Menyediakan stok cili yang dikisar mestilah tujuannya untuk memudahkan kita memasak dan kalau boleh sekali buat biarlah tahan berminggu-minggu boleh digunakan.
Pun begitu, tidak dinafikan kalau silap gaya menyimpan stok cili kisar ini pasti akan ada seakan kulat putih di bahagian atas.
Bila jadi begitu, mesti ragu-ragu juga untuk digunakan. Masih boleh digunakan ke? Atau perlu dibuang sahaja?
Tidak mahu dibelenggu dengan perasaan dan masalah tersebut, apa kata anda cuba teknik yang dikongsikan oleh Huda Zainal. Menurutnya telah setahun mempraktikkan kaedah tersebut dan terbukti berkesan.
Ini perkongsiannya.
Semenjak kahwin memang tak pernah beli cili boh atau cili giling ready made. Ni sebab terinspirasi dengan ibu mertua.
Cuma masalah utama kalau dah buat stok banyak-banyak cili blend ni akan naik kulat putih bahagian atas.
Bukan tak pernah cuba macam-macam petua. Blend dengan minyaklah, masuk bawang putihlah, letak asam kepinglah. Namun lebih daripada 3 minggu kulat putih tu tetap akan muncul.
Semenjak guna method Youtuber Melisa Maker ni. Alhamdulillah, lebih daripada sebulan pun lansung tak naik kulat.
Teknik ni Melisa Maker guna untuk simpan cheese dan yogurt. Sebab cheese dan yogurt pun akan muncul kulat bahagian atas.
Jadi terfikir untuk buat simpanan terbalik ni untuk cili blend. Sekarang dah nak hampir setahun guna teknik simpan terbalik ni.
Bila terbalik, udara akan berada diatas. Ruang vakum akan terbentuk. Itulah punca kulat tak muncul.
Cuma masalah nak simpan terbalik ni, memang kena cari balang yang betul-betul kedap supaya tak terkeluar atau meleleh air cili tu.
Mula-mula dulu sebelum betul-betul nak pastikan penutup balang jenis kedap. Akan terbalikkan dalam bekas lain dulu. Kalau ada air meleleh keluar maknanya, penutup tu tak cukup kedap.
Sekurang-kurangnya dia meleleh atau terkeluar pun dalam bekas. Tak lah jenuh kita nak mengelap satu peti ais kan?
Ni saya guna balang kaca paste tomyam Thai aje. Alhamdulillah elok kedap tak meleleh air cili blend tu.
Dah lebih setahun saya buat teknik ni. Maaf sangat sebab baru share. Nak bagi betul-betul yakin teknik ni memang berkesan. Baru boleh kongsi dengan orang lain.
Sumber : Huda Zainal
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club