Capai Skor IQ Luar Biasa, Kanak-Kanak 3 Tahun Genius Paling Muda Di Dunia Berjaya Masuk Mensa

Share

Setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anak. Dikurniakan zuriat yang bijak pandai pasti satu bonus dan impian setiap ibu bapa. Demikian juga dengan kisah sepasang suami isteri yang dikatakan memiliki anak yang luar biasa bijaknya.

Dikurniakan kepintaran yang luar biasa sejak usianya tujuh bulan, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Haryz Nadzimi dilaporkan berjaya diterima memasuki persatuan IQ tinggi global, Mensa.

Kisah adik Haryz tular baru-baru ini apabila di dalam  laporan Metro Uk menceritakan keistimewaan si kecil ini yang mula dikesan oleh ibu bapanya apabila dia mampu menyebut beberapa patah perkataan pertamanya pada usia tujuh bulan.

Bukan itu sahaja, si kecil ini juga dikatakan mampu membaca sendiri buku-buku cerita sebelum tidur ketika usianya dua tahun. Hal tersebut, menjadikan dia sebagai individu paling muda memasuki persatuan IQ tinggi global, Mensa.

Dia dikatakan mencapai skor IQ yang luar biasa sebanyak 142 pada ujian Stanford Binet setelah diuji oleh ahli psikologi, Lyn Kendall.

Anak kepada pasangan Anira dan Mohd ini dipercayai menetap di Durham, United Kingdom (UK) dan kedua ibu bapanya mempunyai latar belakang kejuruteraan. Menurut pasangan tersebut, mereka tidak menyangka Haryz menunjukkan tanda-tanda kepintaran yang luar biasa pada usia semuda itu.

“Kami tiada banyak pengalaman, jadi kami ingatkan itulah cara kanak-kanak. Namun sehingga kami diberitahu oleh pihak tadika bahawa dia lebih cepat berbanding kanak-kanak lain, maka kami menyedari Haryz adalah istimewa.

Di samping itu, ibu bapa Haryz turut mencipta saluran YouTube bernama Little Haryz agar kanak-kanak lain dapat menonton dan menjadikan ia sebagai pemangkin semangat.

Berkongsi mengenai sikap anak mereka, pasangan itu turut memberitahu bahawa Haryz sering bertanya soalan dan bercakap mengenai angkasa lepas dan nombor selain gemar membaca buku-buku. Lebih mengagumkan adalah bahasa Inggeris bukan bahasa pertamanya. Mereka berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu di rumah.

Sumber: Metro Uk & Ohbulan!