“Cerita Keluarga Kalau Boleh Simpan Dalam Selimut, Jangan Buka Aib…” – Ashraf Muslim

Share

Sering tular di media sosial kisah rumah tangga suami isteri yang bergolak. Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan pasangan secara terbuka mendedahkan aib pasangan bagi membuktikan mereka ‘jaguh’ dalam pergolakan itu.

Tanpa kita sedar dalam hubungan suami isteri, antara perkara dilarang adalah mendedahkan aib pasangan masing-masing kepada orang yang tidak berhak mengetahuinya.

Baru-baru ini, pelakon Ashraf Muslim ada berkongsi pesanan agar setiap pasangan tidak perlu membuka aib pasangan sendiri di media sosial sebaliknya segera mencari jalan damai.

“Apa saja cerita mengenai keluarga ni kalau boleh simpan dalam selimut, jangan buka aib… kalau kita sebarkan di media sosial akan rasa kebaikan untuk diri tapi sebenarnya ia memberi ruang untuk nampak keburukkan diri.

“Saya rasa baik fasal keluarga ini simpan-simpan dan selesaikan masalah dengan sendiri, berbincang dengan hati terbuka. Kalau boleh betul, kita betulkan. Pasti ada jalannya.

“Bincanglah dengan baik, daripada gaduh jadi tak gaduh. Allah temukan dengan cara yang baik. Jadi carilah penyelaseaian sebab kita sebagai muslim, ada buat salah. Setiap masalah ada penyelasaiannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ashraf antara selebriti yang mengamalkan hidup berpoligami turut menegaskan bahawa perlu adanya ilmu dalam hidup berpoligami.

“Kita yang kena tunjuk perkara-perkara yang baik. Yang tak baik itu kita cepat-cepat betulkan. Islam itu indah. Poligami juga sebenarnya indah.

“Bila kita buat keputusan tersebut, kita kena tahu apa yang perlu ada seperti ilmu, mencari dekat dengan tuhan, lihat kesan yang berlaku, apa yang akan berlaku dan apa yang perlu buat selepas itu. Kena faham.

“Mendamaikan isteri-isteri saya dengan menghormati mereka, berikan kasih sayang, berbuat baik dan jalankan tanggungjawab sebagai suami. Saya yakin benda itu akan berdamai.

“Tiada istilah bernasib baik dalam keluarga kita. Poligami ini bukan mudah. Kita kena faham dan belajar apa yang perlu,” kongsinya.

Untuk rekod, Ashraf bernikah dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman pada 24 september 2011 di Makkah.

Selepas empat tahun berkahwin, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki bernama Anas Ashraf, 7.

Ashraf kemudiannya berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3.

Sumber: mStar