Bukan mudah nak bergelar pendidik, pelbagai kerenah anak murid yang ramai.
Bukan itu sahaja, para guru mengendali anak murid yang berbeza peringkat umur dan berbeza personaliti.
Seorang guru berkongsi tip cara mengendalikan anak murid. Para guru lain boleh cuba tip ini.
DOA DAN TIP MENGAWAL TINGKAH LAKU MURID DALAM KELAS, CUBALAH.
Kerana permintaan daripada sahabat saya coretkan di sini. Semoga ia bermanfaat.
Rasulullah SAW pernah ditanya,
Apakah sikap orang islam yang paling baik?
Jawab Baginda “Orang yang menjaga lidahnya daripada menyakiti orang lain”
Baginda ditanya lagi,
Apakah amalan hati ( Iman ) yang paling utama?
Jawab Baginda, “Iaitu orang yang sabar dan pemaaf”
Siapakah mukmin yang paling sempurna imannya?
Jawab Baginda: “Mukmin yang paling baik akhlaknya”
Hadamkanlah hadith ini dan praktik di hadapan murid. Sunnah yang di amalkan memiliki keistimewaan yang kita sendiripun tak sangka.
Perkara yang pertama saya beritahu murid apabila memulakan sesi pengajaran ialah hadith di atas. Yakin dan percayalah mereka boleh jadi baik dan boleh mengawal tingkah laku dengan sebab perbuatan itu Allah dan Rasulullah SAW suka.
Langkah seterusnya ialah:
1. Volum Suara
Saya tak nafikan ramai cikgu mempunyai peti suara yang istimewa, kadang-kadang tak perlu pembesar suarapun untuk memberi arahan dalam dewan perhimpunan. Sebab hari-hari diasah menggunakan nada yang tinggi, akhirnya menjadi kebiasaan. Tapi yakinlah suara yang sederhana lebih menyerap dalam hati murid. Cakap dengan suara yang kuat itu memenatkan jadi biasakan diri dengan nada suara yang sederhana kerana itulah sunnah Nabi. Tugas guru ialah menyampaikan ilmu. Menyampaikan adalah sinonim dengan bil hikmah. Didik hati untuk sentiasa berada dalam keadaan tenang dan terkawal.
1. Jentik hati
Percaya atau tidak, senyuman itu terapi, menyebarkan aura positif kepada orang yang memandangnya, senyuman guru kepada murid mampu mengetuk pintu hati. Rasulullah SAW mengetuk pintu hati para sahabat dengan ucapan-ucapan kasih sayang dan ucapan berbentuk keperihatinan seperti “ Ya Muaz, demi Allah! Sesungguhnya aku mengasihi engkau”
“ Cikgu sayang anak-anak semua”, “ Apa khabar”, “ Hari ini sarapan apa?” cikgu akan dapat perhatian daripada murid dengan ucapan-ucapan ini.
2. Cikgu yang bacakan doa
Biasanya murid akan baca doa bersama-sama dalam kelas setiap kali sesi pengajaran. Murid kurang menghayatinya kerana amalan ini sudah menjadi rutin bagi mereka, jadi saya keluar dari kebiasaan. Saya yang bacakan doa murid aminkan. Kesannya subhanallah…kadang-kadang ada murid yang menangis apabila doa di bacakan, Allah sahajalah yang tahu apa yang mereka rasakan. Mungkin doa seorang guru amat diharapkan oleh anak-anak ini. Jika murid menadah tangan pastikan tangannya separas bahu, itulah adab, lambang kesungguhan dan menghormati guru yang sedang mendoakan mereka.
Doanya ialah:
Mulakan dengan salawat ke atas junjungan Nabi SAW
Baca ayat 40 surah Ibrahim ( saya wajibkan diri saya membacanya)
Kemudian sambung..
Ya Allah…
Ampunilah dosa kami
Ampunilah dosa kedua ibu bapa kami
Ampunilah dosa guru-guru kami ( wajibkan juga, latih murid ingat guru setiap kali berdoa)
Ya Allah berkatilah ilmu yang kami dapat,
Kami redha dengan guru-guru kami, jadi redhailah kami sebagaimana kami redha terhadap mereka.
Ya Allah perindahkanlah akhlak kami,
Perindahkanlah tutur bicara kami,
Perindahkanlah hati kami,
Perindahkanlah akal dan pemikiran kami,
Perindahkanlah tindakan kami,
Kurniakanlah akal yang kuat, bijak, pandai dan matang
Jadikanlah kami orang yang Berjaya dalam pelajaran..berjaya di dunia dan akhirat
Jagalah kami sebagaimana Engkau menjaga hambaMu yang Soleh dan Solehah.
Akhiri dengan selawat.
3. Arahan yang jelas
Sebelum cikgu menyampaikan ilmu, sampaikan arahan dengan jelas supaya murid dapat bertindak mengikut kehendak guru. Gunakan bahasa yang mudah difahami dan susun ayat dengan teratur terutamanya bila berdepan dengan murid tahun 1.
4. Sampaikan objektif
Penting, berkongsi rasa dan cita-cita itu perlu, ia memberi ruang kepada murid untuk menetapkan matlamat dan hala tuju terhadap kemahiran yang diajar oleh guru.
5. Jangan pernah lelah,bisiklah pada Allah SWT
Hati, fikiran dan perasaan anak didik adalah milik Allah SWT, sekalipun murid kita adalah non muslim jangan lupa bergantung harap kepada Allah SWT, Allah pasti menyebarkan rahmat dan kasih sayangNYA kepada guru yang menumpahkan seluruh jiwa dan raganya pada amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Guru adalah adalah idola murid, apa yang guru lakukan semuanya akan ditiru dan disebarkan. Jadi lakukanlah yang baik-baik, sebutlah yang baik-baik, pakailah yang baik-baik in sha Allah jariahnya akan berpanjangan.
Kredit: Aminah Mat Yusoff