Bila musim durian tiba maka di merata-rata tempat akan kelihatan ramai peniaga menjual buah durian.

Bagi peminat raja buah ini memang tak sah kalau tak membelinya. Selain sedap dimakan begitu sahaja, buah durian juga boleh diolah menjadi pelbagai resipi yang sedap dinikmati.

Antara resipi berasaskan buah durian yang sering mendapat tempat di hati peminatnya adalah Serawa durian, Durian crepe, Bingka durian, kek durian dan macam-macam lagi.

Serawa durian atau ada juga yang memanggilnya kuah durian antara menu olahan raja buah yang sangat popular. Tak sah rasanya kalau musim buah durian kita tak masak menu ini.

Ia biasanya sedap dimakan bersama pulut, roti jala, roti putih, serabai, lempeng atau apa sahaja mengikut selera masing-masing.

Walaupun cara memasak Serawa Durian ini mudah sebenarnya tetapi tak semua orang berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan hati di mana kuahnya pekat, likat dan rasa manis sedang elok.

Ads

Jom kita belajar cara masak Pulut dan Serawa Durian dikongsi oleh Roslinda Abd Hamid.

Cara Mudah Masak Serawa Durian Yang Pekat & Berkrim

Serawa Durian

Bahan-Bahan:

Isi Durian – dari 2 biji durian
1 cawan santan pekat
3 cawan air
1 1/2 ketul gula Melaka
1 sudu teh garam
1 sudu besar tepung jagung (dibancuh dengan 1/4 cawan air)

Ads

Cara menyediakan:

  1. Masukkan isi durian ke dalam periuk atau kuali bersama gula Melaka dan air.
  2. Masak di atas api perlahan sambil meleraikan isi durian daripada bijinya dan kacau sehingga gula Melaka larut dan sebati.
  3. Masukkan santan pekat dan air. Masak sehingga mendidih dan masukkan sedikit garam.
  4. Biarkan mendidik seketika.
  5. Masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan serawa.
  6. Kacau lagi sehingga mendidih perlahan dan tutup api dan siap untuk dihidang.

Pulut

Cara Mudah Masak Serawa Durian Yang Pekat & Berkrim

Ads

Bahan-bahan: 

2 cawan pulut
1/2 cawan santan pekat
1 1/2 cawan air
1 sudu teh garam

Cara menyediakan:

  1. Rendam beras pulut dengan air yang diletakkan asam keping selama lima jam.
  2. Toskan beras pulut dan letakkan di dalam loyang.
  3. Masukkan santan pekat dan air ke dalam beras pulut.
  4. Pastikan paras pulut sama dengan paras air.
  5. Taburkan sedikit garam dan gaulkan sebati.
  6. Kukus selama 20 minit. Bila sudah masak kacau rata seketika dan sambung kukus semula selama 10 minit.
  7. Angkat dan boleh dicetak menggunakan mangkuk kecil sebelum dihidangkan.

Sumber: Roslinda Abd Hamid

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Keluarga Gader https://t.me/keluargagaderclub sekarang!

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI