Cemas Anak Melecur Kena Air Panas? Ibu-Ibu Cuba Ikut Nasihat Doktor Perubatan Ini Untuk Elak Jadi Lebih Teruk

Share

Anak-anak kecil terutamanya mudah terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan di dapur. Antaranya melecur akibat tersiram minyak panas, air yang mendidih dan sebagainya.Oleh itu, adalah penting menjadikan dapur ‘baby-friendly’ supaya kemalangan ini dapat dielakkan.

Namun begitu, jika musibah ini terjadi ibu bapa harus bertindak pantas dan mempunyai pengetahuan asas untuk melakukan langkah rawatan asas yang betul bagi mengelakkan kecederaan anak bertambah teruk.

Melalui perkongsian seorang doktor perubatan Hana Hadzrami, beliau berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang perkara asas yang perlu ibu bapa lakukan jika anak terkena minyak atau air panas. Sekaligus membantu meminimumkan kecederaan anak.


“Beberapa bulan dahulu saya menjaga seorang bayi berumur setahun yang dirawat PICU akibat melecur lebih 40% badan. Habis kepala, muka, dada, tangannya kehilangan kulit, hanya tinggal isi yang merah.

Satu badan berbalut dengan hanya menampakkan sebahagian muka (sebahagian lagi ditutup dengan lapisan kolagen) dan kedua-dua belah kaki.

Dia memerlukan bantuan pernafasan dengan mesin bantuan hayat kerana tak mampu bernafas dengan baik.

Anak itu memerlukan pembedahan buang lapisan tisu mati serta menukar balutan (dressing) pada badannya setiap selang sehari.

Tersiram air kopi

Setiap kali dressing dilakukan ianya perlu dibuat di dewan bedah dengan bius penuh. Ini kerana tisu kulit yang mati atau membusuk harus dikikis buang untuk mencegah jangkitan kuman.

Puncanya ialah bayi itu menaiki walker dan menarik alas meja makan. Di atas meja pula ada seteko air panas yang baru setengah jam siap dididih.

Air panas itu telah tersiram pada kepala dan sebahagian besar tubuhnya. Menggelupur anak itu menahan sakit.

Saya teringat anak saya dulu sewaktu berumur dalam 3-4 tahun pernah tersiram kopi panas yang baru dibancuh dengan air mendidih; belum 15 minit selepas didih pun.

Kopi itu saya letakkan di rak almari sebelah atas. Namun anak saya telah memanjat almari dan mencapainya. Lalu kopi panas tersiram daripada kepala sampai ke badannya. Anak tadi melecur teruk sampai masuk ICU. Manakala anak saya selamat tak jadi apa-apa. Syukur!!

Rawatan asas

Kenapa boleh berbeza hasilnya sedangkan mengalami kemalangan yang sama? Bezanya ialah saya mengetahui bantuan rawatan asas (first aid) dan dengan izin Tuhan, berjaya mengaplikasi pengetahuan tersebut kepada anak sendiri.

Sebaik saja tersiram kopi panas, segera saya bawa dia ke bilik air dan saya siramkan air paip secara berterusan. Dengan bajunya sekali saya siram (kerana bajunya tipis).

Siraman itu perlu berterusan sehinggalah dia tak lagi berasa sakit dan tiada lagi kesan merah pada badannya.

Manakala anak yang malang tadi; ibubapanya tiada pengetahuan first aid. Dalam keadaan panik, terus anak itu di bawa ke hospital. Kulit yang tersiram air panas terus ‘masak’ secara perlahan-lahan kerana haba terus masuk kedalam kulit secara langsung.

Sampai di hospital, semua dah terlambat; lecur tadi dah jadi third degree burn. Kesian si anak perempuan tadi. Wajah dan tubuhnya takkan kembali seperti dulu!

Petua

Kerap saya terdengar cara merawat lecur dengan cara menyapu ubat gigi atau dengan merendam anggota melecur dalam guni tepung . Ada juga yang suruh sapu minyak masak. Bermacam jenis petua ada.

Petua-petua tersebut diturunkan oleh nenek moyang dengan niat baik. Namun ianya kurang tepat dan boleh memburukkan keadaan jika lecur itu serius dan melibatkan kawasan besar.

Jika tersiram minyak atau air panas, jangan panik. Segera bawa mangsa ke bilik air dan lalukan dengan air paip secara berterusan selama sekurang-kurangnya 20 minit atau hilang rasa sakit.

Jika anggota melecur dilitupi dengan barang kemas, lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’.

Percayalah, jika first aid dilakukan dengan segera; jangankan melecur, tanda merah pun tiada. Belajarlah asas rawatan seperti mengendalikan luka kecil dan pendarahan, memberi rawatan permulaan bagi luka melecur, kerana kemalangan kerap terjadi dalam rumah.

Dengan pengetahuan rawatan asas, anda boleh mencegah kecederaan yang lebih besar.

Simpan barang berbahaya

Paling baik jika ada anak kecil di rumah ialah menjadikan rumah anda baby-friendly supaya kemalangan dapat dicegah.

Simpan segala alas meja, perhiasan kaca atau kristal. Elakkan wayar elektrik berjuntai ke bawah. Simpan benda tajam dan berbahaya di tempat yang tak boleh dicapai oleh anak kecil.

You can make a difference!

Hana Hadzrami

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dikongsikan buat Ibu bapa semua. Apa yang penting lebih berhati-hati dan membuat rawatan asas yang betul jika berlakunya kemalangan ini.