Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Bagi Datuk Dr Siew Kuang Chong, 78, beliau tidak menyangka penyertaannya menerusi 6th Annual International Invention Competition in Canada (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada pada 28 Ogos lalu membuahkan hasil.
Apa tidaknya, produk ciptaannya yang dinamakan Circumstar-1 berjaya memenangi emas serta dipilih sebagai antara 10 ciptaan terbaik dalam kalangan 700 penyertaan dari seluruh negara termasuk 97 dari negara ini.
“Pertandingan ini adalah anjuran Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS). Saya menghantar penyertaan secara dalam talian.
“Saya mengambil masa kira-kira sembilan tahun untuk menyiapkannya dan menambah baik peralatan berkhatan sedia ada sebelum ini. Ini adalah produk buatan tempatan 100 peratus,” ujarnya.
Katanya, penggunaan peralatan tersebut selamat sepenuhnya dan proses penyembuhannya juga cepat iaitu dalam tempoh tiga minggu berbanding kebiasaannya sebulan.
Selain itu, pada Mac lalu, beliau meraih pingat emas menerusi Salon International des Inventions de Genève 2021 di Switzerland bagi ciptaan sama.
Anak kelahiran Johor itu berharap inisiatif dilakukannya menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berusaha mencipta produk inovasi yang berguna kepada masyarakat.
Sumber : Sinar Harian
ARTIKEL POPULAR: “Memori. Inilah Orangnya.” Fedtri Yahya Kongsi Wajah Pemilik Tulisan Khat Pada Duit Kertas Malaysia
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club