Setiap kata-kata nasihat yang keluar daripada mulut seorang ayah, nyata bukan kata-kata manis sekadar dibibir sahaja malah penuh memberi makna dan mendalam buat pedoman seorang anak untuk meneruskan hidup. Semua itu bagi seorang ayah, tiada apa yang diharapkan selain anak-anak yang ditatang berjaya menjadi manusia yang berguna di dunia dan akhirat.
Berkongsi rasa kerinduan terhadap susuk tubuh lelaki bergelar ayah, Ustazah Asma Harun berkongsi kisah di akaun fbnya dan coretan ini benar-benar membuatkan netizen yang membacanya juga terasa terkesan di hati dan bersama kita ambil manfaat daripada perkongsian hebt ini. Jom semak.
RINDU YANG TIDAK KESAMPAIAN
Dalam riuh rendah orang sekeliling, selalu sahaja hati ini tiba-tiba rasa sunyi sepi sayu, halus sahaja rasa tu tapi menghiris². Air mata laju tidak terbendung. Rindu yang sangat dalam.
Saat saya rasa lemah, sedih, sakit, sempit dalam melalui jalan dakwah ini, saya cuba pejamkan mata dan bayangkan wajah lembut dan kata² arwah ayah. Rindu suara ayah. Ayah baru sahaja pergi tahun lepas.
Masih jelas dalam ingatan, satu ketika saya dah nekad nak berhenti daripada teruskan master, rasa dah tak boleh nak siapkan thesis. Waktu itu juga ujian bertalu-talu, dihimpit dengan tekanan di tempat kerja (belajar dan kerja sepenuh masa), mengandung kali ke 7 dan keguguran (dr. kata kandungan terhenti pembesaran mungkin terlalu stress), tanggungjawab sebagai ibu dan isteri, jadual kuliyah dan ceramah, masalah keewangan dan lain-lain. Ketika itu saya rasai sakitnya kemurungan.
Dalam tempoh dua tahun, selalu mengunci diri masuk bilik bila due date assignment dan exam, walaupun orang kata ustazah buat cincai je asal lulus sudah, tapi sudah terbiasa mesti mujahadah dalam belajar, target mesti A dan 3.8 ke atas, di situ ada nikmatnya.
Paling sedih bila anak kecil duk ketuk-ketuk pintu menangis sebab nak kita, macam-macam alasan mereka bagi, nak bagi beg la, nak tunjuk sesuatu la, selalu juga kalah pujuk rayu anak. Suamilah yang banyak berkorban. Banyak sangat. Moga Allah berkatimu.
Arwah ayah selalu telefon tanya khabar dan bagi semangat supaya habiskan belajar. Satu ketika saya telefon ayah bagitahu perlu berhenti kerana keadaan saya dah teruk dari sudut emosi, fizikal dan mental. Ayah terdiam seribu bahasa. Saya tahu ayah sangat sedih.
Tak lama lepas tu ayah telefon, Ayah kata..
“Asma’, cuba lihat orang bukan Islam yang bersungguh belajar hingga PhD untuk dapat habuan dunia, kita ni belajar untuk dunia dan akhirat, tak cukupkah SYURGA ALLAH sebagai pengubat segala sakitnya ujian tu, betulkan niat Asma’, buat kerana Allah”.
AllahuAkbar, ketika itu saya terduduk hanya mampu menangis sahaja. Teresak-esak. Saya ditegur lembut oleh ayah, saya nak siapkan master sebab nak kejar pengiktirafan manusia atau kerana mendalami ilmu kerana cari redha Allah, untuk perbaiki diri yang serba lemah.
Jika kerana manusia, maka kita sentiasa akan diuji dengan manusia. Jika kerana Allah, Dia sentiasa ada dalam hati, dalam langkah dan jatuh bangun kita.
Saat itu ditikar sejadah memohon ampun pada Allah, kerana lemah menjaga niat, meletakkan tujuan dunia itu lebih besar daripada akhirat. Betul-betul merayu minta tolong dengan Allah, tunjukkan jalan, bukakan kekusutan dan leraikan belenggu yang mengikat.
AllahuAkbar, Dia ya Saami’ Maha Mendengar, Dialah ya Qaarib Yang Maha dekat. Tekanan demi tekanan rupanya laluan untuk merasakan nikmatnya kalimah,
لا حولا ولا قوة الا بالله
AllahuAkbar, Allah buka satu persatu jalan keluar setiap kesulitan, kesempitan dan kesakitan. MasyaAllah Maha Baik Allah ya Barr, rupanya Allah tidak membiarkan saya selesai pengajian sebelum jelas akan niat dan tujuan. Itulah Tarbiyyah Allah kepada hambanya yang lalai. Fahami dan yakinlah Allah ya Rahman ya Rahim sentiasa sayang kita.
Ayah, duhai ayah. Tak mampu nak tuliskan kebaikan ayah. Peringkat awal saya mula langkah untuk berdakwah, ayah lah yang sanggup bersusah payah membaca dan mencatatkan nota, lalu telefon menjadi perantaraan kami hingga berjam-jam.
Ayah akan tanya esok ceramah dimana dan tajuk apa, Ayah akan berikan isi penting dan dalil yang berkaitan. Ayah selalu tegaskan, hafal dalil Quran, Hadis dan Sirah, jangan cakap kosong, semua kena semak dulu, nak sampaikan ilmu buat betul-betul.
Selesai ceramah ayah telefon lagi, bertanya bagaimana ceramah tadi. Seringkali saya cakap nak berhenti, malu sangat sebab penyampaian yang teruk, gugup sampai hilang habis isi, suara pun terketar-ketar. Tiap kali itu Ayahlah yang tidak henti beri semangat. Ayah tak pernah hilang percaya walau anaknya sendiri tak yakin lagi. Ayah duhai ayah. Tak mampu lagi catatan ini diteruskan..
Coretan ini buat semua ayah di dunia, jadilah lelaki yang terbaik buat anak anda. Sekali anda menjadi seorang ayah, iya adalah untuk dunia dan akhirat. Andalah tokoh paling penting dalam hidup anak, jadilah contoh yang terbaik, anda akan sentiasa hidup walau telah pergi.
Rindu bertamu menguatkan lagi rasa ingin bertemu, moga di Syurga Allah tempat kita semua kembali bersatu, insyaAllah.
sumber : Asma’ binti Harun