
Bergelar ibu bapa, kadang-kala kita tidak menyedari ada kesilapan dalam mendidik anak-anak. Semamngnua kita ingin cahayamata kita menjadi anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Lantaran itu, kita sanggup berhabis wang ringgit menyediakan kelas tambahan buat anak.
Namun, setiap anak punya karektor tersendiri yang memberi kesan kepada pembelajarannya.
Ingin tahu lanjut, ikuti perkongsian Dr Taufiq Razif ini.
Kalau ada anak yang masih belajar, tolong baca dan fahami ilmu ni.
Cara anak belajar sebenarnya berbeza beza bergantung kepada karakter & personaliti anak kita.
Mereka boleh je belajar macam biasa tapi kalau kena cara dan mengikut karakter & personaliti anak kita maka ilmu yang dibaca tu akan lebih cepat diserap & lebih berkesan untuk anak kita. Barulah mereka senang skor exam dan mudah faham apa dia belajar.
KATEGORI ANAK IKUT FOKUS PEMBELAJARAN
– Ada anak fokusnya pendek. Kena banyak belajar di luar kelas dan buat banyak aktiviti
– Ada anak fokusnya panjang. Boleh bagi dalam bentuk jadual yang ada timeline supaya dia boleh bersiap sedia
– Ada anak yang jenis competitive. Mereka suka nak menang dan suka dipuji. Mereka akan perform kalau boleh berlawan dengan orang lain.
– Ada anak yang family style focus. Dia akan cepat serap ilmu yang dia pelajari kalau dia belajar dalam study group
– Ada anak suka belajar dalam keadaan semuanya teratur dan kemas. Kalau tempat belajarnya tak kemas memang dia jadi tak boleh fokus
– Ada anak yang jenis paling hebat belajar bila dia diberitahu yang dia akan jadi contoh pada pelajar yang lain.
InsyaAllah bila cara belajar ni sesuai dengan karakter & personaliti anak kita maka jangan pelik kalau tiba tiba anak kita jadi hebat dan minat belajar.
Mungkin selama ni bukan anak kita taknak skor peperiksaan dan kelihatan malas cuma mungkin cara anak kita belajar tu tak kena dan tak matching dengan karakter dan personaliti mereka.
kenali-Anak
Nota kaki : Tolong ajarkan ilmu ni pada pasangan masing masing juga ya supaya mereka pun boleh sama sama fikirkan tentang pendidikan anak anak
Kredit: Taufiq Razif
‘Bila Mak Ayah Nak Tinggal Sama, Itu Masa Untuk Kutip Pahala.’ Wanita Ini Kongsi Memori Arwah Ibu.

Kenangan hidup bersama ibu bapa sejak kecil pasti akan dingati sampai bila-bila. Mereka yang menjaga kita penuh kasih sayang sehingga dewasa hingga mampu berdikari dan membina kerjaya sendiri.
Alangkah beruntungnya anak itu apabila ibu bapa masih tinggal bersama sebumbung. Dapat menikmati lagi kasih sayang mereka walaupun sudah mempunyai keluarga. Hakikatnya bukan mudah sebenarnya ibu bapa ingin duduk serumah dengan anak-anak yang sudah berumahtangga. Maklumlah mereka sudah memiliki rumah sendiri di kampung. Bagi yang diberi peluang duduk sebumbung bersama ibu bapa seharusnya menghargainya. Inilah masa untuk berbakti pula kepada orang tua.
Begitulah yang dialami oleh puan Nurlia Mohd Nor yang melahirkan rasa syukur apabila arwah ibu dan bapanya tinggal bersamanya.
Momen indah ketika bersama arwah dan bapa menjadi memori yang sangat manis untuk dikenang. Malah katanya, peluang ini juga memberi ruang kepadanya mendapat pahala berkat menjaga orang tua.

” Mak kamu yang beria nak dok dengan kamu. Tu yang bila kamu ajak dia setuju. Terus ajak abah..”, kata Abah.
Saya masih teringat kata- kata ini waktu bersembang dengan Abah dulu.
