Berbeza dengan sesetengah individu baik selebriti mahupun orang biasa yang malu dan enggan bercerita jauh sekali menonjolkan anak-anak mereka yang autistik pada masyarakat, duta produk Micracle ini sebaliknya pula. Rasa malu dibuang jauh-jauh sebaliknya dia bersemangat bercerita mengenai hal itu dengan harapan masyarakat membuka mata tentang autistik. Semangat Catriona Ross kembali bersinar apabila memandang wajah anak-anaknya yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang.
Kesakitan bersalinkan anak ketiga belum benar-benar pulih, diri sudah diuji lagi tatkala anak kedua, Raes disahkan menghidap autistik. Rasa ‘down’ dan hampir dua minggu dia menjeruk rasa, berkurung dan menangis mengenangkan nasib anaknya itu. Namun, pelakon berdarah kacukan ini kembali bangkit dan enggan mengalah.
“Kami mula sedar ada yang tidak kena dengan Raes apabila usianya memasuki dua tahun tetapi dia masih belum boleh bercakap. Waktu umurnya setahun lebih, saya sudah rasa ada yang tidak kena kerana dia tidak bercakap dan menyebut perkataan.
“Selain itu, Raes tidak menunjukkan tanda-tanda sepertimana kanak-kanak seusianya. Suara dia hanya boleh dengar apabila dia menangis sahaja. Apabila bertanyakan pada kawan-kawan jawapan mereka anak lelaki memang lambat sedikit. Saya ada hantar Raes ke pusat asuhan dan memang tiada sebarang perubahan. Bulan keenam di situ, pengetuanya minta kami membawa Raes bertemu pakar. Selepas buat ujian, memang sah Raes autistik.
“Dua minggu lamanya saya asyik menangis, bayangkan waktu itu saya baru lepas pantang anak ketiga, Idrus. Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata betapa sedihnya saya ketika itu. Saya tidak tahu nak buat apa dan bagaimana untuk uruskan anak autistik. Ketika itu, saya teringat kepada Fynn Jamal dan terus menghubunginya melalui instagram.
“Memandangkan dia sibuk, kami hanya berhubung melalui instgram. Saya meluahkan segala isi hati dan dialah manusia pertama yang membantu saya meleraikan segala kekusutan di hati,”jelas Catriona yang turut membuat kajian dan bacaan melalui internet dan itu semua banyak membantu membuka minda dan mata untuk menguruskan anaknya.
Akui Catriona, biarpun Raes menghidap ‘mild autisme’ dan bukan jenis hyperaktif, namun harus bijak mengambil hati dan tidak boleh menyebabkan emosi anaknya terganggu.
“Biasanya kalau keinginan dia tidak dapat dipenuhi mula lah dia buat perangai. Sebelum ini memang sukar untuk kami faham apa yang dia inginkan tetapi selepas membaca dan mendapat ilmu tentang hal berkaitan autistik, maka sedikit sebanyak kami sudah mula boleh berkomunikasi dengannya. Walaupun belum boleh bercakap tetapi kalau nak makan atau susu, Raes boleh memberi ‘hint’ apa yang dia inginkan,” cerita Catriona dengan lebih lanjut mengenai perihal anak keduanya yang disahkan autistik.
“Bengkak Jiwa’
‘Saya tidak mahu berpura-pura ibarat manusia sempurna di mata masyarakat. Sebaliknya, saya suka berkongsi apa yang saya ada dan tahu. Sekurang-kurangnya ini boleh membantu ibu bapa lain yang senasib dengan saya tentang bagaimana menjaga dan menguruskan anak-anak autistik. Dalam masa yang sama, saya mahu masyarakat tidak memandang sinis setiap kali berhadapan dengan anak-anak istimewa ini.
“Jika di bandar, mungkin masyarakatnya sudah biasa kerana mungkin sudah terdedah dengan hal ini tetapi di luar bandar ia masih ‘taboo’. Mereka tidak suka mendedahkan hal-hal yang berkaitan sensitiviti sebegini kerana bimbang membawa masalah kepada mereka. Sedangkan mereka patut tahu, ini semua adalah urusan Yang Maha Esa.
“Kita harus terima dengan hati yang reda. Memang berckap mudah tetapi hanya yang mengalaminya boleh merasai sendiri. Sedih, kecewa, malu dan sebagainya, namun buang jauh-jauh semua rasa itu. Bangkit dan bantu anak-anak kita kerana jika kita sendiri sebagai ibu bapa tidak memulakannya bagaimana masyarakat boleh menerima.
“Anak autistik memerlukan perhatian yang rapi, mereka tidak boleh belajar topik biasa seperti kanak-kanak biasa yang lain. Saya sendiri jujurnya waktu mengetahui Raes autistik, saya rasa ‘bengkak jiwa’ lebih-lebih lagi apabila terpandang wajahnya. Kerana itu, saya mahu berkongsi rasa sayu itu dengan ibu-ibu yang lain.
“Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi maklum balas negatif, rata-rata memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih kuat,’ ulas Catriona yang mengakui walaupun Raes ‘istimewa’ namun layanan diterima sama rata antara ketiga-tiga anaknya.
“Saya tidak mengamalkan pilih kasih dalam mendidik anak-anak. Walaupun Raes jenis yang cepat terasa namun kakak dan adiknya jenis yang memahami lebih-lebih lagi yang ketiga iaitu Idrus. Dia sangat rapat dengan abangnya boleh dikatakan tulang belakang kepada Raes. Idrus memang tidak faham situasi Raes tetapi dia suka berkongsi apa jua dengan abangnya dan banyak membantu seperti mengambil susu untuk abangnya dan sebagainya. Raes memang suka ‘have fun’ dengan adik-beradiknya dan suka gelak-gelak bila bermain sama-sama.
“Walaupun Raes tidak pandai minta apa dia nak, tetapi saya selalu ajar Rania yang adiknya (Raes) ‘istimewa’. Dia tidak bercakap, sensitif tetapi seorang yang penyayang. Dia juga cepat terasa dan boleh menangis tersedu-sedu dan ada kala berguling-guling jika keinginannya tidak dipenuhi. Raes akan ke pusat Autisme lima hari seminggu. Di pusat berkenaan mereka di ajar untuk berdikari seperti mana kanak-kanak lain.
“Ada pelbagai kategori anak-anak autistik di situ dan Alhamdulillah, memang nampa