Cantik rupa paras menjadi kelaziman definasi cantik bagi seorang wanita. Pun begitu, pengertian cantik sangat luas dan anugerah cantik itu perlu dijaga.
Bagaimana caranya? Jom semak perkongsian ini.
KENAPA WANITA PERLU MENJAGA DIRI?
1. Wanita perlu menjaga diri dan jadi cantik agar suami tidak lari? Salah. Kerana, jika sudah takdir Allah dia akan menikah lagi, tidak akan ada yang boleh menghalangnya. And this is regardless the age. Know that.
2. Jadi kenapa wanita harus tetap menjaga diri dan jadi cantik? Kerana kita perlu menjaga diri untuk diri kita sendiri. Ianya akan memberikan keyakinan. Rasa puas. Rasa lebih menyayangi diri. Usah jadi kusut masai, biarkan diri tidak terurus… Hanya kerana kita sedang kecewa.
It should be the other way round. Makin anda dikecewakan, jadi makin cantik tau. Hehe.
3. Jadi cantik itu bagaimana?
Cantik itu luas pengertiannya. Mungkin perlu ditulis dalam satu buku. Namun boleh diringkaskan begini…
Cantik itu adalah dengan menjaga anugerah dari Allah yang ada pada kita sejak dilahirkan lagi.
4. Jaga diri baik-baik selalu. Tak kira samada waktu kita sedang suka atau down. Sedih macamana pun usah terperap dalam bilik. Bangun, mandi, solat seperti biasa, makan seperti biasa.
5. Jaga keterampilan diri tidak semestinya dengan memakai pakaian yang mahal dan cantik. Cukuplah dengan memakai pakaian yang bersih. Waktu saya tidak punya banyak baju, saya pakai, cuci dan pakai lagi pakaian yang sama berulang kali. Mereka yang pernah beli barangan jualan saya dulu pasti perasan yang saya selalu pakai baju sama, tudung sama, seluar sama, kasut sama setiap kali berniaga di tepi jalan, sebab itu sahaja pakaian terbaik yang saya ada ketika itu. Hingga hari ini pun, anda mungkin perasan yang tudung saya tidak sampai 20 pun. Yang penting ia bersih dan selesa.
6. Pastikan kuku tangan dan kaki bersih dan kemas selalu. Usah terlupa atau bertangguh. Usah biarkan kuning dengan kunyit. Ada banyak cara untuk bersihkannya….
7. Pastikan selalu pakai losyen tangan, kaki, badan. Usah tumpukan penjagaan hanya pada muka dan tangan dan tidak ambil tahu tentang penjagaan kaki.
8. Jaga kebersihan rambut (termasuk wanita bertudung). Usah kerana kita bertudung jadi rambut tidak perlu disisir atau shampoo dengan kerap. Orang bertudung perlu lebih penjagaan. Pastikan rambut dibersihkan selalu dan keringkan dahulu sebelum memakai tudung untuk mengelakkan rambut basah dan terperap hingga menyebabkan bau!
9. Jaga kulit wajah dan badan walaupun kita sudah berusia. Penjagaan diri bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri kita sendiri. Dan sebagai menghargai segala kurniaan Allah kepada kita. Ingat tu ye…. Sayangi diri kita. I repeat, sayangi diri kita…
10. Sentiasa pastikan badan atau baju yang kita pakai tidak berbau. Jika seharian sibuk memasak, pastikan kita tak bawa sekali bau bawang ke tempat lain pula. Selalu pakai pakaian bersih sebelum masuk tidur agar kita dapat tidur dengan selesa. Bau disebabkan oleh kuman. Jaga kebersihan.
11. Selipar atau kasut hendaklah bersih. Tak apalah jika menggunakan selipar murah atau berusia. Yang penting bersih, tidak berselut, tidak berhabuk.
12. Jaga berat badan. Jaga makan. Jaga minum. Makanan boleh buat kita bahagia. Makan tanpa kawalan boleh membawa kepada pelbagai penyakit. Bersederhana dalam semua perkara adalah yang terbaik.
13. Jaga diri adalah termasuk menjaga hati sendiri. Jaga hati agar tidak disakiti oleh sesiapa. Jika disakiti, maafkan mereka. Kita akan tenang dan bahagia. Usah sakiti hati orang juga. Kita akan mudah berlapang dada. Hati yang tidak bersih akan buat wajah kita nampak tak bahagia. Keserian wajah datang dari hati yang bersih.
Satu perkara yang wanita perlu ingat, apa sahaja ANUGERAH Allah kepada kita, ianya adalah yang terbaik. Kerana Allah Maha Bijaksana dan tidak pernah silap.
Usah ambil suntikan untuk bentukkan wajah. Atau ubah ketinggian hidung. Atau ambil suntikan pemutih kulit. Atau apa sahaja untuk merubah ciptaan Allah. Ianya akan membuatkan wajah nampak sangat tidak natural.
Tidak ada yang lebih cantik melebihi dari ciptaan Ilahi. Dia Maha Menciptakan.
Tips kecantikan ini telah saya kongsikan dalam Secret Group saya.
sumber : Dzuriasikim Dzulkefli