Bila rumah yang kami tinggal sekarang ni siap orang pertama yang kami bawa lihat adalah mak abah.

1st time masuk rumah ni kami dah plan dan excited bercerita pada mak dan abah.
” Yang ni bilik mak, abah. Nanti Ya letak katil, almari, tv..”
” Nanti kat sini Ya letak kerusi, mak boleh berehat…”
” Kat sini pulak tempat solat, bla..bla..”
Seronok sungguh waktu itu.

Alhamdulillah sepanjang mak dan abah tinggal di sini kami tidak menghadapi masalah. Tak pernah berlaku salah aham, terasa hati, bermasam muka dan sebagainya. Kami bahagia tinggal bersama orang tua. Kami masak bersama. Pukul 10 pagi 3 beranak mula la masuk dapur. Hehehe.
Biasa mak akan masak menu gulai, saya menu bergoreng manakala abah pula akan buat menu sayur. Abah memang suka join sebab dia suka masak. Alahai. Seronoknya waktu itu. Tapi sejak mak dah tiada, abah dah taknak buat aktiviti memasak dah. Separuh jiwanya sudah pergi..
Sesekali bila abah dan mak balik jenguk rumah di kampung seminggu dua, mak dah mula resah. Bila saya call, abah akan mengadu.
” Mak kamu ni tiap- tiap hari tanya bila nak balik Bukit Beruntung?”
Hehehe.
Bila saya mendengar dan membaca beberapa cerita ada ibu bapa yang terasa hati dengan anak apabila tinggal bersama agak payah untuk saya nak komen. Balik ke rumah ibu bapa sekali sekala tak sama dengan tinggal bersama ye. Perasaan tak selesa dan sebagainya itu takkan diuji selagi kita tak tinggal bersama. Waktu tu baru tahu siapa diri kita sebenarnya.
PAHALA BILA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Cuma satu saja. Pegang pada yang ini. Apabila ibu bapa nak tinggal bersama itu sebenarnya peluang untuk kita KUTIP PAHALA.
1) Bawa ibu bapa tinggal bersama adalah rezeki yang tak semua orang berpeluang dapat. So rebutlah peluang itu, jangan sia- siakan. Buat mereka terasa seperti tinggal di rumah sendiri.
2) Ibu bapa adalah punca rezeki kita. Bawa mereka tinggal bersama tak kurang pun rezeki malah Allah bagi rezeki lebih dari pelbagai sudut. Dan percayalah, sebenarnya kita yang menumpang rezeki mereka.
3) Apa yang kita makan, itulah juga yang mereka makan. Bukan beli makanan tertentu, sorok makan. Orang tua nampak, terasa hati. Nampak macam perkara remeh, tapi semua situasi ni ada berlaku.
4) Jangan jadikan orang tua ‘pembantu’ kita. Buat kerja rumah macam biasa. Bila orang tua tinggal bersama itu bukan tiket untuk kita mengharapkan mereka terutama kerja rumah. Jika kita bekerja hantar anak- anak ke pengasuh sama seperti sebelum ini terutama yang kecil. Ibu bapa kita perlu rehat secukupnya.
5) Jangan pernah anggap mereka bebanan terutama apabila mereka tidak sihat. Sampai satu masa kita akan diuji dengan semua ini. Mereka akan jadi seperti kanak- kanak semula. Makan tumpah, perlu kita mandikan, cuci najis dan sebagainya. Ingat semula waktu mereka membesarkan kita dulu. Inilah masa kita pula buat perkara sama dan membalas jasa mereka pula.

Saya mungkin bertuah sebab ada mak dan abah yang amat memudahkan dan menyenangkan. Ujian setiap orang takkan sama. Saya pernah terdengar Mak dan Abah bersembang,
” Kita ni setiap hari kena berdoa mudah- mudahan Allah mudahkan hari tua kita. Moga kita menyenangkan anak- anak. Biar anak- anak jaga kita deme dapat pahala, bukan jadi anak derhaka..”
Ya, itulah kekuatan doa. Kita pun dah boleh mula berdoa macam ni. Mudah- mudahan di hari tua kita memudahkan anak- anak. Jaga orang tua ni kalau betul cara akan dapat pahala, tapi kalau tak kena cara boleh jadi anak derhaka.
