Berita

Caruman i-Sayang Untuk Suami Hargai Isteri, Dah Ramai Rupanya Dah Buat

Share

Jangan ingat isteri yang tidak bekerja tidak boleh mempunyai akaun di KWSP. Bagi wanita yang bergelar suri rumah, i-Sayang adalah peluang untuk menjamin masa depan biar pun tidak bekerja.

Menurut KWSP Malaysia, i-Sayang merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memberi pilihan kepada suami (pemberi) untuk memindahkan 2% caruman syer pekerja yang diterima daripada majikan ke dalam akaun KWSP isteri (penerima).

Permohonan adalah secara sukarela daripada suami dan pindahan akan dilakukan secara automatik setiap bulan apabila adanya caruman dari majikan yang dikreditkan ke dalam akaun KWSP suami. ​

Pindahan caruman ini tidak boleh dibatalkan kecuali berlakunya penceraian atau kematian isteri.​

Menurut laporan Sinar Harian, kira-kira 86,000 golongan suami telah menyertai program i-Sayang sejak diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Mac 2023.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah tersebut melibatkan pindahan caruman sebanyak RM22.1 juta setakat Ogos lalu.

“Program i-Sayang membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai langkah KWSP untuk meningkatkan semula simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Sumber: Sinar Harian & KWSP