“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri..”Bait lagu allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma ini sememangnya menggambarkan pahit manis hubungan suami isteri.
Ada masa manis, dan ada ketikanya pahit bak hempedu. Sudah menjadi adat dalam rumah tangga. Suami isteri dari dulu dan sekarang mengakui perkara ini. Tapi kenapa kala berdepan dengan masa pahit, ramai pasangan hari ini tidak setabah dan secekal pasangan dulu untuk menanganinya.
Hingga ramai yang mengambil jalan berpisah. Sedangkan ibu bapa kita berdepan dengan situasi yang lebih perit dan mencabar namun tetap kekal bersama hingga ke hujung usia.
Dalam hal ini kita mungkin perlu banyak belajar dari mereka tentang cara melayari rumah tangga agar tak mudah melatah bila berdepan masalah.
- Lepas kahwin tak pergi bulan madu
Bila selesai majlis kahwin, tolak tepi hal berbulan madu tetapi kenalkan pasangan pada sanak suadara. Rapatkan hubungan silaturrahim.
Antara cara merapatkan hubungan pasangan pengantin baharu dengan keluarga adalah melalui amalan bergotong royong atau rewang ketika mengadakan kenduri perkahwinan. Pengantin wajib membasuh periuk belanga yang digunakan semasa majlis perkahwinannya!
- Suami tolong buat kerja rumah
Cuba perhatikan bapa anda sendiri. Sangat santun orangnya. Rajin membantu isteri. Selepas isteri melahirkan, semua suami yang buat.
Jika melihat si isteri penat menguruskan rumahtangga, suami jangan berat tulang untuk membantu. Tolong jagakan anak juga sudah cukup membuatkan si isteri tersenyum
- Isteri tahu tanggungjawab sendiri
Banyak kes penceraian disebabkan oleh isteri malas. Cuba lihat mak kita sendiri. Rajin dan tahu tanggungjawab sendiri. Suami balik kerja, anak-anak dah terurus.
Oleh itu, walaupun sibuk di pejabat, tanggungjawab sebagai isteri jangan diabaikan. Tidak salah jika ada pembantu, tetapi soal membancuh minuman untuk suami serta makan pakainya seharusnya tetap menjadi tanggungjawab isteri.
- Tiada campur tangan ibu bapa
Ibu bapa tak perlu campur urusan rumah tangga anak, ini boleh jadi kes penceraian. Biarkan anak-anak menangani masalah rumahtangga mereka sebaik mungkin. Ibu bapa hanya boleh memberi nasihat apabila diminta.
- Keburukan dalam rumah tangga jangan cerita pada orang
Biar kita susah tanggung sendiri, keburukan pasangan jangan diceritakan pada orang. Ini antara perkara penting jika nak jodoh panjang.Jangan sampai mendedahkan keburukan rumahtangga di laman muka buku!
- Sedar diri
Suami adalah ketua rumah tangga, tapi tak boleh guna kuasa veto nak kawal isteri. Bimbang isteri memberontak. Isteri dicipta dari tulang rusuk suami. Marah macam mana pun, tempat isteri tetap di sisi suami.Isteri sewajarnya mendengar kata suami dan bertoleransi dalam hal rumahtangga.
- Jangan Lebih 3 Hari
Kalau merajuk sekalipun dan tak bertegur sapa dengan pasangan, paling lama cuma 3 hari. Lebih dari itu, hubungan berada dalam tahap bahaya. Senyuman boleh dijadikan pembuka bicara untuk berbaik-baik semula.
- Buang Ego
Ego merupakan racun dalam rumahtangga. Setiap konflik rumah tangga adalah untuk menguji kesabaran dan kesetian suami mahupun isteri. Suami mahupun isteri harus merendahkan ego dalam sesetengah perkara untuk kebaikan bersama.
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club
Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di SINI