Comelnya Malti Marie! Priyanka Chopra & Nick Jonas Akhirnya Dedah Wajah Anak Pada Umum Selepas Setahun

Share

Selepas setahun menimang cahaya mata, selebriti antarabangsa, Nick Jonas dan Priyanka Chopra Jonas akhirnya mendedahkan wajah anak sulung mereka, Malti Marie Chopra Jonas, 1, buat kali pertama.

Sebelum ini, pasangan selebriti itu memilih untuk menyorokkan wajah anak mereka dengan meletakkan emoji setiap kali membuat posting di media sosial.

Menerusi perkongsian terbaru pelakon berasal dari India itu di Instagram, dia telah berkongsi video sewaktu hadir ke Star Caremony bagi meraikan Jonas Brothers Hollywood Walk of Fame.

Dalam video yang dikongsikan, Priyanka dilihat memangku anak perempuannya yang comel memakai jaket dan skirt tweed kuning air yang dipadankan dengan hiasan kepala bunga putih.

Malah, ketika memberi ucapan di majlis berkenaan, Nick ada menyebut tentang cahaya matanya.

“Malti Marie, saya tidak sabar untuk kembali ke sini bersama 15 tahun lagi dan memalukanmu di hadapan rakan-rakan.

“Untuk isteri saya yang cantik, awak adalah tenang dalam kekacauan dan pelangi dalam ribut saya. Saya bersyukur berkahwin dan menjadi ibu bapa dengan awak. Ia adalah anugerah terhebat,” kata Nick.

Pendedahan wajah Malti telah menjadi perbualan hangat media tempatan apabila rata-rata memuji kecomelan anak pasangan tersebut yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.

Untuk rekod, Nick Jonas dan Priyanka telah berkahwin pada 1 Disember 2018. Selepas tiga tahun berumah tangga, mereka memaklumkan telah menimang seorang cahaya mata perempuan dengan menggunakan khidmat ibu tumpang pada awal tahun 2022.

Difahamkan, ibu tumpang tersebut melahirkan bayi berkenaan ketika usia kandungan 27 minggu di sebuah hospital di California, Amerika Syarikat.

Sejak dari itu, mereka tidak pernah mendedahkan wajah anak perempuan mereka yang diberi nama Malti Marie Chopra Jonas kepada umum dan kerap meletakkan emoji apabila berkongsi gambar bersama.

Sumber: Instagram priyanka Chopra, daily mail