Cemburu Anak Manja Dengan Pengasuh, Ibu Ni Nekad Berhenti Kerja & Kini Bahagia Berniaga Tepi Jalan!

Share

Hidup ini begitu banyak pilihan, daripada kita mula bangun pagi hinggalah kembali tidur semula di malam hari, ada sahaja pilihan perlu dibuat. Hatta bukan sahaja perkara ringkas malah hingga kepada keputusan berat dalam menentukan hala tuju kehidupan ini.

Umpanya bagi seorang ibu yang berkerjaya, terkadang kita merasakan tersepit dalam membuat pilihan sama ada untuk mengejar impian dan cita-cita sendiri atau memberi seluruh tumpuan dan tanggungjawb untuk mengurus anak-anak dan keluarga dengan sebaik mungkin.

Pun begitu kelazimannya, pada akhirnya anak-anak menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi pilihan kita sebagai seorang ibu.

Begitulah jua kisah seorang wanita dikenali sebagai Puteri Azie yang sanggup melepaskan jawatan terakhir sebagai Pengurus Eksekutif Kewangan di sebuah syarikat demi anak-anaknya.

Dia yang tular di media sosial baru-baru ini kerana sanggup berniaga nasi bungkus di tepi jalan walaupun memiliki paras rupa yang cantik, rupa-rupanya menyimpan 1,001 kisah hidup sepanjang membesarkan anak-anaknya.

Anak Tak Dapat Kasih Sayang

Memetik kisah yang diceritakan olehnya di mStar, wanita berusia 44 tahun itu berkata, dia nekad melepaskan jawatan selepas salah seorang daripada anaknya tidak sihat.

“Saya mula rasa nak berniaga semasa anak kedua demam dan pada masa sama sedang mengandungkan anak ketiga.

“Melihatkan anak kedua demam dan dia tak mahu dengan saya melainkan pembantu rumah, ia menyebabkan saya terdetik dalam hati… kalau keadaan berterusan saya pergi kerja pagi dan balik petang, esok-esok nanti anak saya letak saya di rumah orang tua.

“Masa tu saya tak boleh cakap apa-apa sebab dia sendiri tak dapat kasih sayang daripada saya,” luahnya yang kemudian mula berniaga pada usia 26 tahun.

Berniaga Selepas Suami Meninggal

Memilih berniaga di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor, ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, nasi kerabu jualannya mula bertapak di sekitar kawasan tempat tinggalnya sahaja.

Jelasnya, pada masa itu, dia mula membuat flyers untuk diedarkan dari pintu ke pintu rumah seolah-olah mempromosikan produk jualan.

“Saya mula berniaga selepas suami meninggal. Saya buat apa sahaja kerja yang boleh bantu untuk besarkan anak-anak tambahan pada waktu itu terdapat sedikit kesulitan.

“Jadi saya mulakan dengan fotostat flyers dan edarkan di kawasan apartment tempat saya tinggal, dari rumah ke rumah.

“Apabila balik kerja, mereka terus order dan bermula dengan 10 tempahan makanan disediakan. Ia semakin bertambah, maksudnya masakan saya orang boleh terima.

“Pertambahan tempahan makanan membuatkan saya terdetik untuk pergi keluar. Semasa membeli burger di Seksyen 13 Shah Alam, saya bertanyakan jika boleh berniaga di situ,” ceritanya.

Kandong Anak Semasa Berniaga

Menurut anak jati Tanah Merah di Kelantan, urusannya untuk mula berniaga di tepi jalan dipermudahkan.

Malahan, dia dibantu oleh seorang peniaga durian yang meminjamkannya generator, meja dan khemah untuk memulakan jualan.

“Saya tanya peniaga durian dan dia bagi saya berniaga di situ. Siap bagi saya duduk tempat dia.

“Dia cakap guna khemah dan generator dia sebab saya berniaga petang hingga malam. Saya hanya perlu bawa makanan yang nak jual, meja dan kaki meja pun dia bagi.

“Apabila dah berniaga tu, Alhamdulillah bulan pertama saya dapat simpan RM13,000,” katanya yang terpaksa mengendong anak-anak yang masih kecil untuk turut berniaga pada ketika itu.

Bersyukur dengan rezeki yang diberikan, Azie turut merasa gembira kerana hasratnya untuk berada bersama anak-anak tercapai.

Anak Sulung Melanjutkan Pelajaran Hingga Ke Jerman

Berkat usaha gigihnya, anak pertama dan kedua berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan.

“Anak sulung umur 22 tahun, kedua 21 tahun dan ketiga 16 tahun. Saya besarkan anak sendiri sehingga anak sulung berjaya sambung pengajian di Jerman manakala anak kedua belajar di UiTM (Universiti Teknologi MARA) dan anak ketiga masih di bangku sekolah.

“Imbas balik masa mereka kecil, saya memang seorang ibu yang pentingkan pelajaran kerana mahukan mereka berjaya… janji habis sekolah dan Alhamdulillah, mereka dapat kesemua A dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Ada yang pernah tanya kenapa saya tak buka kedai, saya jawab sebab nak duduk dengan anak-anak supaya saya tahu mereka pergi mana dan buat apa.

“Selepas balik berniaga dalam pukul 10.30 malam tu, saya akan semak kerja sekolah mereka… pendek kata saya juga menjadi cikgu mereka di rumah dan sering membelikan buku latihan untuk ulang kaji,” katanya.

Meskipun kesemua anaknya sudah meningkat dewasa, Azie tetap memilih untuk meneruskan jualan di tepi jalan.

Malah dia mengakui enjoy dengan corak berniaga seperti itu yang tidak serabut dan lebih mudah untuk bersama keluarga.

Sehingga kini, sudah 18 tahun Azie mencari rezeki dengan menjual nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi lemak.

@milik_abadi doakan sy murah rezeki🤲#fypdongggggggg ♬ bunyi asal – Sabarituindah79

Meninjau di rungan komen, rata-rata netizen terinspirasi dengan ketabahan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak hingga berjaya, bahkan ramai juga yang terus menitipkan doa agar dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusannya sekeluarga.

Sumber : TikTok @milik_abadi & mStar

ARTIKEL MENARIK : “Di Rumah Auto Jadi Bapak-bapak..”-Isteri Abam Bomba Viral Kongsi Rutin Suami,Tarik Perhatian!