“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu.” – Tunku Mahkota Ismail
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengubah cuti hujung minggu Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari tahun depan atas sebab agenda peribadi, cuba melaga-lagakan rakyat, atau demi kepentingan politik, disarankan untuk berpindah ke negeri-negeri yang masih mengekalkan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu.
Menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince Of Johor, baginda bertitah, keputusan menukar cuti kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan merupakan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.
Selain itu, titah baginda, ia juga memberi kesan ekonomi yang positif seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri ini.
“Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.
“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya.”
“Dengan izin dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pandangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.
“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” titah baginda di akaun Facebook malam ini.
Isnin lalu, cuti hujung minggu di Johor dilaporkan akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Sumber: FB HRH Crown Prince of Johor