Cetus Panik Orang Ramai, Wanita Pakai ‘Wristband’ Covid-19 Makan Di Tempat Umum Kini ‘Dicari’

Share

Semalam tular foto seorang wanita yang dipercayai melanggar tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah sehingga mencetuskan kebimbangan dan bual mulut dalam kalangan netizen.

Foto wanita itu yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Jaya di Ipoh, Perak jelas menunjukkan gelang tangan (wristband) berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan beliau di bawah kuarantin COVID-19.

Bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kesangsian orang ramai, pemilik kafe tersebut tampil memberi kenyataan di ruangan Facebook miliknya yang mengatakan premisnya gagal melakukan tapisan ke atas pelanggan.

“Jangan kata kami pihak peniaga tak ambil tindakan. Kami tak ada hak selak lengan baju orang ye! Kami ikut Prosedur Operasi Standard (SOP), ambil suhu ikut yang disarankan. Masa viral ni tentu semua peniaga terkejut,” tulis pemilik kafe yang menggunakan nama Facebook Nurul Chu Hada Karim.

Tambahnya, perbuatan wanita itu melanggar peraturan Kementerian Kesihatan (KKM) turut menyebabkan orang di sekitar kawasan itu menjadi panik sekali gus menjejaskan peniaga lain di Meru Raya.

“Kak Nurul sendiri awal pagi dah kol (hubungi) Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Dah bercakap sendiri isu ini. Kak Nurul disarankan bertenang. Katanya dua orang yang positif dah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Bukan yang viral (wanita tular).

“Hanaz Cafe bebas dari COVID ye. Kami tiada arahan penutupan kerana pegawai sendiri sahkan Makcik gelang pink negatif daripada COVID-19. Makcik dicari bagi tujuan tindakan undang undang kerana melanggar arahan KKM,” katanya.

Sementara itu, di laman Twitter Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood turut terkilan dengan tindakan wanita tular itu yang dianggapnya boleh menyumbang kepada gelombang COVID-19 sekali lagi.

“It’s people like her that increase our nation’s risk to second wave. Shame on you Ms (Cik) and shame on your friends or family and cafe who allowed her in and didn’t report when she’s supposed to be under quarantine. Stricter measures needed. COVID-19 is still out there,” tulisnya.

(Orang macam wanita inilah yang meningkatkan risiko negara kita menghadapi gelombang kedua. Malulah sikit cik, dan juga kawan-kawan atau keluarga cik serta kafe yang membenarkan dia masuk dan tidak laporkan dia sedangkan dia sepatutnya di bawah kuarantin. Langkah lebih ketat diperlukan. COVID-19 masih belum berakhir)

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah ambil maklum perkara berkenaan dan sedang menjalankan siasatan untuk mencari wanita yang tular itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yasin semalam turut menasihati dan mengingatkan orang ramai supaya tidak lalai dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Sumber :  Nurul Chu Hada Karim , BERNAMA