Melihat pokok bunga yang ditanam di tanah tinggi, bunga-bungaan berkembang segar dan cantik sekali.
Teringin juga dibawa balik untuk ditanam, pun begitu ramai juga mengatakan pokok tersebut akan mati jika di tanam di kawasan panas. Betulkah?
Di sini Puan Tg Noorhidayati berkongsi info berkenaan penanaman Ros untuk manfaat bersama.
Dips berkebun: Bunga Ros dan kaedah penjagaannya.
Sebelum beli : Pastikan bunga ros itu adalah ros kampung ataupun ros tanah tinggi.
Ros kampung senang dijaga dan tahan dengan cuaca kita.
Ros tanah tinggi sedikit sensitif dan perlu ditrain untuk hidup dan fleksibel dengan cuaca kita.
Medium tanah semaian tanah kompos atau yang tidak menyerap air. Akar pokok ros cepat memburuk jika berlebihan air.
Siram pokok di awal pagi dan awal petang. Siram tengah hari.waterblast untuk kurangkan thrips. Siram lewat petang boleh menyebabkan bintik-bintik hitam timbul di permukaan daun.
Sentiasa trim pokok untuk menggalakkan pucuk baru keluar dan menggalakkan bunga keluar.
Buang daun-daun yang rosak atau buruk. Jika batang ros memburuk, potong batang yang buruk sehingga ke bahagian dahan yang masih hijau untuk mengelakkan penyakit pokok dari merebak ke batang yang masih elok.
Potong tangkai bunga di bahagian pangkal untuk mengelakkan kekurangan nutrien pokok. Tangkai bunga yang buruk perlu sentiasa dicantas awal untuk menggalakkan pucuk baru cepat keluar.
Pembajaan yang teratur seminggu sekali. Boleh selang selikan dengan booster flowers yang berbiji merah dengan baja kulit udang dan baja kopi.
Ros tanah tinggi.
1. Tukarkan pot dan tanah yang lebih baik. Pasu yang besar dan tanah sekam poros.
2. Letak pokok ros ditempat teduh dalam tempoh seminggu dua.
3. Dedahkan pokok dengan cahaya matahari pagi selama 4-5 jam sehari. Elakkan tempat yang terlalu panas dan terdedah matahari yang terik.
4. Trim pokok dan buang daun-daun yang mula menguning. Itu normal kerana pokok sedang menyesuaikan diri dengan tempat baru, dengan itu pucuk baru akan keluar dan pokok akan cepat berputik baru. Letakkan secubit baja tapi mestilah jauh dari pangkal kerana baja kimia bersifat panas dan boleh memudaratkan pokok bila terlebih atau diletak di pangkal pokok.
5. Ketika trim pokok jangan buang kesemua daun. Tinggalkan sedikit daun yang masih elok di pokok untuk menggalakkan proses fotosintesis terus berlaku dan menggalakkan pokok terus hidup, dan mengelakkan pokok cepat rosak dan mati.
Cara tanam melalui keratan batang
1. Pilih ranting pokok yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda. Potong menyerong.
2. Potong di awal pagi atau lewat petang untuk mengelakkan batang kekurangan air. Basuh ranting yang dipotong untuk membuang tanah dan kekotoran yang melekat.
3. Rendam keratan ranting di dalam air bebas klorin selama 5-6 jam untuk memastikan batang terus segar dan menerima bekalan air secukupnya. Sewaktu rendam pastikan daun di pangkal ranting dibuang untuk mengelakkan penyakit dan kulat di bahagian rendaman batang tersebut.
4. Alihkan ke tanah pada lewat petang. Pastikan pasu dan tanah berada pada tempat teduh dan sedikit lembap. Siram seperti biasa. Pastikan pokok menerima cahaya matahari secukupnya setiap hari.
Sedikit tips penjagaan pokok bunga ros dari saya mengikut pengetahuan dan cara yang saya amalkan. Jika ada kekurangan harap dapat dimaafkan. Saya pun masih belajar. Selamat berusaha.
Sumber : Puan Tg Noorhidayati via Kebun Bandar :Jom Tanam Sendiri