“Cikgu Yang Baik, Sabar & Humble.” pelajar Santuni Guru, Hadiahkan Kereta Sempena Persaraan

Share

Guru ibarat lilin, membakar diri demi menerangi orang lain. Begitulah betapa besarnya pengorbanan seorang yang bergelar ibu. Kerana itu jasa dan pengorbanan mereka tidak terbayar dengan wang ringgit. Ikhlas dalam mendidik anak bangsa.

Demikian juga dengan seorang guru bernama Ahmad Bidin yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya baru-baru ini.

Selama 35 tahun  menabur bakti sebagai guru matematik dan matematik tambahan di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), dia tidak menyangka diberikan balasan sebuah kereta Perodua Aruz.

Pesara guru yang menjangkau usia 58 Tahun ini juga bakal menyambut hari lahir pada 16 Disember ini diraikan dalam Majlis Seluhur Budi Kasih Abadi di sebuah hotel.

Menurut Ahmad, kebiasaannya, majlis persaraan dianjurkan di sekolah namun bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), majlis yang turut membabitkan penglibatan bekas guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan bekas pelajar, ia diadakan di hotel.

“Sampai ke saat ini, saya masih terfikir sebab utama bekas pelajar terdiri daripada 38 kelompok (batch) pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1980 hingga 2021 memberikan saya hadiah yang bernilai puluhan ribu ringgit ini.

“Tidak terkata saya dibuatnya, namun saya ucapkan terima kasih kerana menghargai usaha saya yang tidak seberapa ini dalam mendidik mereka,” katanya hari ini.

sebaik sahaja hadir ke majlis berkenaan, dia tidak nampak langsung kenderaan tersebut di parkir pekarangan hotel tersebut dan ia diserahkan kepadanya semasa dia mahu pulang sambil diiringi Pengetua TKC, Roslina Abd. Aziz.

Menurutnya yang berasal dari Port Dickson, dia terkejut apabila diberikan hadiah berkenaan lebih-lebih lagi belum pernah dalam pengetahuannya guru bersara menerima hadiah sebuah kenderaan.

“Mungkin ada tapi saya tak tahu. Namun, saya masih terkejut. Apa pun perkhidmatan saya di sekolah ini sejak tahun 1986 sebenarnya banyak dibantu oleh pengetua-pengetua yang cemerlang, rakan sekerja yang juga cemerlang, dan pelajar yang sememangnya sudah bagus.

“Saya sebagai guru hanya bertindak sebagai penunjuk jalan supaya semua pelajar saya dapat lebih cemerlang dalam akademik serta kehidupan,” katanya.

Sumber: Utusan online