Alhamdulillah mak tinggal bersama kami sehinggalah menghembuskan nafas terakhir 2 tahun yang lalu dan berpindah ke rumah baru yang kekal abadi. Cuma tinggal abah saja untuk kami terus berbakti dan mengutip pahala.

Minggu lepas waktu suami dan abah ziarah kubur Mak, dia bertanya.
” Abah kalau ada tak selesa apa- apa kat rumah abah bagitau ler. Kot abah ada nak beli apa- apa..”
Abah jawab,
” Abah dah selesa dok rumah kome. Takde apa nak dah..”
Jawapan yang simple tapi cukup buat kami lega.

1 Februari ini genap 2 tahun emak pergi meninggalkan kami. Terasa cepat sungguh masa berlalu. Dah 2 tahun tak panggil mak, dah 2 tahun juga tak dapat lihat wajah dan sentuh mak. Sampai sekarang ada masa air mata tertumpah jua bila rindu itu datang bertamu. Al fatihah Mak.
Sumber: Nurlia Mohd Nor
“Apa Yang Kita Lakukan Sekarang Adalah Bekalan Untuk Hari Tua.” Lisdawati Kongsi Rahsia Kekal Anggun & Awet Muda Di Usia 40-An.

Memasuki usia 40-an pada tahun ini, pelakon cantik manis yang juga ibu kepada 4 cahaya mata ini masih tetap anggun dan awet muda. Bibirnya tidak lekang dek senyuman.
Menurut Lisdawati lagi, sungguhpun dirinya bergelar isteri dan juga ibu, bahkan penampilan juga sudah agak berubah, itu semua sedikit pun tidak memudarkan minatnya dalam bidang lakonan.
Dia yang baru melahirkan anak keempat mengakui pengalaman hamil di usia yang agak lewat, jelas ada perbezaan ketara daripada kehamilannya yang terdahulu.
“Kali ini saya hamil pada usia 40 tahun, memang berbeza dengan yang terdahulu. Dari segi tenaga terutamanya dan juga nak dapat balik bentuk badan yang asal seperti dahulu. hamil pada usia dah menjangkau 40-an ini banyak yang perlu dijaga.
“Jadi, saya banyak jaga pemakanan dan melakukan senaman untuk kembalikan bentuk badan yang asal. Bagi saya mudah sahaja, apa yang kita lakukan sekarang adalah bekalan untuk hari tua, jadi penting untuk saya menjaga pemakanan saya dan yang sentiasa menjadi amalan adalah minum air kosong yang banyak.
“Saya memang tak boleh kalau tak minum air manis tapi apa yang saya lakukan adalah pastikan diri sentiasa berdisiplin untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari,” ujarnya lagi.
Muda dan jelita di usia 40-an
Walaupun sudah memasuki usia 40-an dan mempunyai empat orang anak, ibu kepada Nor Aini Farhana, Nor Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh ini tetap kelihatan muda dan jelita. Turut berkongsi rutin pemakanan yang diamalkan menurut Lisdawati, dia jarang makan ayam dan daging.
“Saya memang seorang yang jaga pemakanan. Saya memang jarang makan ayam dan daging. Dalam hidangan untuk saya sendiri atau keluarga, memang saya banyakkan sayuran terutamanya lobak merah. Anak-anak dan suami memang dah sedia maklum, kalau saya yang masak, lobak merah pasti ada dalam menu kami.
“Untuk makan malam pula, saya lebihkan sayuran dalam hidangan. Kalau ambil nasi dan lauk, separuh pinggan saya adalah sayuran. Saya pernah buat eksperimen dengan badan saya. Dua minggu saya tak jaga makan dan makan ayam setiap hari, hasilnya badan saya naik 4kg. Nak turunkan balik punyalah lama ambil masa. Sejak itu saya kurang makan ayam dan daging. Kalau nak makan protein, saya lebih memilih ikan dan juga makanan laut yang lain sebagai ganti.
