Ceritakan Pada Anak Lelaki Tentang Kehebatan Rasulullah! Moga Tinggi Jati Diri

Share
Dalam usaha mendidik anak sudah pastinya memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup. Bagi umat Islam, contoh teladan yang terbaik adalah Nabi Muhammad Rasulullah SA.W.
Sebagaimana yang dikongsi oleh Dr Ahmad Sanusi melalui perkongsiannya di laman facebooknya.
1. Ceritakan pada anak lelaki bahawa Rasulullah itu berperwatakan jantan, bukan berpenampilan pondan macam artis K-Pop. Pernah suatu ketika terdengar satu pekikan di Madinah yang membuatkan penduduk Madinah menjadi gempar.
Anas bin Malik menceritakan bagaimana ramai lelaki bergegas untuk mendekati bunyi tersebut. Sesampai di sana mereka mendapati Rasulullah dengan pedangnya telah sampai dan Baginda berkata:
لم تراعوا لم تراعوا فقال النبي صلى الله عليه وسلم وجدته بحرا يعني الفرس
“Jangan bimbang semua, jangan bimbang. Aku mendapati kuda ini (punca kepada bunyi tadi). (HR al-Tirmizi).
Hadith ini menggambarkan kejantanan Rasulullah. Keluar seorang diri dengan pedangnya, mencari punca yang menjadi ketakutan penduduk Madinah.
2. Ceritakan kepada anak lelaki bahawa Rasulullah itu adalah panglima perang yang memimpin kurang lebih 29 peperangan. Baginda sejak usia yang muda telah menyertai peperangan Fijar (sebahagian riwayat menyatakan usia Baginda 14, 15 atau 20 tahun). Sabda Rasulullah:
كنت أنبل على أعمامي
“Aku membantu pakcikku dalam menyediakan anak panah buat mereka (dalam Perang al-Fijar).” (Ibn Kathir, Bidayah wa al-Nihayah).
3. Ceritakan juga pada anak lelaki bahawa Rasulullah dengan kejantanan Baginda, beliau sangat memuliakan serta menyantuni wanita. Dalam sebuah perjalanan, Rasulullah pernah membawa Anjashah sebagai jurupandu unta buat isteri-isteri Nabi.
Ketika melihat Anjasha membawa unta dengan laju Rasulullah mengarahkan Anjashah supaya memperlahankan unta tersebut kerana khuatir situasi tersebut boleh menyakiti isteri Baginda yang berada di atas tunggangan tersebut. Sabda Rasulullah:
رُوَيْدَكَ يَا أَنْجَشَةُ، سَوْقَكَ بِالْقَوَارِيرِ
“ Perlahan sedikit wahai Anjashah, sesungguhnya (diatas tunggangan itu adalah wanita yang seperti) kaca-kaca (yang dimaksudkan adalah para isteri Baginda).”
4. Dalam ketegasan Baginda sebagai pemimpin, Baginda juga adalah seorang yang gentleman. Ceritakan pada anak lelaki bahawa Rasulullah  menyantuni isteri-isteri Baginda.
Menurut Anas bin Malik, beliau pernah melihat Rasulullah  menyediakan tempat duduk (lapik tunggangan) buat Sofiyyah supaya beliau dapat duduk dalam keadaan yang selesa. Baginda juga duduk sedikit supaya Sofiyyah boleh memijak lutut (kaki) Baginda untuk dia naik ke atas tunggangannya.
Moga Allah membimbing para pemuda kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi