Seorang guru di laman Facebook meluahkan rasa kecewanya apabila masalah murid sekarang yang bersikap malas di sekolah malah semakin menjadi-jadi dan membimbangkan.
Menerusi perkongsiannya, akui guru itu, Lenna K Joseph, murid zaman ini mempunyai kepandaian IQ yang tinggi namun sikap tidak ambil peduli dan malas belajar hingga mensia-siakan peluang untuk berjaya.
“Masalah murid zaman sekarang adalah bukan sebab mereka tak pandai tetapi sebab mereka malas dan sikap tak peduli. Cikgu buat lah lesson plan macam mana pun, kalau murid itu malas, tetap juga tak guna.
“Kalau alasan nak cakap buat sesi pembelajaran berasaskan kuiz, tak semua sesuai lagi-lagi topik penulisan. Tak akan setiap masa nak suruh main kuiz sahaja” luah cikgu tersebut.
Cikgu Lenna turut menjelaskan bahawa ada juga segelintir ibu bapa yang bersikap tidak mengambil kisah mengenai pembelajaran si anak.
“Lebih mengejutkan, ada segelintir ibu ayah yang tak ambil kisah tentang pembelajaran anak-anak. Terlalu manjakan sangat sampai biarkan anak gagal.
“Namun tetap bersyukur sebab tak semua ibu bapa perangai macam ini. Ada yang betul-betul ambil berat terhadap pembelajaran anak-anak mereka.
“Zaman saya dulu, menjelang tahun 6 dah tahu format penulisan surat rasmi, surat tidak rasmi, tulis laporan, tulis cerita, tulis syarahan dan lain-lain,” ujarnya.
Tambahnya lagi, segala ilmu yang diajarkan di dalam kelas tidak diterapkan ketika menjawab peperiksaan. Apa yang lebih membuatkan beliau kecewa apabila anak murid hanya menjawab ‘zip’ yang ditulis berulang kali sehingga penuh ruangan jawapan tersebut.
“Seminggu sebelum peperiksaan saya dah ajar contoh ayat kunci untuk dapat markah. Tetapi bila jawab ujian, satu ilmu yang saya bagi tak ada dalam jawapan. Kecewa sangat!,” luahnya.
Perkongsian cikgu itu dibanjiri komen warganet yang turut terkejut melihat jawapan pelajar tersebut. Rata-rata memberi cadangan agar murid itu diberikan sesi kaunseling.
Sumber: Facebook Lenna K Joseph