“Bagi saya, paling penting adalah jaga pemakanan dan lakukan senaman. Kita sendiri tahu apa yang badan kita perlukan. Kalau nak diet pun boleh tapi jangan sampai paksa diri tidak makan dan sebagainya. amalkan pemakanan yang sihat dan jangan lupa bersenam itu yang paling penting,” ulasnya lagi.
Sikap panas baran berkurangan
Jelas Lisdawati lagi, dalam meniti usia bersama suami, pelbagai ujian dalam kehidupan yang melanda membuatkan mereka lebih muhasabah diri. Usai 8 tahun berkahwin, Fauzi mula menunjukkan perubahan positif dan sikap panas baran juga sudah berkurangan.
Malah hubungan mereka berdua juga bertambah baik ditambah dengan kehadiran empat orang cahaya mata yang melengkapkan kehidupan mereka di samping empat orang anak Fauzi yang lain menerusi perkahwinan terdahulu.
Tambah Lisdawati, dia sebenarnya kagum dengan anak-anak tirinya. Walaupun bersekolah di sekolah yang terletak di luar bandar, mereka dapat membuktikan bahawa mereka boleh berjaya walaupun tidak bersekolah di sekolah elit atau sekolah swasta seperti di bandar.
Kini anak sulung Fauzi sedang belajar di Universiti Malaya, manakala anak ketiganya baru sahaja menamatkan pengajian di INTEC sebelum menyambung lagi pengajian dalam bidang yang lebih tinggi.
Pendekatan untuk anak-anak
Turut berkongsi cara dalam mendidik anak-anak, jelas Lisdawati, dia dan suami sering beriadah dan menghabiskan masa bersama dengan anak-anak.
“Kami kalau berkumpul biasanya suka menonton filem-filem di televisyen bersama-sama. Dari situ saya dan suami akan kupas semula pengajaran yang boleh diperoleh daripada filem yang ditonton. Orang kata sambil berhibur secara tak langsung kami mengajar.
“Selain itu kami juga menjadi tempat mereka untuk bercerita apa sahaja tentang kehidupan dan juga masalah yang dihadapi. Jadi kawan dan pendengar setia untuk mereka adalah cara kami dekatkan diri dengan anak-anak.
“Saya dan Fauzi tak ada bantahan jika anak-anak nak ceburkan diri dalam bidang seni seperti kami. Tapi mereka kena lepas syarat dan cukup kuat untuk tempuhi ujian-ujian yang tak disangka-sangka.
“Kami akan ceritakan pahit manis sepanjang bergelar anak seni supaya mereka dapat gambaran sedikit sebanyak tentang itu. Kalau mereka rasa betul-betul kuat dan tegar untuk harungi semua itu, Insya-Allah kami tak ada halangan, semuanya terserah kepada anak-anak.
Jaga Anak Sampai Mengabaikan Kesihatan Diri Sendiri, Ini Salah! Ustaz Pahrol Jelaskan Detail.

Memahami pandangan dan penjelasan tentang menghargai diri daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ini menarik untuk dibaca untuk peringatan pada diri kita.
Ini perkongsiannya.
HARGAI DIRIMU DULU, KEMUDIAN BARU HARGAI ORANG LAIN
Apakah petunjuk, seseorang itu mempunyai harga diri yang tinggi?
Pertama, dia mudah menghargai orang lain. Sebab itu kalau kita lihat dalam kehidupan seseorang ini yang mana mereka ini mudah mesra, menghormati orang lain, boleh bergaul dengan baik dengan orang lain, itu petanda bahawa dia mempunyai harga diri yang tinggi.
Sebaliknya kalau kita lihat ada orang suka meremehkan orang lain, mengejek-ngejek orang lain, selalu memandang kecil kepada orang lain, itu petanda bukan orang lain yang diremehkan itu rendah, tetapi dirinya yang rendah.
Analoginya mudah. Hanya orang yang ada wang boleh memberi wang kepada orang lain. Begitu juga hanya orang yang punya harga diri sahaja yang boleh menghargai orang lain. Sebab itu hanya apabila kita menyayangi diri kita sendiri, barulah kita boleh menyayangi orang lain.
