Penyanyi cantik, Nurshazwany Hasrita binti Hasbullah atau mesra disapa sebagai Wany Hasrita mungkin jarang berkongsi tentang kehidupannya sebagai seorang ibu. Namun, kekuatan semangatnya mengharungi fasa berpantang dan membesarkan anak sendiri kerana terpaksa berjauhan dengan suami menjadi salah satu faktor dirinya dipilih sebagai penerima anugerah Pa&Ma Gala Award 2024 – Best Mama Millennial yang diserikan oleh susu kambing Karihome.
Anak perempuan Wany yang diberi nama Aishah Al Iman kini sudah pun berusia satu tahun lebih dan membesar dalam persekitaran yang harmoni dan dipenuhi kasih sayang. Ketika ditanyakan tentang pengajaran yang dia dapat sejak bergelar ibu, Wany memberitahu banyak perkara yang dipelajari hari demi hari.
“Pengajaran yang paling besar ya? Secara spesifik, saya tak ingat sebab setiap hari saya akan belajar benda baru. Hari-hari belajar sebab akan ada pe’el baru anak saya tu tapi yang paling saya take note adalah jadual masa.
Kita kena adjust masa dan syukurlah bekerja dalam bidang seni ni saya dapat atur masa sendiri, ada kelonggaran. Jadi saya ada masa yang fleksibel untuk bersama anak.”
Raut Wajah Yang Seiras
Semasa ditanyakan tentang persamaan yang boleh dilihat pada Aishah dengan dirinya, Wany memberitahu mungkin dari segi raut wajah mereka berdua. Kata pelantun lagu Cinta Hatiku ini lagi, hal ini turut diakui oleh ibunya, Norita Jaafar kerana setiap kali melihat Wany bermain atau duduk berhampiran dengan Aishah, dia akan mengatakan yang wajah mereka saling tak tumpah.
“Itu menurut ibu saya lah, tapi kalau orang luar kata mereka anak saya lebih banyak mengikut raut wajah suami saya. Ada dua pendapat yang berbeza di situ tapi kalau tanya tentang perangai, dia seorang yang kalau nakkan sesuatu tu, dia nak juga.
Kalau tak dapat, mulalah dia akan keluarkan high pitch dia, Bila dia geram, dia akan mula keluarkan high pitch tu. Jadi sekarang saya tengah belajar nak tenangkan dia.”
Tambah Wany lagi, antara hal yang dia pelajari sebagai ibu adalah bagaimana untuk berkomunikasi dan menjaga tutur kata di hadapan anak kerana mereka sangat mudah ‘menyerap’ apa saja yang dilihat atau didengari. Wany turut mengatakan jika ibu ayah bercakap dengan nada rendah, anak-anak pun akan menjadi tenang.
“Saya sangat amazed, kanak-kanak cepat tangkap. Macam span, serap semua benda. Saya akui hal itu.”
Tidak Letakkan Sebarang Harapan Pada Orang
Apabila diminta untuk mengulas tentang peranan suami dan orang sekeliling tentang bantuan atau semangat untuk menjadi ibu baharu, Wany mengatakan dia melangkah ke dunia keibubapaan tanpa sebarang jangkaan.
“Saya cakap pada diri saya untuk tidak berharap pada manusia sama ada ibu atau suami saya. In the end of the day, ini adalah anak kita dan kitalah yang kena jaga. Kalau ada yang membantu, itu bonus.
Saya ada seorang kenalan yang berdepan dengan post partum depression kerana meletakkan harapan pada orang lain yang dirinya akan dibantu orang lain tapi end up dia terpaksa uruskan sendiri dan memberi impak kepadanya.
Jadi, saya katakan pada diri sendiri untuk tidak meletakkan expectation pada orang lain terutamanya ibu saya. Kali terakhir dia uruskan anak kecil adalah waktu saya dulu yang mana sekarang saya dah pun berusia 31 tahun jadi saya tak boleh harapkan ibu untuk jaga anak saya.”
Kata Wany lagi, pada ketika dirinya tidak meletakkan sebarang harapan tapi dibantu oleh ibu dan suaminya, dia merasa sangat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan mereka.
“Bercakap tentang sokongan dari suami, sekecil-kecil dia berterima kasih kerana saya menjaga anak pun sudah memdai buat saya tapi dah tentulah dia membantu lebih dari itu. Ibu saya pula, memang banyak membantu sepanjang saya membesarkan Aishah.”
Rasa Bersalah Keluar Outstation
Pernah ke Wany rasa bersalah pada anak? Menurut isteri kepada Mohd Al-Adib Fahmi Harun ini, ketika pertama kali terpaksa bekerja di luar kawasan di Pulau Pinang, dia ada rasa bersalah. Namun, kini dia tidak terlalu memikirkan dan tidak merasa bersalah sekiranya keluar bekerja.
“Bila keluar bekerja, umpama me time untuk saya. Pada pendapat saya sendiri, me time itu perlu untuk saya. Ketika saya keluar bekerja adalah waktunya saya memberi ruang kepada diri sendiri. Mom guilt tu tak ada dah, awal-awal hari tu saja saya rasa bersalah.
Bila kita dah biasa bekerja, takkan ada rasa bersalah tapi tidaklah ambil kesempatan sampai bercuti atau tinggalkan anak lama-lama. Yang tu tak patutlah pada saya, kita kena berpada-pada.”
Gugur Air Mata Seorang Ibu
Ketika menonton video throwback sepanjang Aishah Al Iman membesar, ternyata Wany tidak dapat menahan air matanya. mengakui masa cepat berlalu, dia berharap untuk meluangkan lebih masa dengan anak perempuannya itu.
“Saya tak nak ubah apa-apa tapi kalau dapat saya nak luangkan lebih banyak masa dengan dia sebab tiba-tiba dia dah besar. Masa tu sangat cepat berjalan, tiba-tiba dia dah ‘masam’. Saya sangat rindukan masa dia baru lahir, ketika usianya satu dan dua bulan.
Sekarang pun saya sentiasa rindukan dia, tetapi masa memang cepat berjalan. Kalau boleh masa diundurkan, saya nak luangkan masa bermain dengan dia terutamanya waktu dia tengah belajar nak pusingkan badan. Masa mata dia terkebil-kebil tengok siling, tak tahu nak buat apa. Saya rindu masa tu.”
Impian Wany terhadap Aishah Al Iman hanyalah mahukan yang baik-baik saja buat cinta hatinya itu. Wany turut mendoakan yang terbaik untuk anaknya dan berharap Aishah dapat melalui semua cabaran dalam hidup dengan semangat yang kuat.
“Impian saya, nak yang baik-baik jelah untuk dia. Saya tahu dia akan lalui banyak benda nak membesar ni. Sekolah cabarannya lain, di universiti cabarannya lain. Bercinta dan berkahwin pun cabarannya lain. Itu semua sebagai manusia kena tempuh semua itu, saya cuma harapkan dia kuat dan keras luar dan dalam.
Awak adalah anugerah terindah dalam hidup Ibu dan Ibu belajar banyak benda melalui awak. Jaga Ibu dan selalulah buat baik dengan orang sekeliling.”
Tonton video Wany Hasrita di sini: