuk:

1. Minum air serbuk halia

Apabila halia dikeringkan dan dikisar jadi halia serbuk, bahan khasiat (gingerol) akan bertukar kepada shogaol. Shogaol adalah 2 kali lebih pedas berbanding gingerol. Bahan shogaol boleh bertindak sebagai ubat batuk.

2. Makan nanas

Nanas mengandungi enzim bromelain. Enzim ini bantu cairkan kahak dan kurangkan batuk.

3. Minum madu asli

Madu asli sangat membantu masalah sakit tekak dan batuk. Terdapat kajian menunjukkan ia lebih berkesan berbanding ubat moden yang mengandungi dextromethorphan.

4. Minum yoghurt atau madu kelulut

Lactobacillus adalah bakteria baik yang boleh membantu sistem penghadaman dan masalah batuk. Bakteria baik ini banyak dalam yoghurt dan kajian terkini menunjukkan lactobacillus banyak juga dalam madu kelulut.

5. Minum air limau nipis bersama madu

Limau nipis membantu merawat batuk dengan mengurangkan radang. Kulit limau nipis tinggi bahan berkhasiat (neohesperidin) berbanding jus. Caranya adalah dengan tambahkan madu asli pada kulit limau yang dihancurkan dan ditambahkan jus. Minum sedikit-sedikit sehingga sembuh. Limau nipis lebih berkesan berbanding kasturi untuk masalah batuk.

6.Hidu bawang merah

Bawang Merah adalah antara sumber yang mudah didapati untuk bantu kurangkan batuk. Caranya adalah dengan memotong dan hidu bau bawang tersebut.

7. Minum air kunyit

Kunyit secara semulajadinya mengandungi bahan kurkumin. Ia juga membantu kurangkan batuk terutamanya jenis batuk tanpa kahak. Caranya adalah ambil sedikit kunyit bersama madu, ditambah air dan diminum.

8. Minum air kayu manis

Rendam 1 atau 2 kayu manis dalam segelas air panas dan minum sedikit-sedikit. Kayu manis juga membantu masalah diabetis

9. Kumur-kumur dengan air garam

Disediakan dengan melarutkan sesudu garam dengan secawan air suam.

Selamat mencuba. Jika batuk berpanjangan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera.

Sumber: Facebook Dr Suri Roowi