Kedua, mempunyai ‘self talk’ yang positif.
Dalam masa 24 jam, sebenarnya kita lebih banyak bercakap dengan diri kita berbanding kita bercakap dengan orang lain. Petanda orang yang mempunyai harga diri yang tinggi ialah percakapan dirinya terhadap dirinya sendiri ialah percakapan-percakapan yang positif.
Bila dia dengar sahaja kuliah atau dengar sahaja tazkirah atau membaca tulisan yang bermotivasi seperti ini, ‘self talk’nya sentiasa positif;
“Input ini adalah yang terbaik untuk aku. Aku boleh amalkan dan insyaallah aku akan sampaikan kepada orang lain. Motivasi atau input-input yang baik ini akan menyinari hidupku dan aku akan buat satu perubahan yang akan memberi inspirasi kepada orang lain.”
Begitulah orang yang mempunyai harga diri yang tinggi. ‘Self talk’nya, percakapan dirinya ialah yang positif.
Tetapi malangnya ramai orang yang punyai ‘self talk’ yang negatif. 90 % yang dicakap terhadap dirinya adalah negatif. Kalau dia membaca buku motivasi suara hatinya akan berkata:
“Ala aku boleh dengar sahajalah, mana boleh aku amalkan.”
Sehinggakan sampai satu tahap dia berkata;
“Entah-entah orang yang menulis ini pun tidak amalkan apa yang dia tulis.”
Akibat self talk yang negatif, ramai manusia yang gagal untuk membuat perubahan ke arah kebaikan. Dia bukan didorong ke hadapan, sebaliknya sentiasa digeser ke belakang.
Oleh itu, penting sekali kita mendapat keyakinan, hasil daripada percakapan-percakapan yang positif daripada dan kepada diri kita sendiri. Sebab itu misalnya, dalam ibadah solat kita juga sebenarnya sedang mengingatkan diri kita sendiri melalui bacaan-bacaan di dalam rukun solat.
Dalam rukun qauli, bacaan surah al fatehah yang kita baca… wajib didengar oleh telinga kita sendiri. Ini satu selftalk yang positif yang mengingatkan bahawa kita hamba Allah, yang meminta pengampuna-Nya, kekuatan-Nya. Dalam duduk antara dua sujud, kita minta sihat dan kita minta hidayah dan sebagainya. Insya-Allah ‘selftalk’ ini positif, dan akan membentuk diri kita yang positif juga.
Sebaliknya, orang yang punya harga diri yang rendah, dia akan sentiasa melakukan sabotaj terhadap dirinya sendiri. Ya, kegagalan itu bermula di dalam diri kita sendiri, sebab itu kita gagal ‘menakluki’ diri kita sendiri. Justeru, sering diperingatkan bahawa kita sebenarnya perlu bertanding dengan diri kita sendiri.
“What happen in you is more important then what happen to you…” Begitu kata-kata ahli-ahli yang bijaksana. Apa yang berlaku di dalam diri kita sebenarnya lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita.
Sebab itu kita kena hapuskan sikap ‘self sabotaging habit’ ini. Kalau dibiarkan berterusan kita akan menjadi “Toxic people”, manusia beracun yang melemahkan diri sendiri dan orang lain.
Mula-mula kita sabotaj diri kita, kemudian akhirnya kita jadi ‘toxic people’ yang mensabotaj orang lain.. Kita boleh menghasut, kita boleh mengumpat dan kita boleh memfitnah orang lain hasil daripada perasaan negatif yang ada di dalam diri kita.
Orang yang memfitnah, mengumpat ialah orang yang penuh dengan racun. Orang yang sebegini tidak akan berjaya di dalam hidupnya. Dia tidak akan menyelamatkan dirinya dan dia tidak akan mampu menyelamatkan orang lain. Dia ‘membunuh’ dirinya sendiri, keyakinannya sendiri, harga dirinya sendiri dan dia tidak akan pernah membina aspirasi kepada orang lain.
Ketiga, mampu menyayangi orang lain hasil dia menyayangi dirinya sendiri.
Bagaimana keadaan itu?
Saya pernah menonton satu filem tentang hari ibu. Yang mana seorang wanita tua telah ditinggalkan oleh anak-anak dan suaminya di rumah orang tua. Pada waktu itu ibu itu mengeluh, lalu berkata, “Yang paling malang dalam hidup ini apabila tidak disayangi.” Dia tidak disayangi oleh suami dan anak-anaknya.. Tetapi kawannya di sebelah menepuk bahunya dan berkata bagi membetulkan persepsi ibu tadi dengan berkata, “yang paling malang dalam hidup ini bukan tidak disayangi tetapi apabila kita tidak menyayangi.“
Punca kita tidak disayangi ialah apabila kita tidak menyayangi diri kita sendiri. Hanya orang yang menyayangi dirinya mampu menyayangi orang lain. Kalau kita tidak mampu untuk menyayangi diri kita yang paling dekat, mana mungkin kita boleh menyayangi orang lain yang ‘jauh’?
Kelihatannya seperti kita terlalu mementingkan diri?
Sebenarnya, tidak! Kita tidak mementingkan diri sendiri sekiranya kita menyayangi diri kita terlebih dahulu sebelum menyayangi orang lain.
Tamsilannya begini. Ketika kita menaiki kapal terbang, pramugari selalunya memberi panduan sekiranya oksigen dalam kapal terbang itu berkurangan, maka akan keluar corong yang berwarna kuning. Arahannya ialah kita perlu bernafas dahulu barulah kita membantu anak kita yang masih kecil untuk bernafas. Walaupun kita sayang anak kita, malah sanggup mati untuk mereka, tetapi aturannya ialah kita perlu ambil corong oksigen itu dan bernafas terlebih dahulu baru kita bantu anak kita bernafas.
Apa maksudnya?
Hanya orang yang hidup sahaja boleh memberi kehidupan. Hanya orang selamat sahaja yang mampu menyelamatkan. Dan hanya orang yang menyayangi dirinya dahulu boleh menyayangi orang lain.
Sayangnya, ramai kaum ibu yang kadangkala oleh kerana terlalu sayang anaknya…dia jaga anaknya sampai mengabaikan kesihatan dirinya sendiri. Ini salah. Kita perlu menjaga kesihatan diri kita untuk menjaga kesihatan anak kita. Ini bukan mementingkan diri… tidak! Tetapi untuk menyayangi orang lain perlu terlebih dahulu menyayangi diri kita.
Justeru, pada saya orang yang tidak menjaga kesihatan dirinya ialah orang yang mementingkan diri. Kenapa? Kerana jika dia jatuh sakit, orang lain terpaksa menjaga dirinya. Tetapi bagi orang yang sihat, dia yang mahu menjaga orang yang sakit. Jadi orang yang menjaga dirinya agar tidak sakit ialah orang yang tidak mementingkan diri!
BAGAIMANA HARUS MENYAYANGI DIRI?
Kunci katanya ialah, “Kita tidak boleh menyayangi orang lain tanpa terlebih dahulu menyayangi diri kita sendiri dan kita tidak mampu menyayangi diri kita sendiri kalau tidak terlebih dahulu menyayangi Allah SWT. “
Sebab itu dalam kehidupan ini, kita perlu sentiasa meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan menyedari bahawa diri kita hakikatnya adalah amanah Allah terhadap diri kita sendiri.
Justeru dalam Islam, kita tidak boleh menjatuhkan diri kita kepada kebinasaan. Contohnya, kita tidak boleh membunuh diri. Kalau dipersoalkan, apa salahnya kalau saya membunuh diri saya sendiri, saya bukan membunuh orang lain?
Ingatlah bahawa menurut Islam, diri kita pun bukan kita yang empunya. Diri kita hanyalah amanah daripada Allah SWT. Sebab itu kalau orang itu sayang yang benar-benar kepada Allah, dia akan sayang kepada dirinya sendiri. Dan orang yang menyayangi dirinya sendiri insya-Allah, akan boleh menyayangi orang lain.
Sumber : Pahrol Mohamad Juoi